Dalam menghadapi detik-detik getir menjelang kelahiran, ramai ibu yang mencari kekuatan bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga secara rohani agar proses bersalin berjalan lancar. Justeru surah Maryam untuk mudah bersalin antara amalan yang boleh anda lakukan secara konsisten sebagai persediaan diri.
Apa Itu Surah Maryam?
Surah Maryam mengandungi 98 ayat dan diturunkan di Mekah. Dinamakan sempena Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s.
Surah ini bukan sahaja mengangkat kedudukan seorang wanita solehah, tetapi juga memaparkan kisah kehamilan dan kelahiran Nabi Isa yang penuh dengan keajaiban dan keimanan.
Surah ini membawa pelbagai mesej penting:
-
Keajaiban penciptaan manusia
-
Kesabaran dalam menghadapi ujian
-
Kekuatan wanita dalam menerima takdir Ilahi
-
Keteguhan iman dalam menyerah diri kepada Allah
Surah Maryam Untuk Mudah Bersalin
فَأَجَآءَهَا ٱلْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ قَالَتْ يَـٰلَيْتَنِى مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسْيًۭا مَّنسِيًّۭا
(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
فَنَادَىٰهَا مِن تَحْتِهَآ أَلَّا تَحْزَنِى قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّۭا
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَـٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًۭا جَنِيًّۭا
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.
فَكُلِى وَٱشْرَبِى وَقَرِّى عَيْنًۭا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلْبَشَرِ أَحَدًۭا فَقُولِىٓ إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَـٰنِ صَوْمًۭا فَلَنْ أُكَلِّمَ ٱلْيَوْمَ إِنسِيًّۭا
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.
Kisah Maryam Dan Pengalaman Semasa Bersalin
Maryam merupakan wanita yang mulia dan disebut secara khusus dalam Al-Quran. Dalam Surah Maryam ayat 22-26, dikisahkan bahawa setelah mengetahui dirinya hamil, Maryam mengasingkan diri ke tempat jauh untuk mengelakkan fitnah dan pandangan buruk kaumnya.
Mengikut riwayat Ibnu Abbas, beliau memilih untuk beribadah di arah timur Baitul Maqdis, di sebuah tempat bernama Betlehem, bagi mendekatkan diri kepada Allah tanpa gangguan.
Ketika saat bersalin tiba, Maryam mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga terpaksa bersandar pada pangkal pokok kurma.
Dalam keadaan tekanan dan kesedihan, Maryam berharap agar dirinya mati daripada menanggung aib.
Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 23:
فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَى جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا
Maksudnya: Kemudian sakit bersalin memaksanya (Maryam) bersandar pada pangkal pokok kurma. Dia berkata, “Alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku dilupakan”.
Pertolongan Allah Kepada Maryam
Allah tidak membiarkan Maryam bersendirian dalam kesedihan. Malaikat Jibril diutuskan untuk menenangkan dan memberikannya kekuatan.
Jibril menyuruh Maryam menggoyangkan pangkal pokok kurma agar buah kurma masak dapat jatuh untuknya Juga, malaikat itu memberitahunya ada anak sungai di bawahnya sebagai sumber air.
Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 24-25:
فَنَادَاهَا مِنْ تَحْتِهَا أَلَّا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيّا
Maksudnya: Maka malaikat berseru kepadanya dari tempat rendah, “Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.
Goyangkanlah pangkal pokok kurma itu ke arahmu, nescaya ia akan menggugurkan buah kurma masak kepadamu.”
Pertolongan ini menunjukkan betapa Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang diuji, memberi rezeki dan kekuatan pada saat-saat sukar.
Kelebihan Mengamalkan Doa Maryam
Kisah Maryam bukan sekadar cerita, tetapi lambang kekuatan, kesabaran, dan keimanan. Berikut adalah beberapa kelebihan mengamalkan Doa Maryam:
1. Menenangkan Hati Ibu
Doa ini membantu ibu mengatasi rasa cemas dan memberi keyakinan bahawa Allah akan mempermudahkan proses bersalin.
2. Meningkatkan Keimanan
Selain menjaga kesihatan dan menghadiri kelas antenatal, amalan doa ini melengkapkan usaha fizikal dengan ikhtiar rohani sebagai tanda tawakal kepada Allah.
3. Sumber Kekuatan
Dengan menghayati kisah Maryam, ibu-ibu boleh mendapat inspirasi untuk menjadi lebih kuat dan sabar dalam menghadapi sakit melahirkan anak.
Kesimpulannya, surah Maryam bukan sekadar untuk memudahkan bersalin tetapi juga cara mendekatkan diri kepada Allah.
Bacalah dengan penuh keyakinan dan kepercayaan bahawa Allah sentiasa bersama, sedia meringankan setiap kesulitan. Semoga setiap ibu yang bakal melahirkan dikurniakan kekuatan dan kelancaran dalam perjalanan ini.
Ingatlah, dalam setiap kesukaran pasti ada kemudahan seperti yang Allah janjikan.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bersalin Normal Dengan Mudah & Cepat, Ini Panduan Lengkap Untuk Ibu Get Ready
Baca juga: 15 Surah & Doa Mudah Bersalin Normal (Alquran & Rasulullah)
Baca juga: Tips Mudah Bersalin Tanpa Koyak & Jahit, Ramai Ibu Dah Cuba Memang Berkesan!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!