Untuk ibu yang sudah memiliki cahaya mata, anda pasti sudah biasa melihat kesan tompokan kecil pada lidah bayi, lebih-lebih lagi selepas menyusu, bukan? Inilah yang dipanggil sebagai jangkitan kulat susu atau nama saintifiknya, candidiasis (oral trush).
Candidiasis terjadi disebabkan oleh kulat candida, iaitu sejenis yis. Jangkitan akibat kulat ini paling kerap terjadi kepada bayi, kanak-kanak, individu yang telah berusia dan juga mereka yang mempunyai sistem imun badan yang lemah.
Namun persoalannya, adakah kulat susu ini berbahaya? Apakah punca yang menyebabkan ia berlaku dan adakah terdapat rawatan bagi mengubatinya? Teruskan membaca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai kulat susu, khususnya pada bayi.
Isi Kandungan
Apakah Kulat Susu?
Candidiasis atau kulat susu merupakan satu jangkitan yang disebabkan oleh kulat yis (candida albicans). Candida biasanya terdapat dalam badan kita dan tidak mendatangkan risiko bahaya kerana ia dikawal oleh bakteria baik yang ada pada tubuh manusia.
Namun begitu, jika terdapat perubahan dalam keseimbangan bakteria dan yis dalam tubuh, candida boleh membesar dan menyebabkan masalah.
Salah satu perkara yang boleh menjejaskan keseimbangan semula jadi bakteria dan yis adalah penggunaan antibiotik (ketika ingin melawan sebarang penyakit). Penggunaan antibiotik akan mengubah persekitaran dalam mulut dan menyebabkan yis yang berlebihan lebih mudah untuk tumbuh, seterusnya menyebabkan jangkitan kulat susu.
Jangkitan kulat susu juga boleh berlaku pada bayi apabila ibu yang menyusu mengalami jangkitan yis. Namun jangkitan ini tidaklah berbahaya atau memerlukan rawatan yang istimewa.
Tetapi, walaupun tidak bahaya, sudah pasti anda rasa tidak selesa melihat lidah bayi putih dan membuatkannya tidak selesa.
Jangkitan ini juga boleh menyebabkan kemerahan, rasa sakit, kehilangan rasa dan mulut kering pada si kecil anda. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.
Tanda-tanda Kulat Susu Pada Bayi
Jangkitan kulat ini biasanya muncul seperti tompok putih pada lidah atau mulut bayi. Namun begitu, jangkitan ini tidak semestinya hanya ada pada dalam mulut, bahkan boleh menjejaskan bahagian tubuh yang lain seperti pada kuku, kawasan lampin (faraj) atau kulit yang berlapis (seperti di bahagian ketiak dan leher).
Ia boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada bayi anda selain anda juga jadi rimas melihat kemunculan kulat susu ini. Antara tanda-tanda berlaku jangkitan kulat susu pada bayi adalah:
#1. Kemerahan dan kegatalan dalam mulut
Anda mungkin tidak nampak atau dapat mengesan jika bayi anda terkena jangkitan ini dalam mulutnya. Namun kadang kala, jangkitan kulat susu muncul sebagai tompok putih pada lidah bayi anda.
Bayi anda mungkin merengek sekali sekala untuk memberitahu yang dia tidak selesa dengan keadaan lidahnya. Atau jika kulat susu muncul di leher atau kawasan lampin, bayi akan lebih banyak meragam.
#2. Kerap menangis dan merengek
Bayi anda mungkin akan kerap menangis berbanding biasa apabila jangkitan ini berlaku pada mereka.
#3. Kurang selera untuk menyusu akibat kesakitan
Akibat jangkitan kulat susu dalam mulut, si kecil anda mungkin ‘takut’ untuk meminum susu ibu akibat rasa sakit yang mungkin dihadapi.
Dia juga mungkin tidak dapat merasa apa yang diminumnya. Jadi sekaligus membuatkan si kecil anda tidak berselera untuk menyusu.
#4. Ruam pada lampin
Mempunyai ruam pada bahagian lampin juga boleh menjadi petanda jangkitan kulat susu.
Selain itu, keadaan puting ibu yang berwarna lebih gelap, merekah, sakit dan membengkak juga boleh menjadi tanda berlakunya jangkitan kulat susu.
Jika ia berlaku, si kecil yang menyusu juga berisiko untuk terkena jangkitan yang sama. Jadi, rawatan daripada pakar perubatan adalah langkah terbaik bagi mengubatinya.
Adakah Kulat Susu Berpunca daripada Susu Badan?
Tidak semestinya. Jangkitan kulat susu lazimnya berlaku apabila antibiotik bagi merawat jangkitan atau penyakit sedia ada digunakan.
Penggunaan antibiotik ini yang akan mengubah persekitaran dalam mulut dan menyebabkan yis yang berlebihan lebih mudah untuk tumbuh, seterusnya menyebabkan jangkitan kulat susu yang sangat tidak menyelesakan bayi anda.
Bagaimana Kulat Susu pada Bayi Boleh Dirawat?
Jangkitan kulat susu agak mudah dirawat dan tidak memerlukan rawatan yang istimewa. Kebanyakan pakar pediatrik boleh mengenal pasti jangkitan ini dengan melihat kondisi mulut dan lidah bayi anda.
Kebiasaannya, doktor akan memberikan ubat anti-kulat atau ubat kulat susu bayi seperti Nystatin yang boleh digunakan beberapa kali sehari untuk diletakkan ke bahagian mulut. Jika berlaku ruam pada bahagian lampin akibat jangkitan ini, Nystatin atau Lotrimin juga boleh membantu mengubatinya.
Elak menggunakan tisu basah yang mengandungi kandungan alkohol yang tinggi untuk mengelap bahagian yang terkena jangkitan. Ini kerana, ia akan menyebabkan yis membiak dengan lebih banyak.
Bersihkan juga sebarang peralatan yang sering dimasukkan ke dalam mulut bayi termasuklah cawan, botol, puting dan lain-lain menggunakan air panas pada suhu 125 darjah Fahrenheit.
Bagi ibu yang sedang menyusukan bayi pula, anda perlu memastikan bahawa puting anda dibersihkan selepas setiap penyusuan bagi mengelak jangkitan ini berlaku pada bayi.
Guna atau sapukan krim Nystatin atau krim lain yang disarankan oleh pakar perubatan. Selain itu, pemakanan atau diet yang berkhasiat ketika kehamilan juga penting dalam membantu mengurangkan risiko jangkitan ini.
Bila Anda Perlu Risau?
Jika gejala bagi jangkitan ini berterusan selama lebih daripada seminggu tanpa sebarang tanda-tanda untuk sembuh atau bahkan lebih teruk pada bayi anda, maka segeralah bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.
Walaupun jangkitan kulat susu biasanya akan hilang dengan sendirinya, namun rawatan mungkin cara terbaik agar bayi anda tidak menjangkitinya lagi.
- Very Well Health. (July 28, 2022). What Is Thrush in Babies? www.verywellhealth.com/thrush-in-babies-5180295
- Very Well Family. (Apr 10, 2021). Thrush and Breastfeeding Signs, Symptoms, and Treatment. www.verywellfamily.com/thrush-and-breastfeeding-4047371#toc-medications
- Very Well Family. (Dec 5, 2019). How to Treat Thrush in Babies and Nursing Mothers. www.verywellfamily.com/how-do-i-treat-thrush-289471
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Bagi Anak Makan Ubat Yang Betul, Ibu Elakkan Guna Syringe Sama & Konsisten Ikut Masa
Baca juga: 5 Petua Untuk Merawat Jangkitan Kulat Pada Puting Semasa Menyusu
Baca juga: Kerana Tak GOSOK Gigi, Budak Ini Hampir Maut Bila Jangkitan Gigi Merebak Ke Otak!