Labu air ialah sejenis sayuran buah yang popular dalam kalangan masyarakat Cina. Tanaman labu air ini tumbuh menjalar di atas tanah atau para dan biasanya subur dalam iklim tropika dan subtropika yang mempunyai sumber cahaya dan hujan yang mencukupi.
Ia memiliki saiz yang lonjong berwarna hijau muda kulitnya dan mempunyai isi putih yang lembut bergabus dan rasanya sama seperti timun.
Cara masak labu air biasanya masakan berkuah seperti masak labu air, masak kuning, masak bening dan masak lemak putih bertujuan untuk menyejukkan badan.
Nama saintifik labu air ialah lagenaria siceraria, dan sering dipanggil sebagai labu botol.
Isi Kandungan
Khasiat Labu Air
1. Tinggi kandungan air
Labu jenis ini merupakan sayuran buah yang mempunyai kandungan air yang tinggi, jadi ia sangat baik untuk mengekalkan kelembapan bagi pengamalnya, juga baik untuk ibu menyusu.
Gula semulajadi di dalamnya juga mencukupkan karbohidrat paling ringkas untuk ibu menyusu dan dalam masa yang sama dapat memperbanyakkan susu badan.
2. Mencegah obesiti
Bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, makan labu botol secara berkala boleh menjadi pilihan yang tepat.
Ini kerana sayuran buah ini mengandungi serat makanan, kandungan air yang tinggi, dan rendah kalori. Makanan rendah kalori ini adalah pengambilan yang tepat untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
3. Mencegah sembelit
Sekiranya seseorang mengamalkan labu secara kerap, ia dapat membantu tubuh menghasilkan lebih banyak enzim dalam metabolisme disebabkan ia kaya dengan serat makanan dan kandungan air yang tinggi. Sebab itu, sayuran buah ini baik untuk melancarkan sistem penghadaman dan mengelakkan berlakunya sembelit.
4. Mencegah penyakit kronik
Labu kaya dengan antioksidan tinggi yang berupaya mencegah penyakit kronik seperti diabetes, malaria, arteriosklerosis, strok, penyakit jantung, dan kanser.
Antioksidan yang tinggi mampu melawan radikal bebas yang menganggu tubuh badan.
5. Meningkatkan kesihatan tulang
Kandungan magnesium, kalsium, fosforus, serta beberapa mineral yang diperlukan untuk kesihatan tulang dan gigi terkandung dalam sayuran berkhasiat ini. Jika anda mempunyai masalah kesihatan tulang rapuh seperti osteoporosis. Anda boleh memasak sayur ini dengan hidangan yang sihat seperti sup ringkas.
6. Membantu proses detoksifikasi badan
Seperti yang kita tahu, setiap hari tubuh terdedah kepada banyak bahan toksik yang datang dari udara, makanan, dan sebagainya. Jadi, kebaikan labu air ini membantu proses detoksifikasi yang menyahkan segala toksin dalam badan.
7. Mencegah tekanan darah tinggi
Kandungan seperti kalium dan potasium dalam sayuran buah ini dapat melancarkan saluran darah bagi mengelakkan ia tersumbat yang menjadi punca kepada masalah tekanan darah tinggi.
Resepi sayur labu air
1. Labu Air Tumis Ikan Bilis
Bahan-bahan:
-
1 biji labu saiz kecil
-
2 labu bawang kecil
-
2 ulas bawang putih
-
5 biji cili padi
-
2 sudu besar ikan bilis
-
2 cawan air
-
1 sudu kecil garam
Cara penyediaan:
- Kupas dan potong labu air. Tumbuk bawang dan ikan bilis.
- Panaskan minyak. Tumis bahan yang ditumbuk. Kacau hingga kekuningan. Masukkan air dan biarkan mendidih.
- Masukkan sayur labu yang telah dipotong kecil dan masak hingga empuk.
- Tambahkan garam. Kacau.
- Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Saiz hidangan: 3 orang makan
2. Labu Air Masak Bening
Bahan-bahan:
- 1 biji labu air (dikupas kulit dan dipotong)
- 1 biji bawang merah (dihiris nipis)
- 2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
- Sejemput ikan bilis (dikupas dan dibuang kepala)
- 2 batang serai saiz kecil (kalau saiz besar guna 1 batang je – diketuk)
- 5 biji cili padi (kalau cili merah guna sebiji – dihiris serong)
- 1 sudu besar minyak masak
- 3 cawan air
- 1 biji telur
- 1 sudu kecil garam
- 3/4 sudu kecil Ajinomoto
Cara penyediaan:
- Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah, bawang putih, ikan bilis, serai dan cili hingga naik bau.
- Kemudian, masukkan air.
- Apabila air mendidih, masukkan potongan labu, garam dan serbuk perasa Ajinomoto. Masak jangan lama.
- Tutupkan api kerana haba panas akan melembutkan labu air itu.
- Sedia untuk dihidangkan.
Nota: Jangan letak kesemua labu air kerana apabila sejuk ianya akan kurang sedap dan terlalu lembik. Apabila hendak makan baru lah dipanaskan lagi kuahnya dan boleh dimasukkan sayur labu air.
3. Masak Pedas Terengganu
Bahan-bahan:
-
1/2 biji labu saiz sederhana- buang kulit, potong
-
Bahan tumbuk/kisar:
-
2 sudu besar bilis
-
1/2 biji bawang besar
-
2 ulas bawang putih
-
1 sudu besar lada hitam
-
1 sudu besar budu
-
segenggam daun kesum/ daun selasih(kemangi)
-
secukup rasa garam dan gula
-
2 cawan air
-
3 biji cili padi- pilihan
Cara penyediaan:
- Sediakan bahan-bahan seperti di atas.
- Masukkan labu, sedikit air dan bahan-bahan kisar/tumbuk ke dalam kuali/periuk. Panaskan hingga mendidih.
- Masukkan budu, garam, sedikit gula (pilihan) dan serbuk perasa.
- Lepas tu masukkan daun kemangi dan cili padi (jika suka). Biarkan mendidih sekejap. Tutup api.
- Sedia untuk dinikmati dengan nasi panas, ikan panggang dan budu.
4. Masak Lemak Fucuk Dan Suhun
Bahan-bahan:
-
1 biji labu air
-
1 kotak kecil santan Kara
-
2 biji cili besar
-
Sedikit fucuk dan suhun
-
1/2 sudu teh serbuk lada hitam (optional)
-
secukup rasa
-
Garam, gula
-
Sejemput ikan bilis/1 ekor isi ikan rebus
-
2 ulas bawang merah
-
1 ulas bawang putih
Cara penyediaan:
- Rendam terlebih dahulu fucuk dan suhun dalam air biasa sehingga kembang. Tujuannya supaya tidak menyerap kuah nanti.
- Tumbuk atau kisar kasar ikan bilis, bawang merah dan bawang putih.
- Sangai bahan kisar bersama serbuk lada hitam untuk hilangkan bau bawang. Tambahkan air. Biarkan mendidih.
- Masukkan cili dan labu botol. Kemudian masukkan santan.
- Tambahkan air untuk adjust kepekatan kuah. Masak sehingga labu separuh lembut.
- Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
- Akhir sekali masukkan fucuk dan suhun.
Merdeka , Cookpad
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Labu Boleh Buat Bayi Tidur Lena Tau, 3 Resepi Makanan Berasaskan Labu Ibu Boleh Cuba!
Baca juga: Khasiat Peria Untuk Ibu Hamil, Bantu Kurangkan Gula Dalam Darah & Kaya Asid Folik
Baca juga: Bagus Untuk Kandungan, Ini Rupanya Khasiat Kurma Yang Ramai Tidak Tahu!