“Bolehkah saya dan hubby pergi babymoon Malaysia dalam masa terdekat?”
Anda akan menyukai percutian romantis terakhir dengan pasangan anda sebelum si kecil tiba. Perjalanan percutian ini dikenali sebagai ‘babymoon’. Agensi pelancongan telah mencipta frasa ini untuk memberi inspirasi kepada ibu agar nikmati hidup sepenuhnya sebelum menjadi seorang ibu sepenuh masa.
Dipopularkan oleh selebriti dengan menunjukkan penampakan perut mereka di pantai eksotik, babymoon adalah lebih daripada satu helah pemasaran yang mewah. Ia akan menjadi satu perjalanan terakhir yang bakal anda lakukan bersama pasangan anda untuk meluangkan masa berdua.
Bulan-bulan menjelang kehamilan sememangnya membawa sedikit tekanan, dan ramai ibu yang sibuk dengan hal di rumah, sementara masih menyesuaikan diri dengan tuntutan kehidupan seharian. Babymoon akan membolehkan anda dan pasangan berehat daripada tekanan kehidupan seharian.
Isi Kandungan
Bila Boleh Pergi Babymoon?
Trimester pertama sudahpun berakhir, selamat tinggal kita ucapkan kepada rasa mual dan penat! Bahkan trimester ini juga buatkan anda rasa kurang yakin dengan badan anda, yakni anda rasa lebih kembung bukannya seksi. Melancong semasa trimester ketiga juga boleh merumitkan keadaan, kerana tiada wanita yang ingin bersalin pramatang semasa bercuti.
Pakar dari American College of Obstetrics and Gynecology percaya bahawa masa paling selamat untuk melakukan perjalanan adalah dari 18 hingga 24 minggu. Jadi masa terbaik untuk pergi babymoon ialah semasa trimester kedua. Pada masa ini, anda mempunyai tenaga yang mencukupi dan hormon kehamilan lebih stabil.
Malah, anda digalakkan untuk cuti sekejap sahaja, dan elakkan bercuti selama sebulan. Anda pastinya tidak mahu berjauhan dengan doktor terlalu lama. Anda juga harus elak tekanan penerbangan sambungan dan beg pakaian berat. Jadi kami sarankan untuk anda bercuti selama 2 minggu ataupun cuti hujung minggu sahaja.
Manfaat Babymoon Untuk Ibu Hamil
Tidak semua pasangan yang berpeluang menikmati babymoon sebelum bayi dilahirkan. Inilah waktu yang sesuai untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama dengan pasangan sebelum memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Ternyata, babymoon mempunyai banyak manfaatnya untuk ibu hamil. Juga, sebagai tanda anda prihatin terhadap pasangan.
1. ME time untuk diri sendiri
Ramai ibu tidak dapat menikmati saat kehamilan di awal trimester. Ini disebabkan oleh alahan, perubahan mood dan macam-macam lagi. Apabila memasuki trimester kedua dan ketiga, ibu akan mula rasa selesa dengan kehamilan. Malah, loya dan muntah yang beransur hilang juga membuatkan badan ibu jadi lebih cergas dan bertenaga.
Jadi, tidak ada salahnya untuk beri peluang ME time dengan pergi melancong atau membeli-belah bersama kenalan, jika itu boleh membuatkan penat ibu hilang. Fikiran ibu juga menjadi lebih positif dan tidak terlampau tertekan apabila memikirkan proses kelahiran tidak lama lagi.
Sekiranya tiada masa lapang, anda dan pasangan boleh mencuba alternatif lain seperti bersiar-siar di taman atau ‘food hunting’ di tempat yang berdekatan.
2. WE time bersama pasangan
Percutian babymoon membantu anda dan pasangan untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Jika sebelum ini anda sangat sibuk dengan urusan kerja dan sebagainya, inilah waktu yang sesuai untuk meluahkan perasaan dan cuba melakukan aktiviti yang diminati bersama-masa.
Dalam masa yang sama, masing-masing berusaha mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum menempuh fasa baru menjadi ibu bapa. Selepas menjadi ibu bapa, mungkin rutin harian anda bakal berubah 360 darjah!
3. Membuatkan isteri rasa disayangi dan dihargai
Manfaat babymoon yang lain ialah membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan sebelum melahirkan anak. Wanita yang mengandung mudah terdedah kepada tekanan dari pelbagai faktor kerana berlakunya perubahan hormon pada tubuh yang pelik sepanjang kehamilan.
Rutin melakukan checkup mengandung berkala, belajar tentang kehamilan dan proses bersalin. Termasuklah aktiviti tambahan lain seperti senaman, pemakanan dan tabiat baru sudah tentu memenatkan.
Jadi, disinilah pentingnya sokongan suami untuk ajak pergi babymoon untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood isteri ketika menghadapi fasa yang sukar ini.
4. Recharge atau mengembalikan semula mood
Kehamilan memang satu perkara yang menggembirakan buat pasangan yang mengimpikan cahaya mata, tetapi boleh jadi memenatkan jika hanya ibu sahaja perlu menghadapnya.
Bagi mengembalikan mood semula, apa kata anda bawa isteri pergi bercuti seperti bermalam di hotel atau menikmati matahari terbenam supaya meninggalkan memori yang indah-indah belaka.
Apabila mood ibu gembira, anak dalam kandungan juga dapat membesar dengan sihat.
5. Maternity photoshoot
Selain pergi melancong, ibu hamil juga boleh memanfaatkan babymoon dengan sesi maternity photoshoot. Bergambar sambil mencium perut isteri dan merakamkan detik indah si ibu bersama kandungan boleh jadi sesuatu momen yang berharga dan penuh makna. Anda bolehlah tunjukkan kepada anak apabila dewasa nanti.
Tidak perlu tempat yang jauh kerana sesi bergambar ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tetapi sesuai melakukannya pada trimester kedua atau ketiga.
6. Rancang dan membuat persediaan masa depan
Jika sebelum ini masing-masing jarang membincangkan masa depan selepas mempunyai anak, waktu babymoon boleh digunakan untuk merancang dengan sebaiknya. Tetapkan matlamat dan rancangan jangka panjang dan jangka pendek.
Setiap perancangan mestilah ringkas dan jelas supaya tidak menyinggung mana-mana pihak. Suasana babymoon yang menyenangkan juga mungkin membantu anda dan pasangan membuat keputusan dalam keadaan yang santai dan lebih terbuka.
Pilihan Lokasi Terbaik Untuk Babymoon Malaysia
Jika anda teringin untuk pergi babymoon tetapi tiada idea tempat menarik mana untuk dituju, mari baca dan pilih salah satu senarai aktiviti babymoon yang kami cadangkan di bawah:
1. Pulau Pinang di hujung minggu
Percutian ke pantai sentiasa menyeronokkan dan di Pulau Pinang, anda bukan sahaja boleh menikmati pantai, tetapi makanannya yang sangat lazat. Ini adalah masa yang terbaik untuk anda untuk menikmati semua makanan tempatan popular di Pulau Pinang seperti asam laksa, char kuey teow, pasembor, nasi kandar dan banyak lagi.
Nikmati makanan yang enak semasa anda boleh, kerana semasa berpantang nanti, anda tidak boleh makan sewenang-wenangnya. Terdapat juga seni jalanan di Pulau Pinang yang anda perlu kunjungi. Anda hanya pergi ke Jalan Armenian untuk melihat seni mural yang artistik dan mengambil gambar sebagai kenangan.
Kehidupan malam juga sentiasa sibuk di Batu Feringhi di mana vendor akan membuka gerai kecil dan menjual kraft tangan mereka. Jika anda melawat Pulau Pinang, pasti akan ada sesuatu untuk anda lakukan atau makan!
2. Berehat di The Chateau Spa & Organic Wellness Resort
Jika idea babymoon anda adalah untuk berehat dan dimanjakan, maka ini adalah tempat untuk anda. Di sini, kakitangan spa terlatih akan memastikan bahawa anda menerima pengalaman istirehat yang lengkap demi ketenangan minda dan jiwa anda.
Terdapat pelbagai jenis rawatan spa ada disediakan di sini, termasuklah terapi “pre-natal”. The Chateau terletak di Berjaya Hills, hanya 45 minit dari Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun jika anda ingin membawa anak-anak anda lebih tua (12 tahun ke bawah), anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk pergi tempat lain.
Mereka mempunyai polisi; tiada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun untuk mengekalkan sifat eksklusif resort dan juga privasi tetamu yang lain.
3. Menikmati teh dan udara segar di Cameron Highlands
Cameron Highlands terletak di Pahang di mana Ladang Teh BOH dan di mana kebanyakan sayur-sayuran yang dibekalkan kepada Lembah Klang dituai. Malah, Cameron Highlands adalah antara tempat di Malaysia di mana anda boleh mendapatkan strawberi segar meranum.
Selain itu, anda boleh melawat ladang teh dan menikmati teh segar dan skon di ladang BOH. Cuaca juga sejuk kerana sememangnya kita tahu, Cameron Highland terletak di bahagian atas bukit. Pada masa lapang, anda boleh memetik strawberi segar dan bersiar-siar di sekitar bandar Cameron.
Di sini, ada banyak pasar atau gerai yang menjual produk segar, terutamanya jagung, keledek, cendawan, dan buah berangan.
4. Beristirehat di Sekeping Retreats
Sekeping adalah tempat bersantai yang terletak di lokasi yang indah dengan harapan bahawa tetamunya akan dapat menikmati udara segar. Semua bilik di sini dikelilingi oleh alam semula jadi. Di sini, anda bolehlah melupakan beban kerja atau masalah di rumah, dan memfokuskan untuk menenangkan fikiran dan menyiapkan diri untuk menghadapi hari bersalin nanti.
Tidak kira di mana atau apa yang anda ingin lakukan untuk babymoon anda, sila ingat untuk menjaga diri sendiri. Jangan lupa untuk memakai pakaian dan kasut paling selesa dan membawa air yang mencukupi dengan anda untuk memastikan anda kekal terhidrat.
Berjalan semasa hamil mungkin baik untuk anda, tetapi terlalu banyak boleh berbahaya untuk anda dan bayi anda. Anda perlu tahu bila anda perlu berhenti dan berehat (pasti hubby akan memahami) dan yang paling penting, jangan lupa untuk menikmati percutian babymoon anda dengan pasangan!
5. Pulau Kapas, Terengganu untuk menikmati pandangan pantai, tenang!
Kalau mak buyung terasa nak ke pulau yang cantik tapi risau faktor perjalanan yang jauh menaiki bot, tak mengapa. Boleh ke Pulau Kapas sahaja sebab tempoh perjalanan ke pulau itu hanya mengambil masa antara 15 ke 20 minit dari jeti Marang.
Walaupun Pulau Kapas terletak begitu dekat dengan tanah besar, ia tak bermakna air laut yang berada di sana kotor dan tidak jernih.
6. Nak pergi Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan pun boleh
Tempat ini boleh tahan femes juga. Mana tahu ibu mengandung tiba-tiba nak berendam di kolam peribadi tanpa ‘penampakan’ perut membulat. Ha, anda boleh memilih untuk bercuti ke rangkaian Hotel Lexis di Port Dickson ini sama ada di Grand Lexis ataupun Lexis Hibiscus. Dua-dua lawa dan memang tenang jika anda ingin berehat.
7. Villa Embun, Janda Baik Pahang
Jika anda yang duduk di sekitar Kuala Lumpur dan inginkan tempat yang agak jauh daripada bandar, tapi tak nak duduk dalam kereta berjam-jam lamanya, jangan risau. Kami sarankan untuk anda ke Villa Embun, Janda Baik, Pahang. Dari tol Gombak boleh sampai lebih kurang 45-50 minit sahaja tanpa trafik.
Tempat ini menampilkan reka bentuk ala Bali gitu! Untuk ke villa ini, pengunjung dibenarkan untuk menggunakan kenderaan sendiri hingga ke kawasan khas sebelum dibawa ke kawasan villa di puncak bukit menggunakan kenderaan (Buggy).
8. Colmar Tropical Berjaya Hills Bukit Tinggi, Pahang
Alang-alang sampai ke negeri Pahang, jangan lupa singgah ke Colmar Tropical Berjaya Hills di Bukit Tinggi. Tidak perlu jauh untuk menaiki pesawat berjam-jam lamanya, suasana di sini pun sudah seperti berada di perkampungan Eropah.
Ia membuatkan perasaan mak buyung teruja melihat suasana yang berkabus dengan reka bentuk bangunan hotel yang unik persis bercuti di Perancis. Tidak lengkap sekiranya tidak melepaskan mengidam merasai secangkir kopi dan roti di kafe La Boulangerie.
9. Pulau Pangkor, healing sekali pakej mengurut
Jika ibu hamil sukakan kedamaian yang jauh dari hiruk-pikuk bandar, Pulau Pangkor Resort yang terletak di Perak mungkin menepati citarasa anda.
Anda boleh menaiki bot laju persendirian daripada Marina Island Pangkor untuk sampai ke resort ini. Apa yang bestnya, kejutan buat isteri yang tersayang kerana terdapat pakej urutan dan spa turut disediakan di sini.
Boleh maklumkan terlebih dahulu kepada tukang urut minta urutan ibu hamil, ya.
10. Amanjena Resort, Melaka ala-ala bercuti di Santorini
Kalau ada mak buyung yang mengidam melancong ke Santorini, Greece yang terkenal dengan keindahan tema warna biru dan putih. Buat sementara waktu ini, anda boleh bercuti ke Santorini di Melaka. Dekat sangat!
Dengan reka bentuk dan gabungan warna biru putih persis di sana, anda boleh menikmati babymoon dengan suasana yang mendamaikan.
Di malam hari, jika bertuah anda dan pasangan boleh melihat keindahan langit dengan bintang gemerlapan yang jelas kelihatan.
Perkara Penting Sebelum Pergi Babymoon
Lokasi terpulang kepada anda tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diingati. Tetapkan berapa jam masa perjalanan untuk sampai ke destinasi. Anda akan berasa lebih selesa dengan perjalanan singkat.
Kawasan yang jauh atau terpencil mungkin terlalu tidak selamat atau tidak bersih untuk anda. Destinasi babymoon juga harus menampilkan keadaan cuaca sederhana dan kemudahan yang baik, sekiranya sebarang komplikasi timbul.
1. Pilih lokasi yang akan memudahkan anda
Anda mungkin mempunyai beberapa hari untuk bercuti, tetapi ingat bahawa anda masih akan melakukan perjalanan di tengah-tengah pandemik. Oleh itu, perhatikan nasihat perjalanan. Pilih lokasi di mana kadar penularan tempatan (bukan hanya COVID-19, tetapi sebarang penyakit) adalah rendah.
Selain itu, jika anda melakukan perjalanan dengan kapal terbang atau laut, semak sekatan perjalanan mereka. Kebanyakan syarikat penerbangan membenarkan wanita hamil untuk terbang selagi mereka tidak melepasi minggu ke-36 mereka. Laluan pelayaran mempunyai sekatan juga.
2. Jangan pening-pening untuk plan pergi babymoon di Malaysia
Tujuan perjalanan anda adalah untuk berehat dan bukan untuk menambah masalah pada saraf anda yang sudah letih. Jika anda terbang, sebaiknya tempah penerbangan terus untuk mengelakkan waktu yang membosankan di ruang istirahat lapangan terbang.
Tempah tempat duduk di bahagian hadapan, kerana ia akan memudahkan anda untuk ke tandas. Kebanyakan ejen pelancongan terkenal kini menawarkan perkhidmatan babymoon – di mana segala urusan anda bermula daripada penginapan hingga rombongan akan diuruskan.
3. Ambil kira jenis masakan tempat yang anda ingin pergi
Sebelum anda mengemas beg anda ke lokasi eksotik, luangkan sedikit masa mencari restoran tempatan di kawasan itu. Anda mungkin berasa luar biasa pada trimester kedua anda, tetapi masih terdapat makanan yang akan membuat anda semput dan harus dielakkan.
Anda pasti inginkan pilihan makanan mesra perut dan pilihan yang mencukupi untuk memuaskan keinginan kehamilan. Pastikan anda membungkus vitamin pranatal dan beberapa ubat alahan dan preskripsi, (jika anda mempunyainya). Selain itu, ke mana sahaja anda pergi, jangan lupa minum air yang mencukupi (pastikan air di lokasi itu selamat untuk diminum).
4. Plan segala aktiviti terus, tak kalut nanti!
Terdapat batasan untuk segala jenis aktiviti buat wanita hamil. Jadi apabila merancang babymoon, sebaiknya ambil kira perkara itu. Anda masih boleh pergi ke pantai tetapi berhati-hati dengan risiko mandi di laut.
Sukan air ekstrem perlu ditangguhkan buat masa ini, tetapi anda boleh menikmati waktu berjalan kaki yang tenang atau urutan kaki di tepi pantai.
5. Kalau boleh, beritahu doktor anda sebelum pergi babymoon (boleh minta juga nasihat mereka)
Perjalanan memerlukan satu set cabaran baharu apabila anda hamil. Sebelum berehat, perkara yang paling penting ialah keselamatan anda. Pastikan anda memberitahu doktor anda sebelum menempah perjalanan. Beritahu mereka tentang rancangan anda dan semak sama ada anda berada dalam keadaan terbaik untuk bercuti.
Jika anda mempunyai kehamilan berisiko tinggi, jangan kecewa jika doktor anda mahu memastikan anda berada di rumah.
Selain itu, jika anda merancang untuk melancong ke luar negara, tanya doktor tentang sebarang vaksin yang diperlukan. Jangan lupa untuk meletakkan nombor OB-GYN anda pada speed-dial, dan pastikan pasangan atau rakan anda mempunyai nombor itu pada telefonnya juga.
Semasa menyelidik tentang destinasi, sila ambil perhatian jika mereka mempunyai akses kepada kemudahan perubatan berhampiran kawasan itu, dan catat maklumat hospital berdekatan untuk sentiasa berada dalam keadaan selamat sepanjang percutian.
Paling penting, jangan biarkan babymoon anda memberi tekanan kepada anda dan pasangan. Ingat bulan madu anda? Ini semua tentang meluangkan masa dan berehat bersama daripada menjejalkan pengembaraan sebanyak mungkin.
Luangkan masa berkualiti dengan insan tersayang sebelum anda berdua bergelar ibu bapa.
Artikel ini diterjemah dengan kebenaran daripada theAsianparent Singapura.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Hamil Sangat Perlukan Sokongan Keluarga, Jangan Biarkan Mereka Sendirian!
Baca juga: 10 Makanan Yang Boleh MELEMAHKAN Kandungan, Ibu Hamil Sebolehnya Elakkan!