Memandangkan kini telah tibanya musim durian, para peminat raja buah ini pastinya mengambil peluang untuk menikmatinya bersama keluarga. Namun ada yang mengatakan bahawa ibu hamil perlu berhati-hati bila makan durian agar tidak membahayakan bayi dalam kandungan.
Setiap orang mungkin mempunyai pandangan berbeza. Ada yang tidak mengalami sebarang kesan bahaya ketika mengambil durian dan ada juga ibu merasai tidak sedap badan.
Ibu mengalami keguguran selepas makan durian
Tiada ibu di dalam durian ini sanggup untuk berdepan dengan kehilangan anak dalam kandungan.
Menurut perkongsian oleh seorang wanita, Farah Natasha dalam Facebook miliknya, dia telah mengalami keguguran akibat terlalu banyak makan durian. Difahamkan, kandungannya masih terlalu awal.
Dia yang tidak tahu mengenainya telah mengambil buah durian untuk empat hari berturut-turut.
Ya Allah maafkan mama. Terlampau makan durian banyak sampai gugur. Empat hari berturut-turut makan durian. Lepas tu semalam petang papa beli lagi durian, mama makan banyak semalam.
Lepas tu pagi tadi makan banyak lagi. Sumpah tiada niat untuk gugurkan kamu. Mama tidak tahu, doktor cakap kandungan baru lagi. Makan durian dengan banyak penyebab mama gugur.
Bukan rezeki mama papa untuk jumpa kamu. Maaf sangat sayang. Kita jumpa di syurga ya sayang. Anak syurga mama papa. Papa menyesal beli durian. Mama menyesal makan durian sampai tak sedar yang awak ada dalam perut.
Ya allah bukan niat nak gugur. Sedihnya kami. Doktor minta untuk berpantang selama 2 minggu. Semoga diri ini kuat. Mama papa tak pernah melupakanmu. Terima kasih hadir dalam rahim mama walaupun sekejap.
Benarkah makan durian boleh membahayakan bayi dalam kandungan?
Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan sesetengah komuniti di Asia masih mengekalkan pantang larang untuk tidak makan durian semasa kehamilan. Misalnya, pendekatan tradisional orang Cina dalam kesihatan menganggap buah ini terlalu ‘panas’ untuk dimakan oleh ibu mengandung.
Justeru, kebanyakan komuniti orang Cina di Asia Tenggara menasihati bakal-bakal ibu untuk tidak mengambil buah durian.
Setakat ini tiada sebarang kajian mengenai keselamatan makan durian semasa kehamilan. Bukan itu sahaja, sains moden tidak menjumpai sebarang sebab yang mengatakan buah ini tidak selamat untuk ibu hamil.
Walau bagaimanapun, wanita yang sedang hamil hendaklah mengambil durian dalam jumlah sedikit kerana buah ini mengandungi karbohidrat dan gula yang tinggi.
Anda hanya boleh mengambil durian sebanyak dua ulas sahaja untuk sehari dan sentiasa berwaspada jika terdapat kesan tidak elok, segera berjumpa doktor.
Kemungkinan yang boleh terjadi jika makan durian dengan terlalu banyak
#1. Kontraksi awal
Ada ibu pernah mengalami kontraksi awal apabila mengambil durian secara berlebihan. Kandungan dalam buah ini boleh merangsang pengeluaran prostaglandin. Jika ia terjadi, boleh ibu mungkin terpaksa bersalin awal walaupun kandungan tidak cukup bulan.
#2. Risiko keguguran
Usia kehamilan yang terlalu awal adalah tidak digalakkan untuk memakan durian. Hal ini kerana kandungan durian dikatakan boleh menyebabkan panas di dalam rahim dan membuatkan janin tidak mampu bertahan.
#3. Kelahiran bayi pramatang
Kelahiran bayi pramatang juga boleh berlaku disebabkan oleh pemakanan harian ibu. Jika anda mengambil buah durian dalam kuantiti yang banyak dan berlebihan, ia meningkatkan risiko bayi lahir secara pramatang.
Meskipun raja buah ini begitu sedap, sentiasa berwaspadalah ketika menikmatinya. Ambil dua ulas sahaja sudah cukup ya ibu!
#4. Janin boleh mengalami kekurangan oksigen
Pembuluh darah yang sempit boleh menganggu aliran darah serta oksigen dalam tubuh ibu mengandung kepada bayi. Keadaan ini sekaligus boleh menyebabkan janin mengalami lemas dan pergerakannya menjadi tidak aktif.
#5. Risiko kencing manis
Ibu yang memakan buah durian dengan terlalu banyak berisiko mengalami masalah diabetes. Hal ini kerana buah durian mempunyai kandungan gula yang agak tinggi.
Sekiranya ibu berdepan masalah kencing manis ketika mengandung, pemakanan dan gaya hidup harian hendaklah dijaga sebaik mungkin agar tidak memberikan kesan terhadap kehamilan dan proses kelahiran.
Sumber: Farah Natasha, Dr Zubaidi Hj Ahmad
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Serawa Durian Pekat & Berkrim, Sedapnya Makan Bersama Keluarga