Belum pun reda kisah bayi berusia 10 hari diberi makan bubur pisang oleh neneknya, timbul pula kisah bayi empat bulan yang meninggal dunia setelah diberi makan nasi selama seminggu oleh ibunya!
Memang sangat mengejutkan namun tidak pelik kerana ada saja yang anggap beri makanan kepada bayi di bawah enam bulan tidak akan bawa bahaya kepada anak.
Masyarakat kini sepatutnya sudah lebih cakna bahawa bayi di bawah enam bulan tidak boleh diberi makanan kerana usus mereka masih belum matang untuk memproses makanan.
Mereka hanya perlu diberikan susu sahaja pada usia di bawah enam bulan. Malang sungguh nasib bayi ini, usia empat bulan sudah diberi makan nasi!
Bayi 4 bulan maut selepas seminggu makan nasi
Dilaporkan bayi berkenaan di bawa ke unit kecemasan sebuah hospital di Indonesia kerana keadaan perutnya yang keras dan kelihatan sangat sukar untuk bernafas selain kaki dan tangannya kesejukan serta nadi tidak dapat dikesan.
Bayi itu juga kelihatan menangis dengan sangat lemah. Rupanya setelah doktor bertanya beberapa soalan, baharulah ibunya berterus terang bahawa bayinya sudah diberi makan nasi hampir seminggu!
Perut keras, sukar bernafas kelihatan tercungap-cungap
Ujian sinar-X menunjukkan, keadaan hati bayi berkenaan yang membengkak dan hampir pecah. Ia juga kelihatan lebih besar daripada saiz jantungnya. Ini adalah kesan kerana makanan itu berkumpul di bahagian usus dan tidak boleh keluar.
Malangnya bayi itu lambat dibawa ke hospital, dan oksigennya SpO2-nya hanya 75, nadi 44. Bayi berkenaan juga kelihatan semput.
Semoga keluarga ini ambil iktibar atas kejadian yang berlaku dan keluarga lain di luar sana yang juga mempunyai bayi juga mengambil iktibar daripada kejadian ini.
Ini sebab kenapa bayi bawah 6 bulan tak boleh diberi makan
#1.Sistem penghadaman yang belum matang
Sistem penghadaman bayi di bawah 6 bulan masih terlalu muda dan belum bersedia untuk memecahkan kanji dan karbohidrat. Tubuh bayi masih belum menghasilkan enzim yang mencukupi untuk proses ini. Enzim amilase di dalam air liurnya belum cukup bagus untuk menjalankan proses pencernaan pertama.
Tubuh bayi masih belum dapat memproses lemak. Manakala buah pinggangnya masih belum bersedia untuk memproses protein yang tinggi dari sumber telur, daging dan susu lembu (Protein di dalam susu ibu adalah berbeza).
#2. Masalah kesihatan jangka masa panjang
Pernahkah anda terjumpa seseorang dewasa yang kelihatan sihat, menjaga pemakanan, rajin bersenam, tiba2 jatuh sakit atau meninggal dunia akibat penyakit kronik, seperti sakit jantung, strok, kencing manis, buah pinggang dan sebagainya?
Menurut kajian yang dibuat oleh University of Buffalo, salah satu penyebab keadaan ini adalah akibat dari pemberian makanan terlalu awal.
Tidakkah anda menyayangi anak anda dan masa depannya?
#3. Masalah dalam penyusuan
Bayi yang diberi makan terlalu awal, akan lebih kenyang dengan makanan. Ini akan mengganggu penyusuan ibu kerana mungkin bayi sudah tidak mahu menyusu lebih banyak.
Fikir-fikirkanlah tentang masa depan anak-anak kita. Ada sebabnya apabila satu riwayat diceritakan kepada kita bahawa Rasulullah SAW cuma memercikkan air pada pakaian yang terkena kencing bayi lak-laki di bawah usia 2 tahun yang hanya minum susu ibunya sahaja.
Ada mesej tersembunyi kenapa Rasulullah masih tinggal bersama Halimatussaadiah, ibu susuannya meskipun usia Baginda sudah melepasi 2 tahun.
Sayangilah masa depan anak-anak kita. Jangan terlalu ghairah untuk melihat bayi kita ‘cepat besar’ dan memberinya sesuatu yang dia belum bersedia untuknya. Ikutlah saranan yang telah digariskan, sebagai satu usaha untuk memastikan anak-anak kita membesar dengan sihat dan terjaga kesihatannya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit foto: gilainfo
Baca juga: Anak Bersedia Untuk Makan Buat Kali Pertama? Cuba 14 Resipi Makanan Bayi 6 Bulan Penuh Khasiat Ini
Baca juga: 23 Resepi Makanan Bayi 8 Bulan Berkhasiat, Mudah & Cepat Untuk Ibu Sediakan!
Baca juga: Sedapnya Potato Cheese Ball! Sesuai Untuk Bayi Mula 8 Bulan, Boleh Naikkan Selera Makan!