Boleh dikatakan sekarang terlalu banyak makanan manis yang dijual tidak kira melalui online mahupun di gerai-gerai jualan contohnya seperti kuih donut bamboloni, boba tea, aiskrim dengan pelbagai perisa dan banyak lagi yang seolah-olah menjadi trend di Malaysia.
Apa saja diskaun promosi akan kita sambut dengan penuh keriangan hingga tak sangka ia sebenarnya boleh membawa padah pada kesihatan badan yang terlampau banyak menerima makanan manis ini hingga menyebabkan pelbagai penyakit yang serius.
Akibat makanan manis, gadis 19 tahun hidap diabetes dan alami masalah penglihatan
Ini yang terjadi kepada Sidah Omar Baki, 27 apabila hampir semua makanan yang viral di media sosial terutama makanan manis dan karbohidrat akan dicuba kerana pada mulanya dia beranggapan dirinya masih muda dan tidak berisiko untuk menghidap sebarang penyakit yang serius.
Namun disangka panas sampai ke petang rupanya hujan ditengah hari apabila Sidah disahkan menghidap kencing manis ketika umurnya 19 tahun, sehingga doktor memberitahu dia mengalami masalah penglihatan. Malah tak cukup dengan itu sahaja, dia juga perlu mengambil insulin dan menghidap darah tinggi.
Lebih memilukan, setelah dia menderita tiga penyakit tersebut dan menampung hidupnya sebagai tukang jahit terpaksa melupakan kerjaya tersebut dan kini bergantung sepenuhnya kepada ibu Zaipah Mohd Adam, 48 dan adik bongsunya Abdul Hadi, 21 yang bekerja sebagai pembantu stor di Pasar Raya.
Kongsi kisahnya di Facebook
Tidak malu berkongsi kisahnya dan ingin menjadikan ia sebagai pengajaran kepada orang lain, anak sulung daripada dua beradik itu memuat naik kisahnya itu di laman sosial Facebook sehingga mendapat 4000 perkongsian.
Malah ramai pengguna Facebook yang lain turut berterima kasih kepadanya kerana memberi kesedaran kepada orang lain agar tidak mengamalkan makanan yang tak sihat seperti dirinya.
Beliau menambah, dia berkongsi adalah untuk memberi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perkara yang sama sepertinya khusunya kepada golongan yang masih muda.
Akui cuai jaga kesihatan
Menurut Sidah lagi, dia akui cuai dalam penjagaan kesihatan sejak dari umur belasan tahun lagi apabila selalu membeli dan mencuba makanan yang tular di media sosial.
Bahkan, kebanyakannya adalah terdiri daripada makanan manis dan mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi malah dia tidak sedar akan risiko yang bakal berlaku jika diambil berlebihan.
Selepas disahkan menghidap kencing manis yang serius sehingga perlu mengambil insulin selain penyakit darah tinggi, Sidah mula menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Hiliran (KKH) selama setahun sahaja kerana sibuk dengan kerja dan tidak mengambil ubat-ubatan yang disarankan doktor.
Namun pada Julai yang lalu selepas mengalami masalah penglihatan, barulah dia mula menjalani rawatan susulan sehingga dirinya tidak mampu menunggang motosikal apatah lagi bekerja.
Ini kerana matanya mulai kabur dan dia segera membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah sebelum doktor mengesahkan ia berpunca akibat penyakit kencing manis yang dihadapi.
Bermula dari saat itu, Sidah mula menjalani kehidupan yang lebih sihat termasuklah menjaga makanan yang diambil seharian seperti mengurangkan pengambilan karbohidrat, makanan berlemak dan manis.
Malah lebih memeritkan kehidupannya berubah 100 peratus kerana jika dulu dia yang menguruskan untuk menghantar ibunya menjalani pemeriksaan jantung di hospital yang sama tapi kini terpaksa minta bantuan bapa saudara untuk sebarang kecemasan.
Bahkan keluarganya juga bukan di kalangan orang senang dan pendapatan yang diterima sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak cukup untuk menampung mereka sekeluarga.
Menurut ibunya, tidak ada apa yang diharapkan selain berharap penglihatan Sidah kembali pulih seperti sedia kala kerana bimbang dengan masa depan anak perempuanya itu.
Oran ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 163019794719 atau menghubunginya di talian 013-9711257.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Harian Metro
Kredit gambar : Odisi
Baca juga
https://my.theasianparent.combahaya-minum-bubble-tea