Kita semua tahu penting untuk ibu ayah memberi makanan untuk minda anak yang sihat, berkhasiat dan paling penting masih lagi lazat bagi mereka. Ia penting bagi tumbesaran fizikal dan perkembangan otak malah IQ anak.
Semasa kecil, tubuh anak anda membesar dengan cepat dan otaknya juga membesar sehingga 3 kali ganda apabila dia berusia 3 tahun.
Pengkaji, Francisco J. Rosales, bersetuju yang fasa kanak-kanak adalah masa paling penting dalam perkembangan kognitif seorang insan.
Ia berkaitan dengan kemahirannya berfikir, mengingat, mengawal, dan memberi fokus. Semua perkembangan ini memerlukan anak anda menerima bekalan khasiat yang mencukupi.
9 makanan untuk minda anak yang anda boleh beri
Disebabkan kepentingan inilah, kami telah menyediakan senarai 9 makanan untuk minda anak yang dapat membantu menggalakkan perkembangan otak si kecil anda.
Bahan-bahan ini mudah untuk diperolehi di pasaraya, kedai runcit, dan hypermarket yang berdekatan dengan rumah anda. Malah, menyediakannya juga mudah!
1# Makanan untuk minda anak: Buah beri
Kredit: Unsplash
Manfaat: Buah beri kaya dengan antioksidan dan ia memberik manfaat buat otak dan sistem saraf anak anda dengan melindunginya dari radikal bebas yang merosakkan.
Cara penyediaan: Buah beri biru, strawberi dan raspberi adalah snek sihat untuk anak anda. Cara yang paling mudah untuk menghidangkannya adalah dengan membuat jus buahan.
Anda turut boleh memasukkannya dalam bubur atau hidangan gandum/oatmeal/nestum si kecil. Hidangkan juga dengan roti whole grain kerana ia dapat membekalkan serat serta vitamin.
2# Makanan untuk minda anak: Telur
Kredit: Unsplash
Manfaat: Telur menyediakan sumber Choline, asid lemak omega tiga, zink dan lutein yang sangat membantu dalam meningkatkan fokus anak, perkembangan otak dan juga kekuatan memorinya.
Cara penyediaan: Untuk makanan minda kanak-kanak ini, anda boleh menyediakan hidangan telur rebus, omelet, atau menghidangkan dengan nasi atau roti.
Tahukah anda kanak-kanak digalakkan untuk makan sebiji telur setiap hari? Ya! Jadi hidangkan kepada anak anda hari ini, dan kalau boleh, elak tambah garam dalam sajian telur.
3# Makanan untuk minda anak: Avokado
Kredit: Unsplash
Manfaat: Selain menjadi makanan minda kanak-kanak, avokado juga adalah makanan superfood. Ianya tinggi kandungan lemak yang baik seperti omega tiga, Vitamin C, E, K dan B-6, termasuklah folat dan lutein.
Hampir 60% daripada otak kita adalah lemak, jadi nutrien ini bagus untuk perkembangan otak anak anda.
“Lemak adalah nutrien berstruktur yang diperlukan untuk perkembangan otak, seperti mana batu-bata diperlukan untuk membina dinding. Jika anda mahu anak anda mahir berfikir, menganalisis dan sentiasa dalam mood yang baik, maka anda perlu berikannya makanan yang terbaik.”
Itu penerangan Kelly Dorfman, seorang pakar nutrisi kanak-kanak.
Cara penyediaan: Buah avokado sangat berkrim dan berlemak. Ia sangat sedap jika dilenyekkan dan disapu pada roti. Anda juga boleh membakarnya bersama dengan telur. Ianya lembut dan enak dimakan!
4# Salmon
Kredit: Unsplash
Manfaat: Salmon juga merupakan lagi satu makanan minda kanak-kanak yang hebat. Ianya tinggi dengan omega tiga dan lemak DHA yang penting untuk pekembangan otak, saraf dan mata.
DHA juga dianggap sebagai makanan minda dan merupakan komponen utama dalam tisu otak!
Cara penyediaan: Ada banyak cara anda boleh menyediakan salmon untuk si kecil anda.
Sama ada anda membakarnya, membuat bubur ikan salmon, menggoreng, atau pun dijadikan rencah nasi goreng. Salmon sememangnya sedap dan berkhasiat untuk seisi keluarga!
5# Sayur hijau
Kredit: Unsplash
Manfaat: Zat besi adalah elemen penting untuk otak dan sistem saraf anak anda, ia adalah komponen sel darah merah, yang mempunyai hemoglobin yang mengangkut oksigen ke otak dan seluruh badan.
Jika kekurangan zat besi, ia mempengaruhi kebolehan anak untuk belajar, mengingat dan memberi fokus. Sayuran hijau adalah sumber makanan yang kaya dengan zat besi, folat dan vitamin!
Cara penyediaan: Bayam dan kale adalah kaya dengan zat besi dan perlu dimasukkan dalam diet pemakanan anak anda. Masukkan dalam hidangan nasi, mee, atau apa sahaja makanan kegemarannya. Sertakan juga Vitamin C kerana ia membantu penyerapan zat besi.
6# Kekacang
Kredit: Unsplash
Manfaat: Kekacang juga adalah makanan sihat yang bagus untuk anak anda. Ia juga sejenis makanan yang dapat membekalkan otak dengan lemak penting.
Contohnya, walnut dan almond membantu untuk menguatkan ingatan, fungsi kognitif dan perkembangan otak
Cara penyediaan: Masukkan kekacang dalam hidangan nasi, bijirin, dan bubur anak anda. Malah, berikan juga roti bersalut jem peanut butter semasa sarapan pagi. Cumanya, pastikan si kecil anda tidak alah pada kekacang.
7# Bijirin penuh
Kredit: cleavelandclinic.org
Manfaat: Bijirin penuh, atau whole grains, adalah makanan minda kanak-kanak yang baik untuk si manja anda. Ia mempunyai vitamin yang membantu pengedaran darah dan menguatkan memori.
Aliran glukos yang stabil dalam darah yang dibekalkan oleh bijirin penuh dapat membantu meningkatkan fokus, ingatan, tanpa tahap gula yang tinggi secara tiba-tiba.
Cara penyediaan: Masak nasi perang atau buat bubur nasi perang sebagai hidangan tengah hari atau malam. Berikan juga minuman barli yang turut membantu menyejukkan badan ketika hari panas. Hidangkan juga hidangan oatmeal penuh untuk dimakan sebagai bijirin semasa sarapan pagi.
8# Susu
Kredit: Freepik
Manfaat: Selain kalsium, susu juga menyediakan mineral dan vitamin yang penting untuk kesihatan minda anak anda.
Dengan memberikan anak anda susu segar, susu UHT atau susu formula, ia membekalkan DHA, choline, folat, dan zat besi untuk membantu meningkatkan kemahiran berfikir si kecil.
Cara penyediaan: Ia semudah menghidangkan secawan atau sebotol susu. Sebagai tambahan, anda turut boleh memasukkan susu segar dalam hidangan penkek, bubur, atau semasa membuat gulai sebagai gantian santan kelapa.
9# Yogurt greek
Kredit: myfitnesspal.com
Manfaat: Yogur greek juga adalah makanan minda kanak-kanak yang menjadi alternatif terbaik untuk aiskrim! Ia kaya dengan probiotik yang baik untuk kesihatan usus anak anda.
Malah, vitamin dan mineral yang ada di dalamnya juga baik untuk kesihatan otak. Pakar mencadangkan yogurt greek penuh lemak untuk anak kecil supaya dia menerima khasiat lemak penting yang diperlukan oleh sel otak.
Cara penyediaan: Hidangkan yogurt sebagai hidangan sampingan semasa memakan hidangan utama seperti nasi. Malah, anda turut boleh menyediakan salad sayur menggunakan yogurt greek ini.
Anda juga turut boleh membekukan yogurt dalam bekas aiskrim dan ia sedap (dan sihat) untuk dimakan semasa hari panas!
Ibu, masukkan 9 makanan minda kanak-kanak di atas ke dalam diet pemakanan harian si manja anda. Ia membekalkan banyak khasiat dan dapat membantunya membesar dengan bijak dan sihat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: 4 Resepi Telur Untuk Bayi Yang Mudah Dibuat Dan Lazat! Ibu Ayah Wajib Cuba
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!