Orang selalu ingat mandi bunga hanya untuk bakal pengantin semata, padahal kita sendiri pun boleh amalkan untuk menyegarkan tubuh badan dan meningkatkan mood menjadi lebih baik.
Isi Kandungan
Apa Itu Mandi Bunga
Mandi bunga adalah satu amalan tradisional yang melibatkan penggunaan air yang telah dicampur dengan pelbagai jenis bunga untuk tujuan kebersihan, penyucian, atau terapi.
Amalan ini sering dijalankan dalam pelbagai budaya dengan tujuan untuk memberikan manfaat fizikal, mental, dan spiritual.
Bunga yang digunakan dalam mandian bunga biasanya dipilih berdasarkan keharuman, khasiat, dan simboliknya. Proses mandi ini boleh dilakukan dengan mencampurkan bunga segar atau kering ke dalam air mandian, atau dengan menggunakan ekstrak bunga dalam bentuk minyak.
Kebaikan Mandi Bunga
Mandian bunga merupakan ritual masyarakat Melayu zaman dahulu yang dipercayai mempunyai unsur-unsur keagamaan. Berikut beberapa kebaikan mandi bunga:
1. Meningkatkan Kecantikan Kulit
Mandian bunga sering menggunakan pelbagai jenis bunga yang mempunyai minyak esensial semula jadi. Minyak ini boleh membantu melembapkan kulit, menjadikannya lebih lembut dan berseri. Selain itu, beberapa jenis bunga seperti bunga mawar dan melati mempunyai antioksidan yang boleh membantu melawan tanda-tanda penuaan.
2. Mengurangkan Stres dan Keresahan
Aroma bunga yang wangi boleh memberikan kesan menenangkan, yang membantu mengurangkan stres dan keresahan. Mandi bunga sering dikaitkan dengan terapi aromaterapi, di mana bau-bauan daripada bunga tersebut membantu menenangkan minda dan memperbaiki mood.
3. Menaikkan Aura dan Tenaga Negatif
Dalam kepercayaan tradisional, mandi bunga dipercayai dapat membersihkan aura seseorang dan menghilangkan tenaga negatif. Amalan ini sering dilakukan sebelum upacara penting, seperti perkahwinan, untuk memastikan seseorang berada dalam keadaan positif dan bersih secara spiritual.
4. Meningkatkan Kesihatan Reproduktif
Beberapa wanita mempercayai bahawa mandi bunga boleh membantu memperbaiki kesihatan sistem reproduktif. Contohnya, bunga yang digunakan dalam mandi bunga dipercayai dapat membantu melancarkan aliran darah dan memperbaiki kesihatan rahim.
5. Meningkatkan Keyakinan Diri
Mandi bunga juga boleh meningkatkan keyakinan diri. Apabila seseorang berasa segar, bersih, dan tenang selepas mandi bunga, ini boleh memberi kesan positif terhadap cara mereka berinteraksi dengan orang lain dan menghadapi situasi harian.
6. Mengatasi Masalah Tidur
Bau wangi dari bunga seperti lavender dan melati dapat membantu menenangkan sistem saraf, memudahkan tidur yang berkualiti dan mengatasi masalah insomnia.
7. Mengurangkan Kepenatan
Mandi bunga boleh memberikan rasa relaksasi yang mendalam, membantu mengurangkan kepenatan fizikal dan mental setelah hari yang panjang.
Panduan Menyediakan Mandi Bunga
Di kalangan orang Melayu, mandi bunga bertujuan untuk menaikkan aura semangat dan seri bagi raja-raja yang dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’. Biasanya mengikut unsur Islam, mandian ini dimulai dengan bacaan lafaz ‘Basmalah dan diakhiri dengan syahadah.
Ada juga yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema yang mana perbuatan ini boleh mendatangkan khuarafat jika salah niat dan tujuan asal.
Panduan Menyediakan Mandian Bunga
Antara ramuan mandian bunga yang sering digunakan untuk mandian ialah:
- Bunga-bunga terpilih seperti kenanga. mawar. bunga kesidang, bunga tanjung, bunga cempaka.
- Air bersih (air mutlak)/Air mawar
- Limau nipis/Limau purut
- Daun sireh
- Daun pandan
- Daun bidara
- Serai
- Dan macam-macam lagi
Cara Mandian Bunga Untuk Kesihatan
Kami kongsikan cara mandian bunga dengan betul supaya tubuh badan anda menyerap segala khasiat yang diperlukan untuk kembali bertenaga.
Bahan-bahan:
- 7 atau 9 jenis bunga yang tidak berduri, mekar dan segar.
- Sebotol air mawar
- 2 biji limau purut
Cara Penyediaan:
- Guna 7 jenis bunga dan jumlahnya mestilah angka ganjil.
- Asingkan bunga dengan daun dan dahan.
- Rendam bunga-bunga tersebut di dalam besen yang berisi air.
- Campurkan dengan air mawar. Kacau rata.
- Belah limau purut dan rendam sekali.
- Rendam semalaman.
Pastikan warna bunga itu bukan hitam. Kalau boleh cari bunga dalam pelbagai warna dan segar dan berbau wangi.
Langkah-Langkah:
- Sebaiknya mandi pada waktu pagi untuk menyegarkan badan dan menyerap tenaga.
- Mandi biasa terlebih dahulu sebelum mandian bunga
- Sebelum mandi, baca niat dan berdoa.
- Semasa mula mandi, siram air di sebelah kiri sebanyak 3 kali.
- Diikuti dengan belah kanan sebanyak 3 kali.
- Siram di kepala sebanyak 3 kali.
- Siram ke seluruh badan sehingga air rendaman tadi habis.
- Baca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sehingga selesai mandian bunga.
- Biarkan air di badan kering sendiri supaya khasiat bunga-bungaan dapat diserap sepenuhnya ke dalam badan.
Pantang Larang Mandian Bunga
Terdapat beberapa pantang larang yang perlu diikuti supaya tidak tersalah langkah, antaranya:
- Sebaiknya dilakukan pada malam Jumaat atau malam Khamis ATAU pada awal pagi, hari Jumaat atau Khamis.
- Sebelum air dijadikan mandian, iringi dengan ayat suci al-Quran agar lebih berkat.
- Semasa mandi, fikirkan perkara positif dan niat dalam hati untuk pulihkan dalaman.
- Tidak boleh bertelanjang bulat atau boleh ditutupi sebahagian tubuh badan.
- Garam bukit dan minyak wangi Attar boleh digunakan jika ada.
- Bunga yang sudah dipilih untuk mandian dilarang hidu. Ini akan menghilangkan seri dan khasiat jika dihidu.
- Jangan gunakan bunga kertas, bunga yang beracun dan bunga yang tumbuh di tanah kubur.
- Jumlah bunga tidak perlu terlalu banyak cukup sekadar memadai.
- Sebaik sahaja selesai mandi, hanyutkan air mandian ke sungai atau air yang mengalir. Jangan dibiarkan sisa bahan tersebut berada di tempat mandian.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Begini Cara Mandi Bunga Bagi Menguatkan Semangat & Keyakinan Ibu Selepas Bersalin
Baca juga: Tak Boleh Keluar Rumah Selepas Bersalin Adakah Ia Cara Berpantang 44 Hari Yang Betul?
Baca juga: Ini Sebab Janin Anak Sulung Dari Ibu Bapa Sulung ‘Laris’ Dalam Ilmu Hitam, Jadi Pilihan Tok Bomoh