Rutin sebelum tidur atau bedtime routine adalah perkara yang sering dilakukan sebelum anak kecil dapat melelapkan mata. Dengan menekankan beberapa aspek, ibu ayah tidak perlu risau kerana si manja anda berupaya untuk tidur dengan mudah seperti menukar lampin, membekalkan susu dan memdengarkan ayat suci al-quran. Namun, tahukah anda akan manfaat surah al-mulk?
Anak kecil yang kurang tidur akan meragam sehingga membuatkan anda penat untuk melayan mereka. Yelah kan, nak kemas rumah dan masak lagi. Anak kecil pula asyik duk menangis macam kena dera!
Manfaat surah al-mulk untuk anak
Rutin sebelum tidur yang dilakukan dengan konsisten dapat membantu mengawal pemikiran anak-anak akan waktu tidur mereka dan melelapkan mata dengan nyenyak.
Antaranya ialah memberus gigi sebelum tidur, baca buku sebelum tidur atau memberi belaian manja terhadap anak tercinta.
Selain itu, ibu ayah boleh cuba amalkan surah al-mulk sebelum masuk ke bilik tidur kerana ia dikatakan ayat pelindung diri daripada seksaan kubur.
Anda juga boleh menceritakan sikit betapa Allah sayangkan hampaNya, menganugerahkan surah hebat dalam al-quran untuk melindungi diri daripada azab dalam kubur kelak.
Sekiranya anda mempunyai matlamat untuk melahirkan anak yang soleh, bahagia di dunia dan akhirat, itu adalah lebih mudah dicapai sekiranya menjadikan rutin baca al-Quran setiap hari.
Surah pelepasan bagi menghindari azab neraka
Manfaat surah ini adalah surah yang memberi keamanan dan keselamatan kerana ia menyelamatkan pengamalnya daripada seksa kubur. Sejarah turut membuktikan seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah S.AW. Ibnu Abbas menceritakan:
”Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka bahawa ia adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada dalam khemah, mereka tiba-tiba mendengar suara orang membaca surah al-mulk dari mula sehinggalah ke akhirnya.
Suara tersebut datangnya dari dalam tanah. Tahulah sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah S.A.W. Lalu baginda bersabda yang bermaksud: Surah al-mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindarkan pembacanya dari azab neraka.”
Meskipun begitu, surah al-mulk turut memiliki kelebihan yang lain. Antaranya ialah;
- Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, ”Aku sungguh gembira sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah al-mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
- Rasulullah bersabda, ”Barang siapa membaca surah al-mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.”
- Rasulullah bersabda, ”Sesiapa yang membaca surah al-mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan munkar dan nakir.”
- Rasulullah bersabda, ” Sesungguhnya dalam al-quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah al-mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke syurga.”
- Saiyidina’ Ali berkata: ”Barang siapa yang mengamalkan surah al-mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.”
- Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Yasin dan surah al-mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barang siapa mengamalkannya nescaya ia memperoleh rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan menjadi hebat pada pandangan makhluk.”
- Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: ”Barangsiapa yang membaca surah ini sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah S.W.T di dalam kuburnya. Apabila azab hendak datang ke bahagian kepala, terdengar satu seruan: ”Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah al-mulk.”
Justeru, ibu ayah perlu membiasakan diri untuk membaca ayat ini ketika waktu tidur anak-anak agar minda mereka tidak sepenuhnya fokus terhadap dunia dan menikmati tidur yang lebih lena.
Hati orang yang membaca atau mendengar al-Quran akan sentiasa tenang, dijauhi daripada bisikan syaitan serta dirinya akan turut dihormati.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Quran.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Inginkan Anak Kecil Pintar Dan Berjaya? Bacalah Ayat Al-Quran