Tidur gigi berbunyi seolah-olah bergeser atau mengetap, dikenali sebagai Bruxism. Ia adalah kejadian biasa dalam kalangan kanak-kanak terutamanya ketika beberapa tahun awal kehidupan mereka.
Walaupun ia boleh membuatkan ibu ayah berasa bimbang, memahami punca dan melaksanakan strategi yang sesuai boleh membantu mengurangkan kebimbangan dan menguruskan keadaan ini dengan berkesan.
Isi Kandungan
Anak Tidur Gigi Berbunyi
Bruxism merujuk kepada pengisaran, gertakan, atau ketap gigi yang tidak disengajakan, biasanya berlaku semasa tidur. Walaupun boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, gigi berbunyi ketika tidur kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Gesel gigi waktu tidur atau Bruxism dalam kalangan kanak-kanak sering berlaku pada usia si manja 3 dan 6 tahun, dengan beberapa kes berterusan sehingga remaja.
Walaupun sekali-sekala gigi berbunyi ketika tidur mungkin tidak menimbulkan risiko yang ketara, bruxism kronik boleh menyebabkan masalah gigi, ketidakselesaan dan corak tidur yang terganggu.
Kenapa Gigi Anak Berbunyi Semasa Tidur?
Penyebab sebenar bruxism pada kanak-kanak masih tidak jelas, tetapi beberapa faktor boleh menyumbang kepada perkembangannya:
#1. Perkembangan Rahang Dan Pertumbuhan Gigi Baru
Bagi anak-anak yang berusia bawah 7 tahun, keadaan gigi mereka sebenarnya masih dalam peringkat perkembangan. Justeru, ia selalunya menyebabkan kegatalan pada gusi dan mereka cenderung untuk mengunyah tanpa sebab.
Teeth grinding yang berlaku adalah respon badan terhadap perubahan serta perkembangan rahang kanak-kanak. Bagi gigi yang baru tumbuh, masalah gigi atau bruxism ini berlaku adalah bertujuan membetulkan susunan gigi agar ia lurus dan cantik.
Biasanya keadaan bruxism ini akan berakhir apabila gigi telah sempurna lurus dalam paksi rahang anak kecil anda.
#2. Gangguan Emosi
Kebanyakan penderita bruxism ini mengalami stres, berasa cemas, marah dan kecewa. Hal ini mendorong berlakunya penggeselan gigi ketika tidur. Masalah ini menjadi salah satu respon anak untuk mengatasi emosi yang dirasakan.
Kadang-kadang, anak menggertak gigi tanpa sedar kerana dia telah menjadikan tabiat ini sesuatu kebiasaan tanpa sedar ketika sedang memberikan tumpuan yang begitu mendalam.
#3. Masalah Tidur
Anak yang mengalami beberapa masalah ketika tidur seperti obstructive sleep apnea cenderung berdepan bruxism.
Bukan itu sahaja, si manja akan bercakap ketika matanya pejam, bertindak agresif seperti menendang atau memukul-mukul, mengalami halusinasi dan ketidakmampuan untuk bergerak ketika tidur (sleep paralysis) lebih cenderung mengalami bruxism.
#4. Masalah Rahang
Anak yang mengalami gigi bahagian atas dan bawah tidak dapat ditutup dengan baik akan cenderung mengalami bruxism atau dipanggil sebagai occlusal discrepancy. Biasanya hal ini terjadi ketika si manja kehilangan gigi atau kedudukan gigi yang bengkok. Justeru jika masalah gigi ini dirawat, maka bruxism tidak akan muncul kembali.
#5. Faktor Penyakit
Selain faktor di atas, anak yang sering mengertak dan menggesel gigi ketika tidur dikatakan berpunca oleh pelbagai penyakit. Antaranya ialah seperti kekurangan nutrisi, alahan, gangguan cacing dan endokrin.
Dalam hal ini, ibu ayah perlu melakukan pengawasan dan memberikan perhatian penuh supaya dapat membantu meredakan bruxism pada anak.
#6. Tekanan Dan Kebimbangan
Kanak-kanak mungkin mengetap gigi sebagai tindak balas kepada tekanan, kebimbangan, atau gangguan emosi, seperti memulakan persekolahan, perubahan keluarga atau konflik interpersonal.
#7. Hiperaktif Dan ADHD
Penyelidikan mencadangkan potensi korelasi antara bruxism dan gangguan hiperaktif seperti Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Kanak-kanak dengan ADHD mungkin menunjukkan peningkatan aktiviti motor, termasuk pengisaran gigi.
Benarkah Gigi Berbunyi Saat Tidur Gangguan Jin?
Tabiat tidur gigi berbunyi sering dikaitkan dengan gangguan jin- ini yang selalu dikatakan oleh orang-orang tua.
Namun menurut Ustaz Sharhan Shafie, berdasarkan pandangan dari apa yang beliau belajar daripada maksud anak tidur gigi bergesel.
Kebiasaan anak ini mengalami masalah degil, dia boleh nampak apa yang orang lain tak nampak. Kadang-kadang anak ini susah untuk mengalah dengan adik beradik dan juga ada gangguan.
Bagi elakkan keadaan ini, jangan lupa baca satu doa atas kepala anak. Dengan ayat ini mudah-mudahan anak jadi orang yang baik dan sentiasa taat pada Allah SWT.
BACALAH AYAT INI:
ALLAHUMMA YASSIR WALA TU’ASSIT.
YA ALLAH, MUDAHKANLAH DAN JANGANLAH ENGKAU PERSULIT.
Ini sebagai satu ikhtiar.
Walau bagaimanapun, bunyi ini biasanya pada kanak-kanak, bukannya suami, isteri atau orang dewasa. Ini tiada kaitan.
Tanda Dan Simptom Masalah Gigi Bergesel
Bruxism, atau gigi berbunyi ketika tidur boleh muncul dengan tanda-tanda ini:
- Bunyi mengisar semasa tidur
- Sakit rahang
- Otot muka tegang
- Gigi rosak
- Sakit kepala dan sakit telinga
- Tanda-tanda kebimbangan atau tekanan
- Gigi retak atau patah
Jika anda melihat tanda-tanda ini, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan bantuan. Dengan penjagaan yang betul, ramai kanak-kanak berhenti mengetap gigi ketika tidur dan mengelakkan masalah berterusan.
Komplikasi
Pada peringkat awal, gigi berbunyi ketika tidur tidak memerlukan rawatan khusus. Namun sekiranya kebiasaan ini dibiarkan, boleh mendatangkan implikasi yang teruk seperti:
- Gangguan struktur rahang bawah
- Kesakitan pada rahang bawah (sukar membuka atau menutup mulut)
- Terjadi luka
- Pening kepala
- Sakit telinga
- Gigi menjadi rosak (permukaan atas, akar dan periodontal ligament).
- Kerosakan tampalan pada gigi
- Menyebabkan gigi menjadi sensitif
- Gigi mudah bergoyang (tooth mobility)
- Gangguan pemakanan
- Enamel gigi menjadi haus
Cara Mencegah Gigi Anak Berbunyi Ketika Tidur
- Kurangkan Tekanan: Wujudkan persekitaran yang tenang dan menyokong anak anda. Kurangkan tekanan seperti perubahan rutin atau konflik keluarga. Galakkan teknik relaksasi seperti senaman pernafasan dalam atau yoga.
- Wujudkan Rutin Waktu Tidur: Wujudkan rutin tidur yang konsisten dan santai untuk membantu anak berehat sebelum tidur. Aktiviti seperti membaca buku, mandi air suam atau mendengar muzik boleh menggalakkan ketenangan.
- Galakkan Kebersihan Mulut yang Betul: Ajar anak kepentingan menjaga gigi dengan memberus dan flos secara berkala. Kebersihan mulut boleh membantu mencegah masalah pergigian yang boleh menyumbang kepada bruxism.
- Pantau Diet dan Penghidratan: Pastikan anak mengamalkan diet yang seimbang dan kekal terhidrat sepanjang hari. Elakkan pengambilan kafein dan makanan bergula secara berlebihan, yang boleh menyumbang kepada pengisaran gigi.
- Tangani Isu Asas: Jika anak menunjukkan tanda-tanda tekanan, kebimbangan atau masalah tingkah laku, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional daripada pakar pediatrik, ahli terapi atau kaunselor.
Rawatan Gigi Anak Berbunyi Ketika Tidur
Rawatan untuk gigi berbunyi ketika tidur adalah bergantung kepada punca dan keterukan. Berikut ialah beberapa langkah yang boleh anda ambil:
- Pemeriksaan Doktor Gigi: Langkah pertama ialah berunding dengan doktor gigi kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut. Doktor gigi boleh melakukan penilaian menyeluruh untuk menilai punca dan keterukan bruxism pada kanak-kanak.
- Pelindung Mulut: Doktor gigi anda mungkin mengesyorkan penggunaan pelindung mulut atau splint khas yang boleh dipakai semasa tidur. Pelindung mulut ini membantu melindungi gigi kanak-kanak daripada geseran dan tekanan yang disebabkan oleh bruxism.
- Rawatan untuk Keadaan Berkaitan: Jika bruxism kanak-kanak berkaitan dengan masalah tidur seperti apnea tidur, doktor mungkin merujuk kanak-kanak itu untuk penilaian lanjut dan rawatan yang sesuai.
- Pengurusan Tekanan: Bantu anak menguruskan tekanan dan kebimbangan dengan memperkenalkan teknik relaksasi seperti pernafasan dalam, yoga atau meditasi. Pengurangan tekanan boleh membantu mengurangkan kecenderungan anak gesel gigi ketika tidur.
- Perubahan Gaya Hidup: Semak rutin harian anak, pastikan mereka mendapat tidur yang cukup dan mengekalkan diet yang sihat. Elakkan makanan atau minuman mengandungi kafein atau gula berlebihan yang boleh meningkatkan kebimbangan dan merangsang bruxism.
Kesimpulannya, tidur gigi berbunyi atau bruxism kanak-kanak boleh menjadi isu yang membimbangkan ibu bapa, tetapi dengan kesabaran, pemahaman dan strategi pengurusan yang proaktif, anda dapat membantu anak mengatasi tabiat ini.
Dengan menangani punca asas, menggalakkan teknik relaksasi, dan mendapatkan bimbingan profesional apabila perlu, ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam menyokong kesihatan mulut dan kesejahteraan keseluruhan si manja.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Penyakit SLE Kanak-Kanak: Kenali Apa Itu SLE, Punca SLE Pada Anak & Rawatan Yang Berkesan
Baca juga: 10 Buah Yang Mengandung Protein Tinggi, Baik Untuk Anak & Seisi Keluarga Ambil Setiap Hari
Baca juga: Sawan Demam (Febrile Convulsions): Apa Perlu Buat Jika Anak Kena Sawan, Rawatan & Kesan