Mata bayi anda seolah-olah mengalami juling air? Tahukah anda bahawa masalah juling ini boleh berlaku pada semua peringkat umur. Ini termasuklah kepada bayi. Hati ibu bapa mana yang tidak risau apabila melihat bayi mereka mempunyai masalah penglihatan.
Namun begitu, adalah amat penting untuk ibu bapa mengetahui mengenai masalah juling mata ini dengan lebih lanjut agar mereka boleh membuat tindakan susulan. Anda rasa anak anda mempunyai juling air? Mari kita baca selanjutnya!
Isi Kandungan
Apa itu bayi juling air?
Adakah anda tertanya-tanya apa itu juling air?
Pertama sekali, anda kena tahu dahulu keadaan mata yang bagaimanakah yang dikatakan juling. Juling adalah satu keadaan mata yang tidak selari dan tidak boleh memandang dengan lurus. Ia turut dikenali dengan nama Squint atau Strabismus. Ianya boleh terjadi pada sebelah mata ataupun kedua-dua mata. Untuk juling air, ia turut disebut sebagai juling itik yang mana keadaan juling tersebut adalah hanya sedikit.
Masalah juling dikaitkan dengan keturunan atau masalah sewaktu perkembangan dan perbentukan fizikal. Untuk bayi, masalah juling akan hilang apabila mereka membesar.
Jenis-jenis juling
Mata juling air bukan sahaja jenis juling ibu dan ayah perlu tahu. Terdapat banyak jenis-jenis juling sebenarnya. Antaranya adalah berikut:
- Juling sesekali
- Juling secara kekal
- Subkategori Juling
- Esotropia (mata menghala ke hidung)
- Eksotropia (mata menghala ke telinga)
- Juling menegak (mata menghala ke atas atau ke bawah)
- Juling berputar (mata yang berputar
Juling air pada bayi
Adakah mata anak saya normal ataupun tidak?
Ini sudah pastinya soalan yang bermain di fikiran ibu bapa kerana risau akan masalah mata yang dihidapi oleh anak mereka. Untuk bayi yang baru lahir, masalah juling air ini adalah sesuatu perkara yang biasa dan normal. Ini kerana ia kerap berlaku dalam kalangan bayi.
Masalah juling biasa berlaku pada bayi berumur 6 bulan ke bawah. Sewaktu bayi baru lahir, pergerakan bola mata mereka adalah tidak menentu. Ini disebabkan oleh lipatan pada kulit mata dalam sudut dalam mata. Ia dipanggil pseudoesotropia atau juling palsu.
Mata mereka tidak dapat fokus dan penglihatan mereka tidak dapat selari. Ini sememangnya bukan sesuatu yang patut anda bimbangkan. Sebaik sahaja mereka memasuki umur 4 hingga 6 bulan dan ke atas, anak anda akan boleh mengawal pergerakan mata mereka dengan lebih baik. Jadi, anda janganlah bimbang sangat ya ibu bapa!
Bila anda patut risau?
Masalah mata juling air walaupun ianya biasa berlaku pada bayi boleh menjadi sesuatu yang serius sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera. Ibu bapa tidak boleh memandang masalah juling sebagai sesuatu yang remeh atau tidak penting sekiranya anak anda masih juling walaupun selepas enam bulan.
Bawa anak anda untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan doktor. Masalah juling masih boleh ditangani dan diubati.
Latihan mata bayi bagi yang menghadapi juling air
Buat ibu bapa yang mempunyai anak yang menghadapi masalah juling atau juling air dengan umur seawal umur 6 bulan ke bawah, anda masih boleh melakukan beberapa latihan untuk membantu menangani masalah juling pada peringkat bayi. Caranya ialah:
#1 Beri masa pada anak
Juling bukanlah perkara yang boleh dirawat sekelip mata tetapi sebaliknya ia memerlukan masa. Anda perlu memberi masa kepada anak anda untuk melatih pergerakan bola matanya.
#2 Latih anak
Anda sebagai ibu bapa juga boleh melatih anak anda dengan melakukan pelbagai jenis latihan untuk membantu anak anda mengawal pergerakan bola mata mereka. Caranya mudah sahaja. Anda hanya perlu menggerakkan alat permainan anak anda agar bola matanya mengikut pergerakan anda. Anda juga boleh buat beberapa kali. Cara yang lain pula adalah anda boleh dekatkan alat permainan tersebut dan jarakkannya.
Rawatan untuk juling bayi
Jika anak anda mempunyai mata juling air dan telah mendapatkan pemeriksaan doktor, antara rawatan yang dicadangkan termasuklah:
- Cermin mata khas: Untuk kes juling yang teruk.
- Penutup mata khas: Menutup mata yang baik dengan tujuan untuk melatih mata yang lemah untuk melihat dengan lebih baik.
- Eye drop: Ubat titik mata digunakan untuk mengaburkan penglihatan pada mata anak yang baik. Ini bagi membantu anak anda melihat menggunakan mata yang lemah. Pilihan ini baik sekiranya anak anda tidak mahu menggunakan penutup mata.
Bagi kes yang lebih teruk, pembedahan dicadangkan untuk membetulkan juling. Pembedahan ini melibatkan proses otot mata sama ada dilonggarkan atau diketatkan untuk menyelarikan mata dan penglihatan. Proses untuk sembuh hanya mengambil masa beberapa hari sahaja.
Semoga artikel tentang bayi juling air ini dapat membantu anda memastikan anak membesar dengan lebih sihat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kenapa Mata Anak Merah dan Nampak Sakit? Perlukah Ibu Risau?
Baca juga: Penglihatan Bayi 1 Bulan Hingga 1 Tahun, Mata Malas Antara Masalah Biasa Dialami Kanak-Kanak
Baca juga: Dari Kaca Mata Seorang Bayi – Apa yang Mereka Nampak Sebaik Sahaja Lahir?