Perkara yang paling ditakuti oleh ibu bapa adalah melihat anak demam dengan suhu tinggi. Ditambah lagi dengan anak tiba-tiba mengalami sawan sehingga menyebabkan badan kaku dengan mata terbeliak.
Seperti perkongsian oleh seorang ibu ini mengenai pengalamannya ketika berhadapan situasi yang mencemaskan itu.
Demam sawan adalah sawan yang berlaku pada kanak-kanak disebabkan oleh peningkatan suhu badan yang mendadak semasa demam.
Isi Kandungan
Pengalaman Mata Terbeliak & Badan Kaku Ketika Anak Demam Sawan
Melalui perkongsiannya di Facebook miliknya, Hartieka berkongsi cerita pengalaman anak demam sawan.
Ini pengalaman pertama bila anak “DEMAM TARIK” @ “Demam Sawan” waktu raisha kena tarik.. Rasa apa lah dah jadi ni. Kami suami isteri kelam kabut tak tentu arah bila melihat raisha jadi macam tu.
Apa perkara yang patut perlu buat pun tidak tahu dan benda terlintas dalam fikiran bawa ke hospital je lah.
Mak ayah mana yang tak risau kalau melihat situasi anak masa tu terjadi seperti mata tengok atas (belalak) kaki tangan kejang mengigil lepas tu kacip gigi. Kita panggil anak dia tak respon apa pun. Memang merisaukan sangat masa itu.
Waktu terjadi tarik @ sawan kat raisha pukul 1.50am masa tu suami baru lepas bagi raisha minum bila dia berdiri tetiba tarik @ sawan tu terjadi. Ini memang pengalaman pertama. Kami tak pikir apa- apa dah terus bergegas bawa ke hospital.
Sesampai je hospital keadaan raisha dah makin beransur reda. Doktor memberi suntikan antibiotik dan check darah raisha.
Sementara menunggu result darah raisha, doktor memberi penerangan tentang situasi yang berlaku pada raisha.
Bagaimana Demam Sawan Berlaku?
Suhu yang terlampau panas sehingga mencecah 40 Celcius atau suhu naik secara mendadak boleh menyebabkan demam tarik atau demam sawan berlaku.
Walaupun sawan ini biasanya tidak berbahaya, ia boleh menjadi menakutkan bagi ibu bapa yang menghadapinya buat kali pertama.
Terdapat dua jenis demam sawan iaitu demam sawan ringkas dan demam sawan kompleks.
Demam Sawan Ringkas
- Berdurasi kurang 15 minit sawan
- Sawan menyeluruh / ‘generalized’
- Tidak berulang ketika demam tersebut
Demam Sawan Kompleks
- Berdurasi lebih 15 minit
- Sawan yang lebih fokus
- Kurang dari 24 jam sawan berlaku
Siapa yang Berisiko?
- Kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 5 tahun adalah yang paling berisiko.
- Mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan demam sawan.
- Kanak-kanak yang pernah mengalami sawan demam sebelum ini.
Tanda-Tanda Bahaya
Tanda-tanda bahaya ketika sawan berlaku boleh dilihat berdasarkan beberapa gejala yang perlu diperhatikan termasuklah:
- Kejang berlaku lebih dari 5 minit.
- Anak sukar bernafas atau kulit menjadi biru.
- Sawan berulang dalam masa 24 jam.
- Anak tidak sedarkan diri atau sukar untuk dikejutkan selepas sawan.
Jika tanda-tanda bahaya ini muncul, segera dapatkan bantuan perubatan sekiranya ia berlarutan.
Faktor Risiko Demam Saman Berulang
Kebanyakan bayi yang mengalami demam sawan hanya mengalaminya sekali seumur hidup. Namun, ada juga yang terus mengalami demam sawan berulang kali sehingga usia tujuh tahun, terutama jika tidak diberi ubat pencegahan sawan.
Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan demam sawan berulang, antaranya:
- Usia kurang daripada 15 bulan semasa serangan sawan yang PERTAMA.
- Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
- Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat seperti ibubapa dan adik-beradik.
- Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.
Apa Yang Ibu Ayah Perlu Lakukan Jika Anak Mengalami Sawan?
1. Jangan Panik
Kekal tenang dan jangan panik. Ini penting untuk memastikan anda dapat bertindak dengan bijak dan efektif.
2. Pastikan Anak Anda Selamat
Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam.
3. Posisi Mengiring
Segera baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.
4. Jangan Menampar, Menggoncang Atau Mengurut
Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak anda untuk menyedarkan dirinya semasa sawan. Pegangan yang kuat akan mencederakan otot dan tulang yang sedang mengeras ketika sawan berlaku.
5. Jangan Masukkan Apa-Apa Ke Dalam Mulut
Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak anda semasa berlakunya sawan.
6. Perhatikan Keadaan Anak
Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan. Ini akan membantu doktor mencari dan merawat punca sawan berlaku. Sekiranya tanda-tanda bahaya muncul seperti mata terbeliak, bawa anak anda ke hospital dengan segera.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Petua Hilangkan Demam Panas Anak, 10 Cara Ini Berkesan Turunkan Suhu Badan Si Manja
Baca juga: Bayi Selsema Jadi Kerap Meragam, Ibu Cuba 9 Cara Hilangkan Selsema Bayi Ini, Terbukti Berkesan
Baca juga: Kenali 7 Ciri-Ciri Batuk Yang Berbahaya Pada Bayi, Ibu Sila Pantau Elak Gejala Bertambah Teruk!