Kemalangan boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja dan tidak terjangka oleh fikiran. Siapa sangka mata seorang ibu tercedera hanya kerana anak kecilnya berebut chopstick ketika sedang menunaikan solat bersama suaminya.
Meskipun kelihatan agak mengerikan, namun wanita ini bernasib baik kerana kejadian tersebut tidak menyebabkan matanya buta. Semoga perkongsian ini menjadi iktibar buat para ibu agar lebih berwaspada sekiranya anak bermain benda tajam di rumah.
Mata luka akibat tertusuk batang chopstick
Berdasarkan perkongsian oleh wanita berkenaan di Facebook Ummu Naielah yang menceritakan kejadian tersebut, anak-anaknya sedang berebut batang chopstick dan ketika itu secara tidak sengaja tercucuk matanya ketika solat berjemaah bersama suami.
Kesan daripada tusukan chopstick tersebut, dia telah mengalami luka serta pendarahan di bahagian mata putih.
Dugaan 10 Ramadhan.
Umi tengah solat maghrib berjemaah dengan abi, masa nak sujud tu tiba-tiba rasa macam gelap dunia sekejap. Umi cuma nampak biru ungu macam siaran televisyen nak terputus, meronta-ronta umi di tempat kejadian sebab rasa pedih sangat.
Rupanya kakak duk berebut chopstick dengan adik, kemudian terlajak tangan cucuk kena mata umi. Patutlah rasa macam gelap dunia, buka perlahan-lahan dan minta suami periksa.
Innalillah, ada luka sampai berlaku pendarahan dalam mata. Apa lagi kami terus pecut ke bahagian kecemasan hospital. Mata sebelah memang tak boleh buka.
Pengajaran buat ibu bapa lain, kalau nampak anak-anak main benda tajam terus rampas dan jangan leka. Alhamdulillah mujurlah ia tidak kena dekat anak-anak.
Update: Pagi ni kena pergi klinik pakar mata untuk jahit dalam mata. Ada koyakan yang agak dalam juga kat bahagian mata putih. Kalau dibiarkan ada risiko jangkitan kuman, ini pun kami tampal kapas sebab sapu antibiotik dalam mata.
Balik semalam pukul 12.30 tengok budak-budak sudah tidur. Bangun pagi ini boleh pula dia main mata lanun dengan umi, lawak agaknya. Sabar aje lah, anak-anak yang bijak. Haisshh, btw terima kasih sangat-sangat atas setiap doa kalian.
Tindakan ibu ayah bila anak buat 5 perkara membahayakan
Memiliki anak masih kecil memerlukan kerja yang ‘extra’ kerana tahap ingin tahu dan mencubanya sangat tinggi.
Walau bagaimanapun sifat suka meneroka boleh mendatangkan bahaya buat mereka. Jika berdepan dengan lima situasi bahaya ini, ibu ayah hendaklah melakukan sesuatu bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. Antaranya:
#1. Memecahkan barang di rumah orang
Ia sangat memalukan kerana anda mungkin dianggap sebagai ibu ayah yang tidak mengajarkan anak tentang sopan santun. Adalah wajar jika muncul perasaan tersebut. Pertama anda hendaklah mengajak anak meminta maaf kepada tuan rumah bagi membolehkan mereka belajar bahawa apa yang dilakukannya adalah salah.
Jika barang yang dipecahnya berbahaya, minta si kecil duduk jauh terlebih dahulu sementara anda membersihkannya.
#2. Bermain benda tajam
Jika berdepan situasi ini, ibu mungkin akan panik dan perlu mengambil segera benda tajam yang dipegang oleh anak. Namun lakukannya dengan berhati-hati. Jelaskan kepada si manja anda bahawa pisau atau gunting adalah berbahaya dan bukanlah mainan yang selamat.
#3. Anak naik turun tangga
Meskipun berasa cemas dan takut, ibu jangan berteriak agar anak tidak berasa panik dan segera turun tangga. Adalah lebih baik anda segera mendukungnya turun ke bawah. Sentiasa ingatkan si manja anda bahawa perbuatan turun naik tangga boleh menyebabkan kemalangan.
#4. Si manja suka mencubit rakannya
Jika berdepan dengan keadaan ini, lakukan soal siasat dan tanyakan kepada si manja mengapa dia lakukan perkara tersebut. Sesetengah anak yang suka mencubit ini adalah disebabkan oleh sifat berani dan tiada belas kasihan erhadap orang lain.
Justeru ajarkan akibat jika dia terus-menerus dengan tindakan tersebut. Berikan hukuman sewajarnya di rumah agar si manja tidak mengulangi kesilapan sama.
#5. Memegang wayar elektrik
Sama seperti masalah lain, jangan menjerit agar si kecil anda tidak panik. Adalah lebih tepat jika anda menjaga anak dengan memegang badan, menyuruhnya berhenti dan menjauhkan anak dari tempat berbahaya.
Banyak kes anak kecil terkena renjatan elektrik akibat mereka memasukkan wayar pengecas telefon ke dalam mulut. Justeru sentiasa berwaspada ya ibu!
Sumber: Ummu Naielah, Parenting.co
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kerana Main Tumbuk-Menumbuk Dengan Bapa Saudara, Kanak-Kanak 6 Tahun Ini Maut!