Resepi mee goreng mamak ada pelbagai variasi, antaranya ada yang meletakkan tauhu goreng dan ada pula yang buat mee goreng banjir. Apa yang penting, mee goreng mamak mempunyai banyak tauhu dan lebih telur berbanding mee goreng biasa.
Bukan sahaja tidak menggunakan banyak bahan, malah cara penyediaannya juga cepat dan mudah. Sesuai untuk dinikmati seisi keluarga sebagai hidangan sarapan atau waktu malam.
Kalau rasa malas nak menapak kaki ke kedai mamak, apa kata kali ini anda cuba resepi yang kami kongsikan. Dijamin lagi puas hati, tak buatkan anda rasa kembang tekak!
Isi Kandungan
Resepi mee goreng mamak cepat dan mudah
Mee goreng mamak
Bahan-bahan:
- Ayam/udang/sotong (ikut suka nak letak apa)
- Tauhu kering
- Sayur sawi
- Tomato
- Kuah kacang/kuah sate
- Sos tiram
- Kicap
- Cili boh
- Mee kuning
- Bawang merah
- Bawang putih
Cara penyediaan:
- Tumis bawang merah dan bawang putih kemudian masukkan ayam/sotong/udang. Masukkan cili boh tumis sampai pecah minyak.
- Masukkan tauhu kering, sos tiram dan kuah kacang. Tumis lagi sehingga naik bau.
- Masukkan mee kuning, kicap, tomato dan sayur. Bubuh garam gula dan perasa secukupnya.
- Siap!
Kalau malas buat kuah kacang, beli je kuah kacang yang di dalam tin.
Mee goreng mamak basah dan pedas
Bahan-bahan:
- 600g mi kuning
- 1 bawang besar
- 5 ulas bawang putih dikupas dan dihancurkan
- 1 tomato dihiris
- 3 biji telur saiz besar
- 2 cili hijau dihiris
- 2 tauhu dipotong kecil
- 10 fish ball dipotong separuh
- Sawi
- 3 sudu besar sos tiram
- 3 sudu besar kicap pekat
- 3 sudu besar bawang goreng
- 2 sudu besar kacang tanah goreng dan dikisar kasar
- 2 cawan air
- Garam secukup rasa
Bahan untuk dikisar:
- 8 ulas bawang putih
- 1 bawang saiz kecil
- 15g ikan bilis
- 5g udang kering
- 5 cili kering (sesuaikan ikut citarasa)
Cara penyediaan:
- Dalam kuali masukkan minyak. Sebaik sahaja minyak panas tambah bawang putih yang dihancurkan dan goreng sehingga aromatik.
- Kemudian masukkan bawang yang dihiris dan goreng sehingga keperangan.
- Masukkan tauhu dan bebola ikan. Anda boleh menambah apa-apa bahan-bahan lain seperti udang, sotong, etc mengikut citarasa sendiri.
- Goreng bahan-bahan hingga warna keemasan.
- Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan tomato. Kacau hingga sebati.
- Masak sampai pecah minyak. Sebaik sahaja pecah minyak, tuang 2 cawan air dan biarkan ia mendidih.
- Sebaik sahaja ia mula mendidih tambah telur. Biarkan sebentar dan kacau perlahan-lahan.
- Kemudian tambah mi, sos tiram, kicap pekat dan garam secukup rasa. Garam biar kurang sikit dari biasa sebab ada udang kering dan ikan bilis dalam bahan-bahan yang dikisar tadi.
- Kacau hingga sebati dan biarkan hingga mi masak
- Sebaik sahaja mi telah masak dan air sudah berkurangan, masukkan bawang goreng, cili hijau dan kacang tanah yang telah dikisar.
- Kacau hingga sebati. Mee Goreng Mamak sedia untuk dihidangkan.
Pes mee goreng mamak
Bahan-bahan:
- 1 kg kacang dal
- 1/2 kg kacang tanah
- 100 gram cili kering
- 100 gram udang geragau
Cara penyediaan:
- Goreng semua bahan dalam minyak yang banyak.
- Kemudian kisar semua bahan yang dah digoreng. Tumis bahan yang dikisar hingga naik minyak.
- Tambah garam dan gula secukupnya.
Sesuai dijadikan stok untuk membuat mee goreng mamak
Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Lengkap Cara Buat Mee Celup Ala Thai, Betul-Betul Rasa ‘High Level’ Punya!
Baca juga: 3 Variasi RESEPI MEE KARI Untuk Menu Buka Puasa Hari Ini, Tengok Je Pun Dah Terliur!