Kehadiran orang baru membawa banyak perubahan dalam hubungan rumah tangga. Jika dibandingkan dahulu, hidup berdua memiliki banyak masa untuk diri sendiri. Namun kini anda dan pasangan perlu sama-sama melakukan rutin mengurus bayi baru lahir dengan baik.
Tidak hanya anda seorang, kebanyakan ibu ayah baru mengakui berasa agak kekok dan berdebar sewaktu menguruskan anak kecil ini. Setiap hari perlu belajar pelbagai perkara baru sehinggalah anda memahami ragam si manja.
Baca juga: Cara Menenangkan Bayi Baru Lahir Dengan Efektif, #3 Paling Mudah Untuk Ibu Cuba!
Panduan menjaga dan mengurus bayi baru lahir
Cara mengurus bayi baru lahir amat berbeza dengan kanak-kanak yang sudah dewasa kerana memerlukan kesabaran tinggi dan penjagaan lebih rapi. Untuk beberapa bulan pertama, anda mungkin berasa agak penat serta tertekan dalam mengurus ragam si manja yang selalu berjaga pada waktu malam.
Justeru ini kami kongsikan beberapa tips penjagaan bayi baru lahir bagi memudahkan anda dan pasangan:
#1. Memandikan bayi dengan air suam
Sesetengah bayi tidak suka pakaian dan lampinnya dibuka sehingga menangis pada waktu mandi. Dalam hal ini, ibu hendaklah kekal bertenang dan menyediakan barang mandian yang lengkap seperti besen, tuala, sabun mandi dan termometer.
Caranya memandikan bayi adalah dengan tuang air sejuk terlebih dahulu ke dalam besen, kemudian barulah air panas. Suhu air yang paling sesuai adalah 37 darjah celsius. Untuk bayi baru lahir, anda tidak perlu memandikannya setiap hari. Cukuplah 1 atau 2 kali seminggu bagi bulan pertama.
#2. Melakukan urutan bayi
Setelah mengelap kering badan si manja, ibu bolehlah sapukan minyak bayi pada bahagian perut, belakang badan, belakang betis dan tapak kaki bagi memberikan keselesaan.
Urutan tangan dari seorang ibu dapat merangsang hormon Oksitosin (kasih sayang) dan mengeratkan hubungan anda dan si manja. Selain itu sentuhan kulit ke kulit juga dapat meningkatkan perkembangan otak bayi.
#3. Pakaian bayi
Ibu hendaklah memakaikan barut pada bayi dengan kemas terlebih dahulu. Pastikan ia tidak terlalu ketat supaya bayi dapat bergerak dengan selesa. Manakala pakaian yang dipilih pula hendaklah lembut, tidak panas dan sesuai dengan suhu di Malaysia.
Selain itu, ibu ayah juga hendaklah peka dengan kesihatan kulit bayi apabila menggunakan lampin pakai buang. Usah biarkan si manja memakai lampin basah terlalu lama bagi mengelakkan masalah jangkitan kuman, naik ruam merah atau melecet.
#4. Cara membedung bayi
Memakaikan bayi dengan bedung adalah untuk mengelakkan daripada gangguan refleks penyentakan badannya sendiri. Ketika waktu tidur, anda mungkin pernah melihat si manja tersentak. Ia adalah normal kerana refleks sentakan (kejutan hipnagogik).
Cara memakaikan bedung bayi ialah:
- Letakkan sehelai kain benang kapas di atas permukaan rata dan lipatkan di sudut sebelah kanan kira-kira 15cm ke bawah.
- Baringkan bayi dengan meletakkan kepalanya di atas lipatan tadi.
- Tarik sudut terdekat dengan tangan kiri sambil menutup badannya. Kemudian, masukkan bahagian depan di bawah lengan kanan dan mengelilingi belakang si manja.
- Tarik sudut di hujung bawah ke atas sehingga ke bawah dagu bayi.
- Tarik sudut kanan ke atas dan masukkannya ke bawah belakang di sebelah kiri.
Ibu boleh membedung bayi sehingga si manja berusia 1 bulan. Selepas ini, bayi mungkin berasa rimas kerana ia menghalang pergerakan dan menganggu perkembangannya.
Jika anda mendapati si manja mula menendang jauh selimut ketika tidur, ini adalah tanda bahawa bayi sudah tidak suka dibungkus.
#5. Memberi bayi dengan susu ibu
Susu ibu adalah makanan yang terbaik bagi bayi sehingga usianya 2 tahun. Pastikan selepas menyusu, bayi disendawakan dengan baik agar tidak berlakunya masalah kembung perut kerana angin.
Berdasarkan nasihat pakar, ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi sepanjang usia 6 bulan kerana susu ibu mengandungi kolostrum bagi menguatkan sistem ketahanan tubuh si manja, melindungi dari masalah cirit birit, selesema dan radang paru-paru.
Sumber: Babycenter
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Menetapkan Waktu Tidur Bayi Yang Baru Lahir Hingga 3 Bulan, Ibu Ayah Sila Take Note!