Najis Bayi - Apa Yang Normal & Apa Yang Tidak Normal?

Anda tak pasti najis bayi anda normal atau tak? Jom semak artikel ini. Kami telah kongsikan bagaimana bentuk dan warna najis si manja yang perlu anda tahu.

Sebagai seorang ibu baru, tentulah kita akan menghabiskan masa untuk memeriksa najis bayi. Najis bayi normal atau tidak bergantung pada beberapa faktor seperti: usia bayi, sama ada dia menyusu badan atau diberikan susu formula, dan sama ada dia sudah mula makan makanan pejal atau tidak.

Apabila bayi lahir, mereka anda akan mengeluarkan mekonium iaitu bahan melekit yang berwarna hitam kehijauan yang terdiri daripada sel, hempedu, mukus dan cecair amnion selama 2-3 hari.

Kredit: Freepik

Bayi yang diberi susu badan biasanya akan membuang air besar lebih kurang 4 kali sehari atau jika bayi anda membuang air besar sekali dalam 3 hari pun, ia masih dikatakan normal.

Bayi yang diberi susu formula, harus membuang air besar setiap hari untuk mengelakkan sembelit. Jangan risau sangat tentang kekerapan mereka membuang air besar, asalkan najis mereka lembut dan mudah keluar.

Malah najis mereka juga akan sentiasa berubah mengikuti pembesarannya. Najis akan berubah dari segi kepejalan dan warna. Daripada lembut dan berwarna kuning cair kepada warna kuning dengan tompok-tompok hijau, dan seterusnya berubah lagi pada keesokan harinya. Ini adalah normal.

Rupa najis apabila bayi diberi susu badan

Kredit: Wikipedia

Sisa buangan bayi yang diberi susu badan berbeza dengan mereka yang diberi susu formula.

Kolostrum atau “susu pertama” akan membantu bayi anda mengeluarkan mekonium dan selepas 3 hari, najis bayi anda akan berwarna kuning cerah dan bertekstur biji sawi dan lembik. 

Rupa najis bayi yang diberi susu formula

Kredit: Baby Center

 

Najis bayi yang diberi susu formula akan berwarna kuning pucat atau coklat kekuningan, dan sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terbentuk berbanding najis bayi yang diberikan susu badan.

Ini kerana susu formula tidak senang dicerna jika dibandingkan dengan susu badan.

Baunya pula lebih kuat seperti najis orang dewasa. 

Anda harus menggalakkan bayi anda untuk membuang air besar setiap hari kerana lebih lama najis berada dalam ususnya, lebih susah untuk mengeluarkannya dan akan menyebabkan sembelit.

Rupa najis bayi yang diberi makanan pejal

Najis yang mula diberi makanan pejal akan menjadi lebih pekat dan berbau. 

Sisa buangan mereka juga akan menyerupai makanan yang dimakannya. Contoh; jika bayi anda memakan lobak lenyek, najisnya akan berwarna jingga cerah dan terdapat sisa-sisa lobak.

Bila najis bayi anda tidak normal?

Kredit: Lifealth

Berikut adalah beberapa keadaan tak normal dalam najis bayi anda:

 

1# Cirit-Birit

Cirit-birit adalah perkara biasa dan simptomnya terdiri daripada najis cecair dalam jumlah yang banyak dan kerap serta najis yang “meletup” keluar dari lampin anak anda.

Bayi yang diberi susu formula lebih cenderung untuk mengalami cirit-birit. Antara punca cirit-birit adalah jangkitan, mengambil terlalu banyak buah atau jus, pengambilan ubat atau alahan.

Cirit-birit biasanya pulih dalam masa 24 jam. Jika tidak, anda harus berjumpa dengan doktor.

2# Sembelit

Sembelit bermakna bayi anda harus meneran najisnya semasa membuang air besar.

Simptom sembelit terdiri daripada – kesukaran untuk membuang air besar, najis berbentuk batu kecil yang kering, sakit perut, perut keras, juga terdapat darah pada najis akibat proses meneran najis yang keras.

Anda boleh memberi si manja anda makan buah prun atau aprikot untuk membantu mereka membuang air besar.

3# Najis Hijau

Kredit: Breastfeeding Support

Najis hijau dan berbuih bermaksud bayi anda mengambil terlalu banyak laktosa (gula semulajadi dalam susu) dan kurang susu berlemak yang mengenyangkan. (Lebih “foremilk” dan kurang “hindmilk”)

Ia juga boleh bermaksud bayi anda terlebih menyusu atau kurang menyusu atau juga terdapat kuman di dalam perut anak anda.

Pastikan bayi anda menghisap satu payudara sebelum memberinya payudara yang lain.

4# Palitan Darah

Palitan darah berlaku apabila bayi anda meneran dengan kuat, mengakibatkan rekahan pada dubur.

Anda harus dapatkan perhatian doktor untuk memastikan palitan darah berpunca daripada sembelit dan bukan penyakit lain.

Semoga bermanfaat.

Rujukan: Baby Centre

Kredit gambar: Medical News Today

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Najis Bayi Lebih Keras Sejak Makan Makanan Pejal, Perlukah Saya Risau?

Penulis

Michelle Goh