Pemakanan sihat sangat penting untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang baik.
Nutrisi yang terkandung dalam sesebuah menu makanan seimbang turut membekalkan pelbagai manfaat yang diperlukan oleh tubuh.
Panduan pemakanan sihat
Bukan itu sahaja, pemakanan sihat dapat mengurangkan risiko penyakit seperti jantung, strok, pelbagai jenis kanser, diabetes dan osteoporosis (tulang nipis) dan membantu menguruskan berat badan anak-anak.
Dalam hal ini, ibu perlu bijak mengatur menu hidangan untuk disediakan kepada si manja dan seluruh ahli keluarga. Jangan lupa untuk menekankan aspek kandungan nutrisi bagi setiap hidangan.
Pemilihan makanan baik perlu dimulakan dengan mendapatkan sumber yang selamat dan sihat.
Oleh itu, ibu ayah hendaklah mendapatkan barangan basah, sayur-sayuran serta buah-buahan yang segar sebagai ‘stok’ dalam peti sejuk.
Elakkan membeli makanan ringan tidak berkhasiat kerana ia mengandungi garam dan bahan perasa yang tinggi. Kesannya, anak akan mula tidak berminat untuk makan sayur atau buah kerana telah ketagih untuk mendapatkan snek ringan tersebut.
Pengambilan jenis makanan
Panduan Pemakanan Sihat dapat membantu ibu ayah untuk memahami pelbagai jenis makanan bagi membentuk diet yang sihat.
Secara umumnya, Panduan Pemakanan Sihat menekankan lima jenis kumpulan makanan iaitu buah dan sayuran, karbohidrat, protein dan lemak.
Sekiranya ibu memilih pelbagai jenis makanan dari kumpulan ini dengan tepat, anda dapat mencapai keseimbangan makanan dengan mudah.
Jika sangat diperlukan, anda perlu mengambil garam dalam kuantiti yang sedikit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), purata pengambilan garam yang disarankan dalam sehari hanyalah 5g.
Kuantiti garam berlebihan akan menyebabkan penyakit hipertensi, penyakit jantung, strok serta boleh membawa kepada kematian.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, antara makanan kerap diambil dan menyumbang pengambilan garam paling tinggi adalah kicap cair, nasi goreng, telur dadar, kicap pekat, roti canai, sos tiram, mee segera, sos cili/tomato, stok perisa, makanan ringanserta makanan tin.
Langkah untuk pemakanan sihat
#1. Pelbagai buah dan sayur-sayuran
Menurut Public Health Malaysia, hampir 94% rakyat Malaysia tidak makan buah-buahan dan sayur dalam kuantiti yang mencukupi.
Menurut Dr. Abdul Rahim, buah-buahan lebih baik dimakan ketika perut kosong atau sebelum menjamah hidangan utama. Hal ini kerana keadaan ini memudahkan semua nutrisi diserap secara optimum.
Sayur-sayuran boleh dimasak dengan mencampurkan bersama kumpulan makanan lain seperti ayam, daging, ikan dan kekacang.
Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia, buah dan sayur dikategorikan dalam kumpulan makanan yang perlu dimakan lebih banyak.
#2. Kentang, roti, nasi, pasta dan karbohidrat
Makanan berkanji seperti roti chapati, bijirin sarapan, mee dan oat sebagai sebahagian daripada makanan anda. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, karbohidrat adalah komponen utama dalam sistem fisiologi manusia.
Jenis makanan dalam kumpulan ini amat penting bagi mengekalkan tubuh badan anak-anak sentiasa sihat dan bertenaga.
Namun, anda perlu mengatur dengan bijak ketika menyediakan hidangan yang memiliki karbohidrat kerana jika diambil secara berlebihan, ia dapat menyebabkan risiko kegemukan dan kencing manis.
#3. Pelbagaikan hidangan
Anda perlu memilih pelbagai jenis dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran yang berbeza pada setiap hari.
Hal ini kerana perbezaan warna di sebalik buah dan sayur memiliki manfaat yang tersendiri. Menurut kajian, warna lebih gelap akan membekalkan lebih banyak manfaat.
Sebagai contoh, sayur atau buah berwarna putih seperti cendawan atau bawang putih mengandungi serat, potasium dan magnesium yang baik untuk melancarkan peredaran darah.
#4. Kacang, ikan, telur, daging dan protein lain
Ketika anda memilih untuk menghidangkan protein dalam menu anak-anak, pastikan anda mengambil daging tanpa lemak atau keluarkan kulit dari ayam.
Bukan itu sahaja, elakkan menyediakannya secara menggoreng kerana ia tidak baik untuk kesihatan.
#5. Tenusu
Susu merupakan sumber protein yang penting untuk membentuk jisim badan, molekul untuk penggantian sel rosak, menyokong pertumbuhan dan juga bahan asas untuk DNA.
Terdapat dua jenis protein iaitu kasein (80%) dan whey (20%) yang menyumbang sebanyak 3.2% bahagian dalam susu.
Ibu juga boleh mencuba menyediakan hidangan tenusu ini dengan:
- Secawan kecil yogurt
- 1/3 liter susu
- sekeping keju
#6. Minyak dan sapuan
Ibu perlu memilih sapuan rendah lemak dan gunakannya dalam jumlah sedikit. Pilih salah satu rendah lemak tepu daripada minyak zaitun, bunga matahari atau minyak sayuran.
Lemak tepu meningkatkan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol ‘buruk’ dalam darah yang boleh menyebabkan penyakit jantung.
Manakala, lemak mono tidak tepu (seperti zaitun atau minyak rapeseed) membantu menurunkan paras kolesterol yang berbahaya.
#7. Gula dan lemak
Ibu ayah perlu mengurangkan makanan dan minuman yang mengandungi banyak gula seperti kek, snek dan minuman kotak. Pilih makanan rendah lemak atau mengurangkan kandungan gula jika mungkin.
Sumber: Bda. uk, Kementerian Kesihatan Malaysia
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.commanfaat-sayuran-brokoli