Kalau Anak Ada 9 Ciri Lambat Bercakap Ini, Ibu Ayah Tolong Segera Berjumpa Pakar!

Pengalaman anak lambat bercakap sering dikaitkan dengan autisme. Jika si manja menunjukkan kelainan dalam perkembangannya, ibu ayah segeralah merujuk pakar

Pengalaman anak lambat bercakap sering kali membuatkan ramai ibu ayah risau. Mana tidaknya, pakar mengatakan bahawa kadar pendaftaran kanak-kanak yang mengalami masalah lambat bercakap di taska dan tadika semakin meningkat.

Jika dibandingkan dengan zaman ketiadaan gajet dahulu, anak yang masih kecil diberikan kebebasan untuk bermain dan meneroka di luar kawasan rumah. Ini secara tidak langsung membolehkan si manja belajar mengenali alam, bersosial dan merangsang kemampuan mulut untuk bercakap.

Pengalaman anak lambat bercakap, bila ibu ayah perlu risau?

foto: shutterstock

Menurut perkongsian pengalaman anak lambat bercakap oleh Puan Norakma Jamlos, dia menyedari anak ketiganya mula menunjukkan kelainan daripada kanak-kanak lain.

Saya mula membawanya berjumpa dengan doktor di Hospital Selayang ketika umur 2 tahun kerana perasan dia sangat berbeza terutamanya masih tidak boleh bercakap.

Berikut rentetan daripada temujanji doktor yang saya hadiri untuk mendapatkan diagnosis terhadap keadaan sebenar anak.

7/6/2017- Saya ke klinik kesihatan bagi mendapatkan imunisasi 2 tahun. Sambil sempat saya bercerta kisah anak dan kebimbangan terhadap perkara di atas. Kemudian jururawat telah mengeluarkan surat untuk saya mendapatkan tarikh temu janji di hospital.

2/8/2017- Saya bawa anak berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak di hospital. Doktor menyarankan untuk merujuk pakar telinga dan mata (ENT) terlebih dahulu.

18/9/2017- Kami berjumpa dengan pakar ENT. Alhamdulillah keputusannya normal hearing bilaterally.

30/11/2017- Berjumpa lagi dengan doktor pakar kanak-kanak. Hasil ujian saringan M-CHAT menunjukkan anak saya gagal dalam 10 item. Dan kesemua item yang gagal adalah item kritikal. Doktor diagnosis sebagai autisme, tapi masih belum disahkan lagi. Sebagai ibu, perasaan saya sangat sedih.

Pengalaman anak lambat bercakap melalui beberapa tanda

credit to sources

Ciri-ciri anak saya ketika usianya 2 tahun ialah:

  • Tidak memberi respon apabila dipanggil
  • Suka bermain sendiri
  • Tidak pandai bersalam dengan orang termasukah Ummi dan Abah dia
  • Tidak berminat untuk bermain dengan kakak-kakaknya. Bila ajak main dia akan melarikan diri
  • Tiada eye contact ketika bercakap
  • Speech delay, sepatah perkataan tidak pernah disebut. Hanya aaaa dan sangat bising mulutnya
  • Tidak mempedulikan orang disekelilingnya. Dia dengan dunia sendiri dan seolah-olah tidak mengenali ahli keluarga sendiri
  • Suka kibas-kibaskan tangan kalau dia berasa terlalu gembira atau teruja (flapping hands)
  • Alhamdulillah, tiada masalah tingkah laku

Sekarang umur anak saya sudah masuk 2 tahun 7 bulan. Banyak yang berubah cuma masih tidak boleh bercakap lagi. Tapi ciri-ciri autisme masih ada. Antara perubahannya ialah:

  • Bila saya marah, cepat-cepat datang peluk dan cium
  • Eye contact sudah ada walaupun terhad
  • Arahan-arahan ringkas pun dia sudah mula faham
  • Ketika dipanggil, dia sudah pandang
  • Mula mencari apabila saya tiada di depan mata
  • Sudah mula nak bermain
  • Perbuatan mengibaskan tangan masih ada. Tapi saya ajar jangan kibas tangan dan tukar kepada tepuk tangan apabila rasa gembira atau teruja

Alhamdulillah kini dia sudah banyak berubah. Cuma untuk ‘merawat’ ciri autisme memang agak susah. Ada masanya ibu boleh bertukar jadi singa, tak pun kadang-kadang tarzan!

Panduan sekiranya ibu ayah menyedari anak lambat bercakap

credit to sources

Berikut merupakan beberapa senarai semak bagi membantu anda memantau kebolehan pertuturan anak mengikut perkembangan usia.

Ketika usia 0-6 bulan

  • Menggerakkan kepala dan mata ke arah bunyi
  • Tersenyum bila mendengar suara ibu ayah atau penjaga
  • Mengeluarkan bunyi-bunyian seperti bunyi vokal 

7-11 bulan

  • Memahami perkataan ‘jangan’ dan arahan mudah seperti bye-bye atau salam
  • Meniru bunyi mudah seperti bunyi kenderaan atau binatang
  • Mulut membebel- ‘dada’, ‘mama’, ‘baba’ tanpa maksud tertentu

1 tahun

  • Memanggil nama ahli keluarga terdekat
  • Dapat menunjukkan bahagian badan asas
  • Menguasai 10 hingga 25 perkataan
  • Meniru suku kata perkataan. Contohnya bola- ‘ à /la’
  • Menggunakan kata sosial seperti hello atau bye-bye

2 tahun

  • Mengikut arahan tanpa bantuan isyarat
  • Menguasai kira-kira 50 patah perkataan
  • Menggabungkan dua hingga 3 patah perkataan

3 tahun

  • Mampu menyebut nama penuh
  • Bercerita dalam ayat lebih panjang dan sempurna, menggunakan 3 atau 4 perkataan

4 tahun

  • Menjawab soalan tentang fungsi objek
  • Memahami konsep seperti saiz dan warna
  • Boleh menyebut bunyi konsonan kira-kira 90 peratus dengan tepat

5 tahun

  • Faham arahan kompleks
  • Bercerita sesuatu topik dengan ayat panjang
  • Bahasa dan pertuturan menyerupai orang dewasa

Semoga perkongsian pengalaman anak lambat bercakap ini menjadi pengajaran buat ibu ayah agar sentiasa peka dengan perkembangan si manja.

Sumber: Norakma Jamlos, Myhealth

Kredit foto: google & ninja houswife

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Risaunya Anak Lambat Bercakap, Ibu Ayah Bantu Mereka Melalui 7 Jenis Mainan Ini!