Ketika bayi kesayangan anda memasuki usia 1 tahun, dia sepatutnya sudah mampu bercakap walaupun hanya satu patah perkataan sahaja. Bagi merangsang proses komunikasi ini, ibu ayah hendaklah menggunakan pelbagai teknik bersesuaian, antaranya dengan menggunakan isyarat tangan ketika menunjukkan sesuatu perkara di sekeliling mereka.
Sesetengah ibu ayah menganggap bahawa masalah lambat bercakap adalah perkara biasa kerana ia berkaitan dengan jantina dengan mengatakan anak lelaki akan lambat bercakap berbanding perempuan. Namun hakikat sebenarnya kemahiran tertentu hendaklah dicapai mengikut tahap umur si manja.
Tips membantu anak cepat bercakap, salah satunya menggunakan isyarat tangan
Berdasarkan perkongsian seorang Patologis Pertuturan-Bahasa, Aisyah Kassim, anak-anak tidak automatik bercakap. Mereka perlu diberi rangsangan dan stimulasi supaya dilatih untuk bercakap dengan baik dengan ibu ayah.
Antara cara yang boleh anda perlu tahu dan lakukan ialah:
#1. Anak belajar banyak perkara melalui aktiviti bermain
credit to sources
Berbanding orang dewasa, pekerjaan anak-anak yang masih kecil adalah bermain. Dalam hal ini jangan biarkan mereka bermain sendirian dan perlu ada seseorang yang menemani mereka bagi mempelajari bahasa serta komunikasi.
Antara insan yang paling sesuai untuk dijadikan teman ketika bermain ialah ibu ayah dan adik beradiknya. Jadi anda perlu meluangkan sedikit masa untuk duduk, bermain dan tanyakan soalan pendek seperti ”Ini apa?”
Kesannya, anak mampu memberikan respon dengan lebih cepat kerana soalan yang didengarnya ringkas dan mudah.
#2. Tunggu untuk mendapatkan respon
Ketika ibu ayah terlalu ingin menggalakkan anak kecil bersuara, anda hendaklah menunggu respon mereka. Berikan sedikit masa untuk si manja berfikir dan memahami apa yang anda minta mereka lakukan.
Purata jangka masa menunggu jawapan anak kebiasaannya adalah antara 5 hingga 10 saat bergantung kepada daya tumpuan anak.
Bukan itu sahaja, ibu ayah juga hendaklah memastikan kedudukan paling baik untuk berkomunikasi dengan si manja. Pastikan anda bertentang mata supaya senang anak melihat dan memahami maksud perkataan yang cuba disampaikan.
#3. Gunakan isyarat tangan bagi membantu anak memahami
credit to sources
Bagi anak sedang membesar, kesemua perkataan dan bahasa merupakan sesuatu perkara yang asing bagi mereka. Justeru, ibu ayah boleh menggunakan isyarat tangan bagi membolehkan si manja memahami dengan lebih baik.
Sebagai contoh jika anda menyebut ‘besar’ dan disusuli bersama isyarat tangan, sudah semestinya ia membantu anak-anak memahami perkataan tersebut dengan lebih baik.
Sama juga ketika anak ingin mempelajari bahasa, ibu ayah boleh membantu mereka memahami perkataan dengan menggunakan pelbagai isyarat tangan bagi menggambarkan maksud perkataan tersebut secara berkesan.
#4. Mengikut minat anak kecil
Setiap anak sememangnya akan memiliki minat dan kecenderungannya terhadap sesuatu perkara. Justeru ibu ayah hendaklah memerhatikan minat mereka, mendengar apa yang disebut dan dihasilkan sambil menunggu perkataan apa yang ingin disampaikan oleh anak.
Kemudian, barulah anda memberikan respon bagi menarik minat mereka untuk bercerita dan berkomunikasi dengan lebih baik.
Walau bagaimanapun, ibu ayah hendaklah memastikan tidak terlalu teruja sehingga menanyakan soalan yang berat dan memerlukan anak berfikir lama untuk memberikan respon. Cukuplah sekadar soalan ringkas atau ayat yang diberikan mengandungi kurang 5 perkataan.
#5. Tekankan sebutan mengikut intonasi suara
credit to sources
Teknik ini dikenali sebagai ”Acoustic Highlighting”. Apabila ibu ayah mengajarkan sesuatu perkataan, anda hendaklah menekankan perkataan tersebut secara jelas dan menarik. Contohnya, ”Waah.. BOLA..”
Dalam hal ini, gunakan intonasi dan kuatkan sedikit suara ketika anda menyebut. Teknik ini mampu menarik minat kanak-kanak untuk mendengar dan sekaligus mengingati perkataan tersebut.
Selain itu, anda boleh juga menambah panjang ayat anak dan jenis ayat dengan mempelbagaikan maklumat bagi menceritakan sesuatu perkara mahupun situasi.
Sebagai contohnya, anak sedang bermain bola. Ayat yang boleh anda gunakan ialah:
- Menamakan: Ini bola
- Melakonkan: Jom kita main bola
- Menerangkan: Besarnya bola
- Perasaan: Bestnya main bola
- Masa: Esok kita main bola
- Menghuraikan: Adik baling bola tinggi
Ibu ayah tidak perlu menggunakan kesemuanya dalam satu masa, hanya pilih yang bersesuaian sahaja. Cuma sentiasa ingat untuk mempelbagaikan informasi yang boleh dituturkan pada anak ketika bermain bersama mereka.
Selamat mencuba.
Sumber: Aishah Kassim
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kerap Berbual Dengan Anak Boleh Jadikan Mereka Lebih Bijak! – Kajian Harvard
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!