Pengalaman bersalin dialami setiap wanita bergelar ibu, berbeza dan tidak sama. Ada ibu ditemani suami atau ahli keluarganya di sisi.
Namun ada juga sebaliknya apabila terpaksa mengharungi kesakitan seorang diri tanpa peneman atas sebab tidak dapat dielakkan. Baca kisah ibu ini bersalin tanpa kehadiran suami di sampingnya.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Pengalaman ibu bersalin caesarean tanpa teman
- Perasaan ibu bersalin caesarean seorang diri
- Disebalik ketiadaan suami di sisi
Pengalaman ibu bersalin caesarean tanpa teman
Orang sekeliling sering menganggap saya seorang yang berani. Kenapa? Kerana saya melahirkan bayi secara caesarean tanpa kehadiran suami dan ahli keluarga yang lain.
Tarikh 27 Oktober 2019 sepatutnya menjadi tarikh jangkaan bersalin namun, masih belum ada sebarang tanda. Jadi saya pergi ke hospital bersama suami untuk check-up. Menurut doktor, belum ada bukaan rahim dan saya perlu datang esok selain perlu melaporkan beliau jika terdapat sebarang perkembangan.
Esoknya, masih belum ada tanda malah, tidak rasa sakit atau kejang kecuali ada darah warna coklat keluar sewaktu bangun tidur. Saya memutuskan ke hospital seorang diri kerana suami perlu bekerja.
Doktor melakukan pemeriksaan dalaman dan masih belum ada bukaan pada serviks. Namun ultrasound hari sebelumnya menunjukkan tali pusat terbelit pada bayi.
Jadi doktor menjalankan biophysical ultrasound dan memeriksa tekanan darah untuk mengenal pasti degupan jantung.
Denyutan ada namun lemah, tidak seperti sebelum ujian dilakukan. Pemeriksaan sekali lagi dilakukan dan ketika itu saya bertambah bimbang dan merasakan belum bersedia untuk bersalin.
Mengejutkan apabila doktor itu memaklumkan doktor yang lain dan menunjukkan keputusan bacaan tekanan darah. Saya terdengar mereka berbual tentang kadar degupan jantung bayi menurun. Semakin bertambah kebimbangan saya.
Doktor beritahu tidak boleh tunggu lagi kerana degupan jantung bayi akan menurun dan saya perlu bersalin secepat mungkin, Saya mahu menghubungi suami tetapi tiada signal telefon di hospital.
Perasaan ibu bersalin caesarean seorang diri
Sewaktu jururawat melakukan pemeriksaan, ketika itulah saya menangis tetapi bukan sebab sakit. Selepas diberikan epidural, jururawat meminta nombor suami.
Tak dapat bayangkan apa yang terjadi selepas itu kerana begitu pantas. Tidak semena-mena, terdengar tangisan dan saya menangis gembira. Tak sabar nak lihat wajah anak.
Di dalam bilik pemulihan, saya rasa sejuk dan mual namun pada masa sama, rasa teruja tatkala bertemu bayi. Saya mula risaukan suami dan bermacam perkara saya fikirkan.
Adakah suami boleh pulang ke rumah? Mungkin dia tidak mahu datang ke hospital. Mungkin sesuatu yang buruk terjadi kepada suami.
Saya lihat dari pintu bilik pemulihan, ternampak suami mengintai dari luar. Teruja sungguh suami apabila melihat kami berdua. Dia kemudian mendukung bayi kami.
Saya lihat kesungguhan suami, sanggup memasak dan membawa makanan ke hospital. Dia pastikan saya boleh makan dan tidur tepat pada masanya. Dia menukar lampin dan memapah saya ke bilik mandi.
Suami sanggup berjaga malam untuk memastikan saya dan bayi dalam keadaan baik. Bahkan sewaktu sampai di rumah, dia masih membantu dengan membersihkan luka bersalin dan menenangkan hati sewaktu ‘bergelut’ menjadi ibu baharu.
Disebalik ketiadaan suami di sisi
Kakak ipar menceritakan keadaan suami sebaik sahaja dimaklumkan saya sudah bersalin caesarean. Dia baru pulang dari kerja dan berehat, seterusnya menerima panggilan dari hospital.
Alangkah terkejut suami dan dia mundar-mandir sekitar rumah, tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Nasib baik saya sediakan beg sebelum bersalin. Ada ketikanya saya merasa kecewa tiada sesiapa yang temankan sewaktu bersalin tetapi saya tidak menyimpannya di dalam hati.
Salah satu faktor mungkin kerana saya tidak mempunyai pengalaman sakit bersalin. Jika sebaliknya, saya mungkin ada masa untuk menghubungi suami atau pulang ke rumah terlebih dahulu dan memberitahu ahli keluarga yang lain.
Penulis asal Camille Eusebio. Artikel ini mendapat kebenaran daripada theAsianparent Singapura untuk diterjemah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: ‘Saya Teruskan Penyusuan Badan Walaupun Positif Covid’- Ibu Kongsi Pengalaman Dilaluinya
Baca juga:Bila Anak Bercakap Ibu Jangan Percayakan 100%, Selidiklah Dahulu Sebelum Bertindak
Baca juga: Persediaan Fizikal & Mental Sebelum Bersalin Caesar, Ini Info PENTING Ibu Kena Tahu!