Golongan wanita memiliki kecenderungan terhadap masalah kesihatan mental kira-kira 20 peratus sepanjang hayat mereka, berbanding lelaki. Risiko menjadi lebih tinggi kepada ibu yang baru pertama kali melahirkan anak. Justeru, pengurusan stress amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Setiap wanita yang melalui proses kehamilan dan kelahiran akan dirangsang dengan pelbagai emosi seperti seronok, gembira, bimbang dan takut pada setiap masa. Ini boleh bertambah teruk jika diri mereka kurang rehat kerana terpaksa berjaga siang malam.
Baca juga: Begini Cara Mandi Bunga Bagi Menguatkan Semangat & Keyakinan Ibu Selepas Bersalin
Pengurusan stress selepas kelahiran bayi amat penting
Kehadiran cahaya mata memberikan keterujaan dan dalam pada yang sama pengalaman mencabar buat ibu ayah. Anda mungkin sahaja memerlukan lebih banyak waktu untuk memahami ragam, tabiat dan jenis tangisan bayi.
Pada beberapa bulan pertama selepas kelahiran, kebanyakan ibu mengakui berasa sedikit tertekan untuk membiasakan diri menjaga bayi baru lahir dengan sebaiknya. Selain itu, anda juga perlu berdepan:
- Perubahan tubuh badan
- Hubungan suami isteri dan ahli keluarga berubah
- Peranan sebagai seorang ibu
- Masalah kewangan
- Kurang waktu untuk diri sendiri
Jika tidak rawat, ia boleh menjadi parah sehingga boleh diklasifikasikan sebagai kemurungan selepas bersalin atau pospartum depression (PPD). Ia tidak menggambarkan sebarang kelemahan atau kecacatan.
Kebiasaannya, PPD ini boleh membawa kepada gangguan aktiviti harian seperti masalah dengan keluarga. Si ibu mungkin akan bertindak mengasingkan diri dari sesiapa.
Dalam kes paling ekstrem, masalah ini boleh menyebabkan ibu sukar mengawal dan cenderung melakukan sesuatu membahayakan diri sendiri atau orang lain. Ia dikenali sebagai Postpartum Psychosis iaitu halusinasi, fikiran psikotik dan delusi.
Antara salah satu kes terkenal adalah Andrea Yates dari Texas yang melemaskan kelima-lima anaknya pada tahun 2001.
Tanda-tanda ibu bersalin mengalami kemurungan
- Menangis tanpa sebab
- Tidak dapat menumpukan perhatian ketika melakukan sesuatu kerja
- Mudah berasa penat dan lesu
- Kurang selera makan, kerap lapar atau tidak dapat mengawal diri untuk makan
- Rasa benci membuak-buak pada suami atau ahli keluarga kerana perkara remeh
- Tidak boleh tidur malam
- Menyampah tengok anak atau tidak dapat menyusu dengan baik
- Terdengar suara ghaib, terlintas perasaan mahu membunuh diri atau mengalami halusinasi
Tips pengurusan stress atau kemurungan ketika berpantang
#1. Sentiasa mengambil makanan berkhasiat
Makanan yang sihat dapat membekalkan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan. Lebih-lebih ibu menyusu hendaklah makan lebih kerap supaya diri kekal bertenaga sepanjang hari.
Elakkan makanan yang mengandungi lemak tepu seperti makanan segera, mentega atau keju keras. Pilihlah jenis lemak tidak tepu seperti buah avokado dan minyak zaitun.
Anda mungkin tidak mempunyai banyak masa untuk memasak, pilihlah hidangan berkhasiat tetapi mudah disediakan seperti nasi beras perang dengan telur, kentang bakar atau buah-buahan.
#2. Bijak mencuri masa untuk diri sendiri
Sesetengah ibu mengatakan sukar meninggalkan bayi bersendirian. Apabila hilang sahaja dari pandangan, tentu sahaja akan menangis. Dalam hal ini, agak sukar untuk ibu menjalani kehidupan sekiranya tidak cukup tidur dan kurang rehat.
Cubalah cari sedikit masa untuk melelapkan mata ketika bayi tidur siang atau menyusukan bayi. Ajarkan si manja untuk baring di atas katil, elakkan sentiasa berdukung kerana sebab inilah dia tidak mahu berenggang dari ibu.
Anda juga boleh meminta tolong dari suami untuk menjaga anak ketika dia cuti cuti bekerja atau mengambi alih shif malam.
#3. Belajar bertenang dan meluahkan perasaan
Sekiranya tidak mampu melakukan sesuatu tugas seperti mengemas rumah pada setiap hari, biarkanlah sahaja. Hal yang perlu ibu tahu adalah tidak semua pekerjaan dalam rumah perlu ‘ditanggung beres’ dalam satu hari.
Belajar bertenang dan sentiasa mengingatkan diri bahawa anda sudah memberikan yang terbaik untuk si kecil. Bukan itu sahaja, ibu tidak boleh stres kerana aura negatif ini boleh membuatkan bayi merasainya dan ikut sama tertekan.
Selain itu, berkongsilah apa sahaja yang anda rasakan bersama pasangan, rakan-rakan ataupun ahli keluarga lain. Ini amat berkesan membuatkan anda berasa sedikit lega dan memperoleh semangat baru bagi melalui proses membesarkan anak
Setiap malam sebelum melelapkan mata, lupakanlah segala perkara yang anda tidak sempat lakukan pada hari itu, panjatkanlah rasa syukur terhadap apa yang sudah anda berjaya selesaikan.
Sumber: Glam, baby center
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia