Setiap ibu ayah pastinya akan memberikan terbaik ketika membesarkan anak-anak. Namun bagi yang bekerja, anda tiada pilihan selain menggunakan khidmat pengasuh demi mencari rezeki buat keluarga. Siapa sangka wanita ini diuji setelah anaknya disahkan menghidap penyakit cerebral palsy.
Melalui perkongsian video yang tular di laman tiktok, Linda berkongsi mengenai kisah bagaimana anak lelakinya Azfar berusia 13 tahun mengalami penyakit ini.
Kecuaian pengasuh menyebabkan anak menghidap penyakit cerebral palsy
Meskipun anak lelakinya kini sudah memasuki Tingkatan 1 di sekolah pendidikan khas, namun peristiwa hitam yang berlaku lebih kurang 13 tahun yang lalu masih terasa sehingga ke hari ini.
Difahamkan Azfar telah dilahirkan normal seperti bayi yang lain. Walau bagaimanapun ketika berusia 3 bulan, dia dikejarkan ke pusat perubatan. Setelah melakukan pemeriksaan, doktor mendapati anaknya itu mengalami pendarahan sehingga menyebabkan otaknya jadi bengkak.
”Pada hari kejadian, pagi tu Linda hantar Azfar ke rumah pengasuh macam biasa. Dia sihat dan tiada demam. Dalam perjalanan nak ke tempat kerja, saya patah balik dan bila lalu rumah pengasuh, anak tiada kat depan.”
”Linda ada tanya makcik (yang dianggap sebagai ibu), dia cakap Azfar ada tidur dekat dalam bilik.”
Kemudian dia terus pergi kerja dan kebetulan perlu out station di Kuala Kubu Baru bersama kawan. Pada tengah hari tu juga, telefonnya telah mati kerana kehabisan bateri.
Rakan Linda telah mendapat panggilan dari bekas suami mengatakan anaknya masuk hospital akibat demam. Jadi dia minta Linda untuk balik sekarang. Waktu tu jam menunjukkan 1.15 tengah hari.
Penyakit cerebral palsy berpunca pengasuh suka lambung dan biarkan anak menangis
Linda tak puas hati dan cuba menghubungi ibunya yang ketika itu ada di rumah. Ibunya menangis dan memaklumkan Azfar berada di hospital HUKM, minta Linda untuk balik segera.
”Ketika sampai di hospital, doktor memang tengah tunggu Linda. Bila tengok anak, ya Allah luluh hati seorang ibu apabila anak di depan mata tidak sedarkan diri. Doktor kata Azfar 50/50.”
”Doktor terangkan dekat Linda bahawa Azfar mengalami pendarahan di kepala kiri dan kanan. Paling kritikal adalah belah kanan. Jadi doktor nak buat pembedahan tetapi perlukan darah ibu dahulu sekiranya berlaku apa-apa.”
”Proses pembedahan pertama memakan masa selama dua jam untuk keluarkan darah dari kepala Azfar.” kongsinya.
Selepas siap pembedahan, Azfar telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Dalam masa yang sama, Linda dinasihatkan oleh pihak hospital untuk membuat laporan polis.
Doktor mempercayai punca penyakit cerebral palsy ini adalah kerana Azfar mungkin dilambung dan dibiarkan menangis dalam tempoh yang lama oleh pengasuhnya.
”Kami dapat tahu pengasuh selalu kurung Azfar dalam bilik dan jiran-jiran mengatakan selalu dengar dia menangis dengan kuat hampir setiap hari.”
”Pengasuh mengakui bahawa dia juga setiap hari akan lambung anak sebab Azfar suka. Doktor scan memang tiada kesan jatuh langsung.”
Anak dan ibu memaafkan pengasuh seikhlas hati
Setelah dua minggu berlalu, tiba-tiba kepala Azfar membengkak besar. Doktor sekali lagi panggil untuk pembedahan agar dapat letak saluran agar air berlebihan dapat keluar dari kepala.
”Sekali lagi Linda tak kuat, pembedahan kedua ini ambi masa 4-5 jam. Kekuatan Linda masa tu adalah keluarga. Kami tidur di kaki lima hospital selama 1 bulan lebih, takut nak balik dan risau apa-apa jadi pada Azfar.” kongsinya.
Meskipun sudah mencuba pelbagai rawatan termasuklah pembedahan, namun anaknya masih tidak dapat berjalan, melihat secara normal dan berdepan masalah pendengaran. Proses pembelajarannya juga terbantut.
Linda juga mengatakan dia telah menarik semula laporan polis dan seikhlas hati memaafkannya. Pihak polis mendapati pengasuh berkenaan mengalami masalah kemurungan (depression).
”Kakak yang beli tudung dengan Linda kenal pengasuh tu sebab kes Azfar. Linda tanya makcik tu masih ada lagi ke tak. Dia kata ada. Linda ada beritahu Azfar mengenai kejadian tu. Azfar kata dia sudah maafkan nenek.”
Sumber: Tiktok Medina scarves
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ingat Sengaja Buat Mulut Senget, Rupanya Anak Hidap Bell Palsy Akibat Korek Telinga!