Cepat betul masa berlalu! Rasa seperti baru semalam anda pertama kali memegang anak yang baru saja lahir, hari ini dia sudah masuk umur 2 tahun, sibuk berceloteh dan berlari keliling rumah. Agak-agak, apa perkembangan anak 24-26 bulan yang ibu bapa kena peka?
Si comel anda kini sudah boleh menggabungkan perkataan dan menjadikannya sebagai ayat pendek serta mereka telah mengetahui lebih 50 perkataan. Malah pada peringkat ini si sudah pandai cakap dengan tiga perkataan ringkas seperti “mama, nak susu.
Sekiranya anak anda masih tidak beritahu apa mereka mahu dan hanya menunjuk menggunakan jari, mungkin dari situ ibu bapa boleh pantau dan ya, anda PATUT risau.
Pada saat ini juga anak anda juga sudah boleh mengenal nama kawan dan mengenali objek melalui bentuk dan warna.
Anda juga akan perasan yang anak lebih yakin kerana sekarang dia sudah boleh bercakap dan berjalan. Anak juga sudah makin stabil untuk berjalan.
Jadi anda perlu biarkan dia berlari keliling rumah.
Anak juga akan elak untuk tidur kali kedua pada waktu siang dan masa tidur mereka akan meningkat ke 12 jam. Ini bermakna anda juga dapat tidur lebih lama.
Anak anda adalah individu yang mempunyai personaliti tersendiri, jadi anda perlu bersiap sedia kerana akan ada hari yang mereka cranky. Anda perlu banyak bersabar.
Perkembangan anak 26 bulan
#1. Perkembangan kognitif
Anak yang semakin membesar kini belajar tentang dunia di sekelilingnya melalui sentuhan, pendengaran dan dengan melihat orang atau objek. Kebolehan mereka untuk membentuk gambaran mental dan memahami konsep dan arahan juga semakin meningkat.
Dia juga boleh menyelesaikan masalah melalui proses cuba dan salah. Jadi, anda mungkin perasan yang mereka cuba untuk pecahkan mainan dan dari situ mereka akan belajar konsep penggunaan.
Kebolehan intelek mereka akan semakin berkembang, anak anda kini faham dengan konsep masa. Ia seperti, bila anda beritahu yang dia boleh bermain selepas makan, dia akan faham maksud perkataan “selepas”.
Perkembangan anak 26 bulan juga termasuklah mereka mampu menyelesaikan teka-teki dan mengenali fungsi nombor lebih-lebih lagi dalam mengira objek.
Anak 2 tahun 2 bulan masih belum mampu memahami konsep emosi yang sukar. Dia tak akan faham yang ibu bapa mereka akan bercerai atau ahli keluarga mereka tak sihat.
#2. Perkembangan emosi dan sosial
Walaupun kebanyakkan masanya si manja itu gembira, anda perlu bersiap sedia untuk beberapa tantrum dan rungutan dari mereka juga.
Anak juga akan menjadi posesif terhadap barang mainan mereka kerana dia tak nak berkongsi. Dia juga akan cepat marah jika dia tak dapat membuat sesuatu.
Ini kerana mereka belum faham yang orang lain juga punya perasaan.
#3. Perkembangan anak 26 bulan: Perkembangan bahasa dan percakapan
Walaupun si kecil anda kini boleh membuat ayat pendek dan mengetahui lebih dari 50 perkataan, tapi adalah normal jika anak tak boleh menyebut perkataan yang bermula atau berakhir dengan “sh”, “ch”, atau “th”.
Apa yang penting, anda dan orang yang rapat dengannya faham maksud yang cuba dia sampaikan. Cakap dan bacakan sesuatu pada anak sekerap mungkin supaya mereka boleh belajar perkataan baru.
Antara perkembangan anak 26 bulan yang lain adalah mereka mampu mengenal nama objek dan mungkin boleh tahu di mana bahagian badan yang sakit.
#4. Perkembangan anak 26 bulan: Perkembangan kesihatan dan nutrisi
Di usia ini, anak anda sudah dua kali lebih tinggi dari tinggi mereka semasa lahir. Berat badan mereka sekarang pula empat kali lebih berat dari berat lahir (11kg ke 13 kg).
Mereka akan naik berat sebanyak 3kg setiap tahun dan tinggi akan bertambah 9cm sepanjang tahun.
Oleh sebab kepala mereka lebih seimbang dengan badan, postur badan mereka akan menjadi lebih baik dan mereka mampu berjalan dengan lebih lurus.
Untuk nutrisi pula, mereka akan mula merasai pelbagai jenis makanan, jadi anda boleh beri makanan yang mereka tak pernah cuba lagi sebelum ini.
Anak anda juga mungkin akan suka melihat bagaimana anda makan, jadikan makan bersama sebagai salah satu dari aktiviti anda dan anak. Jika mereka buat sepah semasa makan, biarkan.
Penting untuk anak teroka apa yang masuk ke dalam mulut mereka. Jika mereka ingin bau dan jilat makanan sebelum makan, biarkan saja.
Tip untuk ibu bapa
Pada peringkat ini, perhatian dan penjagaan ekstra dapat membantu anak anda untuk mengembangkan personaliti yang lebuh tenang.
Rungutan dan tantrum anak akan buat anda getam tapi jika anda sabar melayan dan mendengar apa yang mereka mahu, ini akan buat mereka cepat bertenang dan merapatkan lagi hubungan anda dan anak.
Jika anak belum mencapai milestone ini pada usia 2 tahun 2 bulan, rujuk pada doktor untuk memahami apa yang terjadi pada anak anda.
Jangan sedapkan hati dengan hanya berkata tak mengapalah mungkin anak saya lain sikit, perkembangan anak kan lain-lain. Elakkan dengar kata-kata orang yang hanya untuk menjaga hati anda. Lebih baik jadi ibu bapa yang peka atau kiasu daripada menjadi ibu bapa yang ‘in denial’.
Beri perhatian yang lebih pada anak anda dan luang masa untuk bermain dengan anak anda. Ini semua akan menolong anak untuk berkembang dengan lebih cepat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini telah diterjemah dari theAsianparent Singapore
Baca juga: 7 Tahap Perkembangan Anak Umur 2 Tahun, Yang Mana Anak Dah Capai?