Perkembangan Janin Ketika Trimester Kedua, Ibu Kini Boleh Merasai Pergerakan Bayi

Trimester kedua berapa minggu? Bagi anda baru pertama kali bergelar ibu, sebenarnya bermula 14 hingga 27 minggu. Ketika ini alahan mungkin telah berkurangan

Persoalan yang ramai ibu baru tanya ialah trimester kedua berapa minggu sebenarnya? Untuk pengetahuan anda, trimester kedua bermula dari 14 hingga 27 minggu. Ketika ini jangan terkejut sekiranya anda mula merasakan ada sesuatu bergerak-gerak di dalam perut. Itulah pergerakan dan tendangan janin.

Apa lagi yang menarik? Tentulah jantina bayi. Lelaki atau perempuan, tidak lagi perlu berteka-teki. Anda boleh mengetahuinya kerana ia lebih jelas kini. Teruskan membaca tentang perkembangan janin ketika dalam trimester kedua.

Trimester kedua berapa minggu? Ini perkembangan janin yang perlu ibu tahu

  • Minggu 13

Ususnya kembali bergerak ke bahagian perut dan bayi mula menghasilkan urin serta mengeluarkannya ke cecair amniotik. Tulang pada bahagian kepala dan tangan serta kaki juga mula membentuk.

Dalam minggu ini anda mungkin akan merasa pergerakan bayi. Bayi kini sepanjang 3 inci dan seberat lebih kurang 28g.

  • Minggu 14

Leher bayi lebih jelas manakala sel darah merah terhasil dalam limpanya. Alat kelamin akan mula kelihatan dalam minggu ini atau minggu seterusnya.

Untuk bayi perempuan, folikel ovari mula terbina dan untuk bayi lelaki, prostat mula kelihatan. Mata bayi mula bergerak ke bahagian tengah dan hidungnya lebih terbentuk.

Telinga berterusan berkembang, tulang pipi kelihatan dan rambut pertama bayi muncul. Bayi kini sepanjang 3.5 inci dan seberat 40-45g.

  • Minggu 15

Rangka bayi kini membentuk tulang-temulang, yang akan kelihatan dalam imej ultrasound beberapa minggu lagi. Deria rasa pada lidah bayi telah sempurna dan dia mungkin dapat merasakan apa yang dimakan oleh ibu.

Kulit bayi yang tipis juga akan mula diselaputi dengan Lanugo atau bebulu halus yang akan hilang sebelum dilahirkan.

  • Trimester kedua berapa minggu- Minggu 16

Pergerakan bayi kini lebih selaras dan dapat dikenalpasti semasa pemeriksaan ultrasound. Cap jari yang unik mula membentuk pada jari kecil bayi.

Ia kini boleh mencapai, menendang dan melakukan balik kuang jika mahu. Mekonium atau lendiran najis berwarna hijau mula terhasil dan menjadi najis pertama bayi apabila dilahirkan. Bayi kini sepanjang 4.5 inci dan seberat 100g.

  • Minggu 17

Dalam minggu ini, lemak mula terhasil dan berkumpul di bawah kulit. Ia menghasilkan tenaga dan membantu bayi kekal hangat apabila dilahirkan.

Sistem peredaran dan salur kencing telah mula beroperasi. Paru-paru pula mula menyedut dan menghembuskan cecair amniotik.

  • Minggu 18

Telinga bayi akan kelihatan jelas pada sisi kepala dan dia mungkin boleh mula mendengar. Dengan pemeriksaan ultrasound, anda dapat melihat jelas alat kelamin jika posisinya mengizinkan.

Bagi bayi perempuan, faraj, uterus dan tiub falopia telah mula terbentuk manakala bagi bayi lelaki, zakarnya dapat dilihat. Bayi kini sepanjang 5.5 inci dan seberat 200g.

  • Minggu 19

Sejenis lapisan seperti keju dan berminyak atau vernix caseosa mula melapisi kulit bagi melindunginya daripada melecet, meretak dan mengeras akibat terdedah kepada cecair amniotik.

Kaki bayi telah mencapai panjang yang relatif dan dengan pembentukan otot-otot, anda mula terasa lebih daripada tendangan kecil. Berat bayi akan bertambah 15 kali ganda bermula minggu ini sehingga dilahirkan.

  • Minggu 20

Pada pertengahan kehamilan ini, jika pernah hamil, anda mungkin telahpun merasakan pergerakan bermula beberapa minggu lepas.

Bayi mula mendengar dan mengenalpasti suara ibunya. Inilah masa yang penting untuk pembentukan derianya memandangkan sel-sel saraf yang membantu setiap deria mula terbina pada kawasan yang tertentu pada otak.

Walaupun masih kecil dan sensitif, bayi membesar dengan cepat dan mungkin dapat terus hidup jika dilahirkan dalam minggu ini. Bayi kini sepanjang 6-8 inci dan seberat 340g.

  • Minggu 21

Tubuh bayi akan mula menyimpan lemak secara konsisten dan menambah berat. Minggu ini, bayi anda lebih aktif dan sudah mula menelan.

Tubuh badannya juga telah diselaputi penuh dengan lapisan vernix caseosa yang akan membantu kelahiran.

  • Minggu 22

Dalam minggu ini, tubuh bayi diselaputi sempurna oleh Laguno yang memegang vernix caseosa pada kulit. Bulu kening dan bulu mata bayi mula kelihatan dan telah tumbuh sempurna.

Suara-suara perbualan dari luar agak jelas kedengaran olehnya kini. Jika anda menyanyi, bercakap atau membaca dia mungkin dapat mendengarnya. Bayi kini sepanjang 7.5 inci dan seberat 460g.

  • Minggu 23

Kulit bayi berkedut-kedut dan kurang lut cahaya daripada sebelumnya. Mata bayi mula bergerak pantas. Untuk bayi lelaki, testisnya mula menjauh dari abdomen.

Bagi bayi perempuan, uterus dan ovarinya telah berada di kedudukan yang sepatutnya, lengkap dengan bekalan telur untuk seumur hidup. Bayi anda kini sepanjang 10 – 11 inci dengan berat lebih kurang 567g.

  • Minggu 24

Bermula minggu ini, bayi akan tidur dan terjaga secara konsisten. Rambutnya juga tumbuh dengan konsisten.

Dia mula berlatih untuk bernafas dengan menghela cecair amniotik ke dalam paru-paru yang sedang berkembang. Bayi anda sepanjang 8 inci dan seberat 630g.

  • Minggu 25

Minggu ini adalah yang menyeronokkan kerana bayi anda sudah mula dapat bertindak balas terhadap suara anda dengan pergerakan. Berat bayi berterusan bertambah dan mula memenuhi ruang uterus.

  • Minggu 26

Kuku bayi kini telah sempurna. Paru-paru bayi mula menghasilkan surfaktan atau sejenis bahan yang membolehkan kantung udara mengembang dan mengelakkannya daripada mengempis dan melekat apabila mengecut.

Kini bayi anda sepanjang 9 inci dan seberat 820g.

  • Minggu 27

Dalam minggu terakhir trimester kedua ini, paru-paru dan sistem saraf bayi berterusan untuk matang. Bayi mula membina kitaran tidur dan bangunnya dan ibu juga boleh mengesan kitaran ini. Bayi kini telah mencapai 14 inci dan beratnya lebih kurang 1.05kg.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 9 Gangguan Yang Sering Muncul Ketika Trimester Kedua, Ibu Pernah Alaminya Tak?

Baca juga: 5 Tanda Di Trimester Kedua Ini Tentukan Anda Hamil Bayi Perempuan @ Lelaki

Baca juga: Benarkah Proses Melahirkan Anak Kedua Dikatakan Lebih Mudah Berbanding Pertama?