Kandungan 8 Minggu: Perkembangan Janin 8 Minggu & Perubahan Yang Dirasai Ibu
Kandungan 8 minggu menunjukkan banyak perkembangan pada janin 8 minggu seperti pembentukan wajah dan mendengar degupan jantung
Kehamilan adalah satu perjalanan yang ajaib, dipenuhi dengan pelbagai peringkat perkembangan yang mengubah satu sel menjadi bentuk manusia. Kandungan 8 minggu adalah tempoh penting kerana banyak sistem dalaman janin berkembang pesat.
Menjelang 8 minggu hamil, kumpulan kecil sel yang bermula sebagai telur yang disenyawakan kini secara rasmi dipanggil embrio.Kebanyakan ibu bila dapat tahu diri mengandung, pasti anda tidak sabar untuk mengetahui perubahan positif yang berlaku dalam kandungan, kan?
Justeru dalam artikel ini kami kongsikan panduan lengkap mengenai perkembangan kandungan 8 minggu, perubahan yang berlaku pada diri ibu dan juga tips penjagaan kehamilan.
Isi Kandungan
Perkembangan kandungan 8 minggu
Kehamilan adalah perjalanan yang ajaib, di mana dari cubaan untuk hamil hingga melahirkan, setiap minggu membawa perubahan luar biasa. Pada 8 minggu kehamilan, banyak perkembangan penting berlaku pada janin dan ibu hamil.
Pada 8 minggu, janin telah membesar dengan cepat. Pada masa ini, saiz janin 8 minggu biasanya kira-kira 3 hingga 4 cm panjang, kurang daripada 2 inci.
Walaupun masih sangat kecil, ini merupakan peringkat awal pembangunan yang menakjubkan.
Kandungan 8 minggu berapa bulan
Pada usia kandungan 8 minggu, anda kini berada di bulan kedua kehamilan. Biasanya, setiap bulan kehamilan dianggap mempunyai kira-kira 4 minggu.
Jadi pada 8 minggu, anda telah melengkapkan 2 bulan perjalanan kehamilan.
Saiz bayi 8 minggu dalam kandungan
Biasanya, bentuk perut hamil 8 minggu masih kecil dan tidak seperti sedang hamil. Jadi apa saiz bayi 8 minggu dalam kandungan?
Percaya atau tidak, sebenarnya saiz bayi 8 minggu dalam kandungan anda sekarang sudah sebesar kacang merah tau!
Panjangnya juga boleh mencapai 1/2 hingga 3/4 inci atau sekitar 1.5 hingga 2cm. Alah, comelnya!
Bentuk perut hamil 8 minggu
Biasanya bentuk perut hamil 8 minggu tidak mengalami perubahan ketara yang boleh dilihat dari luar. Hal ini kerana janin masih sangat kecil dan terletak di dalam rahim, dilindungi oleh struktur pelvis.
Kebiasaannya pada usia kandungan 8 minggu, perut ibu mengandung masih rata dan hampir tidak berubah dari sebelumnya.
Perubahan bentuk perut hamil biasanya semakin ketara apabila ibu memasuki trimester kedua dan trimester ketiga, apabila janin semakin membesar dan perut mula membulat.
Perkembangan janin ketika hamil 8 minggu
Berikut beberapa perkembangan bayi 8 minggu dalam kandungan:
- Meskipun anda masih belum boleh merasai pergerakan bayi dalam kandungan, tapi janin 8 minggu sebenarnya sangat aktif. Dia kini boleh memusing pinggang!
- Ciri-ciri wajah janin 8 minggu juga semakin jelas. Anggota tubuh manusia seperti telinga, bibir atas, dan hujung hidung akan mula kelihatan dan terbentuk, sementara sistem pencernaan termasuk usus juga sedang berkembang.
- Namun disebabkan tidak ada ruang di dalam embrio, usus dipindahkan ke tali pusar. Apabila embrio sudah berkembang, usus bayi anda akan kembali ke tempat asalnya seperti sedia kala.
- Selain itu, jari tangan dan jari kakinya juga baru muncul, walaupun ia sedikit saja.
- Walaupun masih kecil, namun pada minggu ini, janin sedang membentuk deria rasa.
- Ekornya yang seperti berudu pula akan hilang.
- Degupan jantung pertama janin anda juga biasanya dapat didengar pada minggu ke-8 kehamilan. Pada masa ini, jantung bayi anda berdegup pada kelajuan yang luar biasa, iaitu kira-kira 150-170 kali seminit atau dua kali lebih laju daripada orang biasa.
- Ibu ayah bagaimanapun masih belum dapat mengetahui jenis jantina (alat kelamin) bayi mereka. Alat kelamin memang sudah berkembang menjadi ovari atau testis, tetapi masih belum kelihatan.
- Kebiasaannya, jantina bayi baru dilihat apabila kandungan sudah memasuki usia empat bulan.
Segera berjumpa dengan doktor anda jika anda mendapati terdapat sebarang kelainan atau masalah yang mungkin sedang berlaku pada kandungan 8 minggu anda.
Tanda 8 minggu hamil
Pada usia kandungan 8 minggu, ramai wanita mengalami pelbagai perubahan fizikal dan emosi. Berikut adalah beberapa tanda 8 minggu hamil yang biasa terjadi:
#1. Alahan mengandung
Loya dan muntah adalah tanda awal kehamilan yang lazim, sering dirujuk sebagai mual pagi. Walau bagaimanapun, gejala ini boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang hari.
#2. Rasa kejang pada perut
Walaupun perbezaannya tidak begitu ketara, rahim sudah mula membesar pada usia kehamilan 8 minggu.
Perkembangan ini boleh menyebabkan berlakunya kekejangan di bahagian perut anda. Masalah sembelit, buang angin dan cirit-birit seterusnya akan membuatkan ibu hamil berasa tidak selesa pada masa ini.
Kebiasaannya, ibu akan merasa kekejangan ringan yang tidak begitu menyakitkan. Namun, jika ia semakin kerap berlaku malah terasa sakit, maka anda perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
#3. Pening
Semasa kandungan 8 minggu, hormon kehamilan membuatkan saluran darah mengendur dan melebar. Ini boleh menyebabkan tekanan darah menurun dan seterusnya membuatkan ibu hamil kerap terasa pening.
Hormon juga boleh menjejaskan telinga dalam, yang boleh mengganggu keseimbangan atau pendengaran sehingga akhirnya menyebabkan pening dan muntah-muntah.
Gejala pening pada kehamilan minggu ke-8 pula boleh disebabkan oleh paras gula dalam darah yang terlalu rendah, dehidrasi, atau kekurangan zat besi dalam darah.
Jika pening anda tidak reda, anda dinasihatkan untuk banyak berehat dan mengekalkan pengambilan makanan dan minuman yang berkhasiat.
#4. Perubahan pada payudara
Perubahan payudara biasanya bermula pada awal kehamilan. Pada masa ini, payudara ibu hamil akan berasa lebih besar. Salur darah pada permukaan kulit payudara lebih kelihatan, manakala puting dan areola lebih gelap.
#5. Kekeliruan
Sesetengah ibu hamil 8 minggu mungkin berasa keliru atau bimbang tentang perubahan fizikal dan emosi yang mereka alami. Ini adalah perasaan biasa, terutamanya jika ini adalah kehamilan pertama anda.
#6. Keletihan
Kehamilan boleh menyebabkan keletihan yang lebih teruk daripada biasa. Badan anda bekerja keras untuk menyokong pertumbuhan janin.
#7. Kerap buang air kecil
Semasa 8 minggu hamil, anda mungkin merasakan keperluan membuang air kecil dengan lebih kerap kerana janin yang sedang membesar memberi tekanan pada pundi kencing.
#8. Sensitif bau dan rasa
Perubahan hormon yang terjadi ketika 8 minggu hamil juga boleh menjejaskan bau dan selera makan anda. Sesetengah wanita mengatakan mereka mengalami peningkatan sensitiviti terhadap bau tertentu seperti bau pasangan, makanan dan pakaian.
Hamil 8 minggu apa yang dirasakan
Ketika kandungan berusia 8 minggu, ibu biasanya akan merasai dan mengalami gejala-gejala seperti di bawah ini:
- Bau kurang enak pada badan. Hormon dalam badan anda akan meningkatkan deria bau. Jadi, anda akan bau pelbagai bauan yang kurang enak.
- Perubahan pada payudara. Walaupun tubuh badan yang lain masih belum menunjukkan tanda-tanda mengandung, tapi payudara anda semakin besar dan berat. Ini kerana lobula penghasil susu dalam payudara sudah mula berkembang.
- Anda akan rasa cepat penat dan mual.
- Emosi berubah-ubah. Akibat peningkatan hormon, emosi atau mood anda akan mudah berubah-ubah (mood swing) secara tiba-tiba. Anda lebih mudah merasa marah dan sedih pada fasa ini.
- Kejang. Kekejangan awal kehamilan akan terjadi. Hal ini sebab abdomen anda sedang merenggang apabila rahim makin berkembang.
- Tidak selesa pada bahagian perut. Biasanya, anda akan rasa kurang enak atau selesa pada perut. Tapi jangan bimbang jika anda alami masalah penghadaman, sembelit, kembung parut atau sakit ulu hati. Semuanya normal pada fasa ini. Namun, anda masih perlu menjaga diri. Jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor.
- Pengedaran darah dalam badan anda akan meningkat. Pada akhir kehamilan, anda mungkin akan ada satu liter setengah darah tambahan.
Scan kandungan 8 minggu
Scan kandungan 8 minggu dilakukan ketika temu janji di klinik untuk memeriksa perkembangan janin dan memastikan rahim berkembang dengan baik.
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dikesan ketika scan kandungan 8 minggu:
- Degupan Jantung Janin: Pada usia 8 minggu kandungan, degupan jantung janin biasanya dapat dikesan dengan jelas melalui ultrasound. Degupan jantung adalah tanda yang penting untuk memastikan kesihatan janin.
- Saiz Fetal: Ultrasound akan memberikan gambaran tentang saiz janin. Pada usia ini, janin dalam 8 minggu kandungan biasanya kira-kira 3 hingga 4 cm panjang dan berat kira-kira 1 gram.
- Perkembangan Organ: Anda boleh melihat perkembangan organ utama seperti otak, jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru. Muka janin juga mula terbentuk.
- Peralihan dalam Rahim: Anda mungkin dapat melihat kedudukan janin dalam rahim, yang boleh memberikan maklumat penting tentang perkembangan kehamilan.
Pendarahan ketika hamil 8 minggu
Pendarahan ketika awal kehamilan atau keluar darah coklat ketika hamil 8 minggu boleh menjadi punca kebimbangan.
Pendarahan ketika hamil boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor, sesetengahnya mungkin normal dan yang lain memerlukan rawatan perubatan segera.
Berikut adalah beberapa punca pendarahan ketika hamil 8 minggu:
- Implantasi: Pendarahan awal kehamilan boleh disebabkan oleh implantasi embrio di dinding rahim. Ia sering dirujuk sebagai “bintik implantasi” dan boleh berlaku kira-kira 6-12 hari selepas persenyawaan.
- Punca hormon: Turun naik hormon semasa kehamilan boleh menyebabkan pendarahan ringan.
- Perubahan hormon progesteron: Perubahan dalam hormon progesteron ketika hamil boleh menjejaskan lapisan dinding rahim dan menyebabkan pendarahan.
- Jangkitan rahim: Jangkitan rahim seperti keradangan pelvis atau jangkitan lain boleh menyebabkan pendarahan.
- Masalah plasenta: Keluar darah coklat ketika hamil 8 minggu juga berpunca daripada masalah plasenta, seperti plasenta previa (plasenta yang menutupi serviks), atau gangguan plasenta (pemisahan plasenta dari dinding rahim sebelum masa bersalin).
- Kehamilan ektopik: Pendarahan yang banyak atau sakit yang teruk pada 8 minggu kandungan boleh menjadi tanda kehamilan ektopik, yang merupakan keadaan yang serius dan memerlukan rawatan perubatan segera.
Apabila anda hamil 8 minggu, berhati-hati apabila bintik darah muncul pada seluar dalam atau selepas buang air kecil. Keadaan ini agak biasa pada awal kehamilan.
Malah, seperempat wanita hamil mengalami fenomena ini. Namun, ia juga boleh menjadi tanda pertama keguguran. Jadi, sila alert ya!
Jika anda mengalami pendarahan ketika hamil 8 minggu, kami nasihatkan segera berjumpa doktor untuk penilaian dan rawatan yang sewajarnya.
Apa yang perlu saya lakukan ketika 8 minggu hamil?
Tempoh 8 minggu hamil ini adalah masa yang penting untuk menjaga diri dan janin yang sedang berkembang dalam rahim.
Berikut adalah beberapa langkah penjagaan semasa 8 minggu hamil untuk memastikan kehamilan sihat:
- Rujuk pakar sakit puan: Pertama sekali, pastikan anda mengikuti temu janji check up kehamilan yang telah ditetapkan oleh doktor. Pemeriksaan pranatal secara berkala adalah penting untuk memastikan kesihatan anda dan janin.
- Jaga pemakanan: Pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat adalah sangat penting. Pastikan anda mendapat nutrien yang mencukupi, termasuk asid folik, zat besi, kalsium, dan vitamin yang diperlukan. Elakkan makanan berisiko tinggi seperti makanan mentah atau kurang masak.
- Ambil suplemen pranatal: Doktor mungkin mengesyorkan suplemen pranatal yang mengandungi asid folik dan nutrisi lain yang penting untuk perkembangan janin.
- Senaman ketika hamil: Dapat nasihat doktor untuk mengetahui jenis senaman yang selamat untuk anda. Bersenam dengan kerap boleh membantu mengekalkan kecergasan semasa kehamilan.
- Elakkan tekanan berlebihan: Tekanan yang berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada kehamilan. Cuba beberapa teknik untuk mengawal tekanan seperti meditasi, yoga atau aktiviti yang membuatkan anda berasa santai.
Kesimpulannya, kandungan 8 minggu adalah tempoh yang penuh dengan perkembangan menakjubkan pada janin dan perubahan tubuh ibu mengandung.
Adalah penting untuk mengutamakan penjagaan diri, mendapatkan sokongan orang tersayang dan bimbingan doktor bagi memastikan anda melalui perjalanan kehamilan yang sihat.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Sumber
What to Expect (Sept 30, 2022). 8 Week Pregnant. www.whattoexpect.com/pregnancy/week-by-week/week-8.aspx
Baby Center (March 10, 2022). Baby development at 8 weeks. www.whattoexpect.com/pregnancy/week-by-week/week-8.aspx
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Semua Yang Anda Patut Tahu Tentang Pergerakan Bayi Dari Trimester 1 Sampai Trimester 3
Baca juga: Ibu Hamil Perlu Elak Makan Hati Lembu, Ia Berisiko Menjejaskan Perkembangan Janin!
Baca juga: Simptom Kehamilan Trimester Pertama: Minggu 1-12 Penting Bagi Perkembangan Janin!