Adakah anak anda sering kelihatan malu-malu ketika berdepan dengan orang baru? Mungkin dia seorang introvert, atau mungkin juga perkembangan sosialnya masih tidak dipupuk baik. Jadi, ini sedikit sebanyak tip-tip yang anda boleh amalkan untuk memupuk perkembangan sosial anak anda.
Sebagai seorang yang bergelar ibu bapa, sudah pastilah perkembangan tumbesaran bayi kita merupakan satu perkara yang sangat kita perlu titikberatkan.
Setiap momen dirasakan sangat berharga. Momen ini merupakan saat-saat yang tidak mungkin akan dapat diputar kembali.
Bila waktu tepat untuk pupuk perkembangan sosial?
Jadi, waktu inilah waktu yang paling sesuai untuk kita mula memupuk perkembangan sosial anak kita.
Ingat pepatah yang mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya”? Ya, dari sinilah kita seharusnya mula. Ketika si anak masih lagi kecil. Maka, janganlah kita memandang enteng akan perihal ini.
Untuk memupuk perkembangan sosial anak, sudah pastilah ibu bapa yang memainkan peranan yang paling utama sekali. Eh, mengapa? Anda tidak tahu? Jangan risau. Kita sama-sama boleh belajar.
Mari sini saya kongsikan beberapa langkah yang boleh anda sebagai para ibu bapa ikuti agar dapat membantu anda dalam memupuk perkembangan sosial anak anda.
Amalkan Tip-tip Ini Untuk Pupuk Perkembangan Sosial Si Kecil
#1. Sentiasa berinteraksi dengan si kecil
Kita perlulah sentiasa berinteraksi dengan si kecil terlebih dahulu kerana perkembangan kemahiran anak-anak bermula dari rumah. Ini akan membuatkan si kecil dapat menyerap sekaligus dapat menyemai perkembangan sosial dalam diri mereka.
Tidak susah pun untuk berinteraksi dengan si kecil. Cukuplah sekadar bertanya sebagai permulaan.
Bagaimana? Terdapat banyak pertanyaan yang boleh kita ajukan kepada anak-anak seperti, “Wah, anak ibu main apa tu?”, “Mari sini ayah tunjukkan.” Dan bermacam lagi.
Soalan-soalan seperti ini dapat memupuk anak kita untuk berkomunikasi dengan kita sekaligus telah mengajar mereka dalam perkembangan sosial juga.
Kalau boleh, ibu bapa seharusnya menggunakan perkataan dan bahasa yang sepatutnya.
Janganlah menggunakan bahasa bayi kerana walaupun ia dapat menarik minat anak supaya berinteraksi dengan kita. Namun, takut ia akan menjadi kebiasaan untuk anak kita bercakap pelat sehingga anak kita meningkat besar.
Kita tidak mahu anak kita berterusan berkomunkasi seperti bayi walaupun usia sudah menginjak 15 tahun, bukan?
#2. Meminta dan memberi respon kepada si kecil
Sumber gambar: Bright Horizons
Mahu anak mempunyai memupuk perkembangan sosial dan mempunyai perkembangan sosial yang positif? Mestilah boleh! Caranya, dengan meminta respon daripada anak kita. Banyak yang kita boleh lakukan dalam mendapatkan respon daripada anak kecil kita.
Contohnya, “Anak mak mahu makan?” soal kita sambil menunjukkan makanan atau snek yang akan kita berikan kepada mereka.
Adakah mereka akan memberi respon? Sudah tentu sama sekali! Namun, janganlah gusar sekiranya anak kita hanya senyum dan cuma hanya bergerak laju ke arah snek tersebut tanpa berkata apa-apa. Bukankah lama-kelamaan anak kita akan mengerti dan seterusnya akan terus memberi respon sekiranya kita berinteraksi dengannya tanpa berputus asa.
Keep your chin up and don’t give up ya wahai ibu bapa sekalian!
Namun begitu, jangan pula kita begitu asyik meminta respon sampai mempedulikan anak anda yang terkadang mahu juga mendapatkan respon dari ibu bapanya sendiri.
Walaupun ia hanya seperti omong-omong kecil yang tidak dapat anda fahami, namun cubalah untuk memahami dan membalasnya semula. Itu merupakan cara anak anda berkomunikasi dengan anda. Bukankah itu bermakna bahawa anak anda sudah mempunyai perkembangan sosial?
Jadi, teruskan usaha anda untuk mengembangkan lagi perkembangan sosial anak anda.
#3. Sentiasa memberi perhatian dan isyarat mata
Sumber gambar: Pexels
Ibu bapa sekalian, dalam kesibukan kita dalam bekerja, janganlah sesekali kita melupakan anak kita. Ingatlah bahawa mereka juga memerlukan perhatian yang berterusan dari kita sementara mereka ingin membesar.
Walaupun anda pulang ke rumah setelah seharian penat bekerja, luangkanlah sedikit masa bersama anak anda. Sentiasa memantau dan memberi perhatian terhadap perkembangan anak anda.
Bukankah lebih bagus jika kita sendiri yang mengethaui perkembangan anak kita dengan mata kepala kita sendiri berbanding daripada mulut orang? Sudah pasti rasa bahagianya berbeza sekali. Ha, sama juga seperti anak anda. Sudah tentu dia lagi mendambakan perhatian yang terutama daripada ibu bapanya sendiri, bukan?
Meskipun bukan selalu, namun berikanlah sedikit masa kepada diri anda untuk memberi perhatian kepada anak. Bukan apa, peluang melihat anak membesar hanya sekali. Ia tidak dapat boleh diulang kembali. Alangkah ruginya masa yang ada untuk diluangkan bersama anak terbuang begitu saja?
#4. Memberi galakan dan sokongan
Kredit: Freepik
Sikap ibu bapa yang mudah putus asa dan secara terang-terangan menunjukkan sikap sambil lewa juga sebenarnya dapat memberi kesan yang sangat negatif kepada anak-anak.
Mereka akan berasa hilang semangat dan tidak merasakan yang perkembangan sosial itu sesuatu yang penting.
Justeru itu, kita seharusnya sentiasa bersikap positif dan sentiasa bersedia dalam memberi sokongan dan galakan kepada anak kita sendiri. Jika bukan kita, siapa lagi? Takkan Makcik Kiah pula, kan?
Oleh itu, wahai ibu bapa sekalian, ambil tahu dan ambil peduli lah anda terhadap perkembangan sosial anak anda.
Terdapat banyak cara yang boleh anda lakukan dalam memberi galakan dan rangsangan kepada anak-anak. Bukan dengan hanya membelikan mereka hadiah mewah, malah ucapan dan kata-kata semangat yang diluahkan dari mulut kita sendiri juga berupaya dalam mendorong anak kita dalam memupuk perkembangan sosial.
Caranya mudah sahaja! Anda sebagai ibu bapa janganlah asyik serius sahaja. Kadangkala, bergelak ketawalah bersama anak-anak. Berilah rangsangan dan galakan dengan senyuman manis dan kata-kata yang positif. Ia bukanlah sesuatu yang rumit atau mustahil untuk kita lakukan, bukan?
Dengan setiap cara yang diberikan seperti di atas, tidak mustahil ia dapat membantu anda dalam memupuk dan menyemai perkembangan sosial anak anda, bukan?
Jangan mudah berputus asa dan teruskan mencuba kerana ANDA PASTI BOLEH!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kanak-kanak Tadika Dengan Pendidikan Sosial Yang Baik Lebih Cenderung Berjaya
Baca juga: 7 Mainan Bayi 4-6 Bulan Yang Terbaik Untuk Perkembangan Sosial, Kognitif dan DeriaSi Manja.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!