Kebanyakan ibu amat mengharapkan untuk bersalin normal, namun beberapa faktor mungkin memerlukan anda bersalin caesar. Justeru semak beberapa info penting mengenai persediaan bersalin caesar agar urusan anda dimudah-mudahkan.
Kehadiran cahaya mata adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan buat pasangan suami isteri. Proses kelahiran anak pertama biasanya membuatkan ibu sedikit janggal memandangkan tidak memiliki pengalaman serta gambaran apabila berada di dewan bersalin nanti.
Persediaan bersalin caesar secara fizikal dan mental
Persediaan sebelum dibedah
#1. Rancang bantuan selepas anda selamat bersalin
2 minggu pertama, ibu hanya mampu menguruskan diri dan bayi sahaja. Justeru pastikan ada seseorang yang boleh membantu menguruskan hal anak-anak lain, kemaskan rumah dan urusan rumah tangga.
Adalah lebih baik jika cukupkan tempoh sebulan kerana ibu perlukan waktu rehat untuk benar-benar sihat.
#2. Pemilihan seluar dalam
Jangan berangan nak beli yang jenis beropol-ropol, g string atau la senza. Pakai sahaja seluar dalam mak-mak. Yang tingginya sampai pusat dan tidak ketat.
Sekurang-kurangnya selepas dua minggu barulah anda boleh pakai ketat-ketat.
#3. Seluar atau skirt
Pakai je seluar dan skirt mengandung haritu. Yang penting selesa untuk luka pembedahan.
#4. Bengkung
Sebenarnya ibu yang bersalin caesarean boleh memakai bengkung jenis strap on untuk dua minggu pertama. Seelepas itu barulah boleh pakai bengkung kain.
#5. Pakej berpantang
Pastikan anda tempah pakej berpantang TANPA sauna. Kadang-kadang bidan sebut tangas, tapi yang sebenarnya dia buat sauna. Tanya betul-betul. Jangan bila dah buat rawatan baru menyesal.
#6. Makanan berpantang
Jika di hospital kerajaan, mereka akan hidangkan semua jenis makanan. Bagi mereka tiada istilah pantang (walaupun banyak dah kes ibu mengalami bentan dalam pantang, mereka tak boleh jelaskan dan asyik kata ibu terlebih berfikir).
Jadi sebelum bersalin, ibu-ibu boleh masak dahulu lauk pantang dan bekukan. Suami hanya perlu panaskan sahaja. Lebih mudah!
#7. Tandas duduk
Jika ibu pantang di kampung yang tiada tandas duduk, bolehlah beli portable toilet untuk orang sakit tu. Jangan mencangkung kerana ia boleh menarik urat dan otot luka.
Perancangan ketika bersalin caesar
Ambil tahu bagaimana prosedur bersalin secara pembedahan
- Ibu kena banyak membaca dan rajin-rajinlah bertanya kepada bidan bagaimana prosedur pembedahan.
- Ketahui jenis bius yang akan digunakan. Selalunya ibu akan dibius separuh badan. Tetapi jika tiada komplikasi, ibu akan ditidurkan untuk mengurangkan sebarang risiko.
- Masa epidural, memang seram. Selalunya saya request nak pegang tangan mana-mana nurse yang ada sebab takut sangat-sangat. Masa ni kita kena bertenang, fikir positif dan badan tidak boleh dikeraskan.
- Kemudian anda akan rasa tapak kaki seakan-akan panas sehinggalah ke bahagian pinggang. Disebabkan dewan bedah sejuk sangat, sekurang-kurangnya ‘kepanasan’ itu sedikit sebanyak menenangkan. Hakikatnya itulah namanya dibius, dah kebas. Tak rasa separuh badan.
- Elakkan tengok pada lampu di atas kepala anda sebab ia seperti cermin. Pantulan cermin lampu membuatkan ibu boleh nampak apa yang doktor buat di sebalik tirai.
- Masa proses pembedahan, elakkan overthinking bagi mengelakkan degupan jantung dan tekanan darah naik mendadak.
- Ya, ibu akan rasa setiap lorekkan atas kulit perut. Tapi tidak sakit. Rasa macam doktor lorek guna jari sahaja. Masa nak keluarkan bayi, doktor akan goyang-goyangkan perut dan ibu juga mungkin disuruh push baby dari ulu hati turun ke bawah. Kekal bertenang supaya segala proses berjalan mudah.
- Bila bayi dah keluar, doktor akan suruh anda declare jantina. Masa ni dapatlah tengok muka baby dan boleh skin to skin.
- Kemudian bermulalah episod jahit-menjahit. Memang lama, jadi kena bersabar dan banyak-banyak ucapkan alhamdulillah. Bayi selamat dilahirkan, ibu masih boleh bernafas tanpa sebarang komplikasi.
Setiap kali dapat tahu mengandung, saya sentiasa buat persediaan untuk kematian. Bersalin ni ibarat kita 50-50, apatah lagi pembedahan.
Kematian itu pasti, tetapi kita tidak tahu bila dan bagaimana. Tapi selalu mengharapkan mati syahid, insyaallah hilanglah rasa takut tu.
Semua benda kat dunia ini semuanya Allah sudah aturkan. Kita sebagai manusia hanya jalankan sahaja demi Allah.
Sumber: Siti Aishah
Kredit foto: the minimalist traveler
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bahaya Bersalin Normal Selepas Caesar, Ibu Berisiko Mengalami Rahim Pecah