Sejak dulu lagi, kaedah perancang keluarga atau pil perancang sinonim dan menjadi tanggungjawab wanita. Tapi, nampaknya kecanggihan zaman akan mengubah sejarah apabila pil perancang untuk lelaki pula akan muncul!
Sainstis semakin berjaya untuk menghasilkan pil perancang untuk lelaki pula sekarang.
Sejak melakukan kajian 50 tahun lalu, pengkaji dari University of Wolverhampton, United Kingdom akhirnya menemui cara untuk “mematikan” keupayaan sperma berenang.
Kaedah ini mampu membuatkan lelaki menjadi tidak subur buat sementara waktu.
Kemunculan pil perancang untuk lelaki – bagaimana ia berkesan?
Ketua penyelidik, Profesor John Howl memberitahu The Telegraph yang keputusan bagi kajian pil perancang untuk lelaki ini amat memberangsangkan.
“Kami tak sangka hasilnya seperti ini. Apabila kami mengambil sperma yang sihat dan menambah kompaun pil perancang untuk lelaki, dalam masa beberapa minit saja, sperma tersebut tidak boleh bergerak!”
Pil perancang untuk lelaki ini dibina oleh Howl dan pasukannya dengan mencipta sejenis kompaun yang mampu menembusi sel sperma dan memanipulasi bagaimana sperma itu berfungsi.
“Pada asasnya, kami membentuk peptida yang boleh mengubah fisiologi sperma,” jelas Dr. Sarah Jones dalam sebuah kenyataan media.
Ironinya, sel sperma amat sukar untuk ditembusi. Namun, dengan peptida ini, sel sperma boleh ditembusi dan dimanipulasi dari segi biologi untuk menghalang kesuburan.
Setakat ini, Howl dan pasukannya telah mencuba kompaun pil perancang untuk lelaki tersebut pada lembu dan sperma manusia yang aktif.
Dalam masa tiga tahun akan datang, mereka akan mengujinya pada haiwan hidup pula.
Pil perancang untuk lelaki – adakah ia berkesan?
Sebelum kehadiran pil perancang untuk lelaki ini, kaum lelaki bergantung kepada kondom, vasektomi, kaedah pancut luar dan penyembur yang membunuh sperma sebagai langkah merancang keluarga.
Selebihnya didominasikan oleh wanita yang akan mengambil pil kontraseptif atau kontraseptif darurat. Biasanya, pil ini akan berkesan selepas 7 hari penggunaan harian.
Jika wanita tersebut ingin cuba mengandung, mereka akan dinasihatkan untuk berhenti makan pil perancang seminggu atau sebulan sebelum mereka mula mencuba.
Tapi dengan penemuan baru ini, nampaknya terdapat sedikit kelainan yang amat berfaedah!
Dengan perubatan ini, lelaki yang memakai pil perancang tersebut masih boleh mengambilnya dalam masa satu jam atau beberapa minit sebelum melakukan persetubuhan.
Akan tetapi, pakar masih belum mengesahkan sama ada pil perancang untuk lelaki ini akan hadir dalam bentuk pil, penyembur hidung atau implan sub-kulit.
Pil perancang untuk lelaki mampu membantu lelaki mengawal kesuburan mereka juga
Profesor perancang keluarga dan reproduktif kesihatan, Dr. John Guillebaud dari University College London memberitahu The Telegraph yang kontraseptif lelaki ini mampu memberi manfaat kepada pasangan, terutamanya pada wanita yang tidak boleh mengambil pil perancang.
Satu lagi, ia juga mampu membantu lelaki yang ingin mengawal kesuburan mereka sendiri.
Sebagai contoh, pil perancang untuk lelaki amat berguna agar lelaki tidak terperangkap untuk memiliki anak apabila seorang wanita mengatakan dia memakan pil, sedangkan ia mungkin tidak benar!
Menurut The Huffington Post, jika semuanya berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan, pil perancang lelaki ini boleh didapati pada tahun 2021.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Artikel ini disumbang oleh theAsianparent Singapore
Baca juga:
Bagaimana ingin cegah kehamilan jika pasangan terpancut dalam?