Cara & Prosedur Pengambilan Anak Angkat Mengikut Undang-Undang Di Malaysia

Proses ambil anak angkat hendaklah mengikut undang-undang negara. Meskipun ia memakan masa agak lama, ini adalah untuk kepentingan masa hadapan

Sesetengah individu yang kurang bernasib baik dan sukar mendapatkan cahaya mata pasti pernah terfikir untuk mengambil anak angkat. Bagi anda tidak tahu, ada beberapa prosedur ambil anak angkat yang perlu diikuti mengikut undang-undang.

Apatah lagi mengambil anak yatim sebagai anak angkat. Sekurang-kurangnya anak yang tidak bernasib baik ini dibela dan dijaga dengan kasih sayang sepenuhnya. Akan tetapi, orang kata prosedur ambil anak angkat di Malaysia amat rumit. Mana ada!

Jom semak bagaimana cara pengambilan anak angkat di Malaysia, beserta syarat-syarat kelayakan permohonan seperti di bawah. Nescaya niat anda mungkin akan dipermudahkan.

Cara Memohon Anak Angkat di Malaysia

Terdapat dua cara untuk mengambil anak angkat di Malaysia:

  1. Mendapat anak terus daripada pemberian ibu bapa kandung
  2. Melalui permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jika anda ingin memohon pengambilan anak angkat melalui permohonan di JKM, anda boleh membuat permohonan melalui surat, faks, telefon, email atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di tempat anda bermastautin.

Akan tetapi, anda tetap perlu melalui proses pengambilan dari perintah mahkamah.

Namun, jika anda bertuah menerima anak terus daripada pemberian ibu bapa kandung, anda harus melakukan beberapa prosedur bagi memastikan status anak itu kelak sah di sisi undang-undang.

Terdapat dua cara permohonan untuk mengesahkan pengambilan anak tersebut, iaitu:

  1. Permohonan di mahkamah seksyen atau mahkamah tinggi dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak untuk Notis Pengangkatan; atau
  2. Permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara menerusi Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253).

Jika anda memilih pilihan kedua, anda perlu:

  1. Mengisi surat akuan berkanun
  2. Mendaftarkan pengambilan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon Sijil Pengangkatan (selepas 2 tahun)
  3. Melalui prosedur pengambilan Sijil Pengangkatan

Syarat Kelayakan Pengambilan Anak Angkat

Di bawah Seksyen 6(1) Akta 253, semua pemohon dan kanak-kanak (anak angkat) harus mematuhi beberapa syarat kelayakan, seperti:

Pemohon 

  • Salah seorang ibu bapa angkat (suami/isteri) atau ibu/bapa angkat (tunggal) bertaraf Warganegara atau Penduduk Tetap;
  • Ibu bapa angkat atau ibu/bapa angkat (tunggal) berumur 25 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada kanak-kanak;
  • Pasangan suami isteri memiliki Dokumen Perkahwinan yang sah;
  • Mendapat keizinan pengangkatan daripada ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal (surat akuan berkanun)
  • Sekiranya tiada keizinan ibu bapa kandung, pengangkatan masih boleh dilaksanakan melalui perintah mahkamah atau laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Permohonan perlu dikemukakan di JPN dalam daerah  ibu dan bapa angkat bermastautin.

Kanak-kanak

  • Belum pernah berkahwin;
  • Berumur di bawah 18 tahun dan bermastautin di Semenanjung Malaysia.
  • Telah dalam jagaan dan dipelihara pasangan suami isteri secara bersama, sebagai anaknya sendiri bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun yang berterusan sebelum pendaftaran pengangkatan  dibuat.
  • Kanak-kanak bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
  • Kanak-kanak memiliki dokumen pengenalan diri (Sijil Kelahiran/ Kad Pengenalan/ Passport/ Permit Masuk bagi warganegara asing/ dan visa perlu cukup tempoh dua tahun).
  • Memiliki Sijil Kelahiran (jika tiada, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran harus dibuat)

Syarat-Syarat Permohonan Anak Angkat JKM

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menetapkan syarat-syarat permohonan yang perlu dipatuhi oleh pemohon:

  • Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia.
  • Berusia 25 hingga 60 tahun.
  • Perkahwinan secara sah (5 tahun ke atas).
  • Bagi perkahwinan yang kurang dari 5 tahun dan mempunyai komplikasi kesihatan reproduktif atau
    kesihatan yang menyukarkan proses kehamilan atau perkahwinan yang lewat juga boleh dipertimbangkan permohonannya.
  • Peluang untuk mendapat anak tipis kerana faktor usia.
  • Pemohon bujang boleh dipertimbangkan dan perbezaan umur di antara pemohon dan kanak-kanak mestilah lebih 21 tahun. Pemohon lelaki bujang dibenarkan mengambil kanak-kanak lelaki sahaja.
  • Mempunyai pendapatan yang mampu menyara kehidupan keluarga.
  • Hendaklah sihat dari segi mental dan fizikal.
  • Bebas dari rekod kesalahan jenayah.
  • Keadaan tempat tinggal yang sesuai dan selamat.
  • Menganut agama yang sama dengan kanak-kanak.

Dokumen Yang Diperlukan Semasa Memohon

Bagi pasangan yang ingin mengambil anak angkat, pastikan anda menyediakan dokumen penting yang untuk rujukan bersama.

Antara dokumen yang diperlukan ialah:

  1. Gambar ukuran pasport (suami/isteri).
  2. Surat pengesahan dari pegawai perubatan mengenai status kesihatan pemohon (suami/isteri).
  3. Salinan kad pengenalan (suami/isteri).
  4. Salinan sijil nikah/sijil pendaftaran perkahwinan.
  5. Slip gaji atau pengesahan pendapatan (suami/isteri).
  6. Lain-lain dokumen sokongan, contoh: laporan Pakar Perubatan, surat sokongan lain dan sebagainya.

Prosedur Ambil Anak Angkat Dari Ibu Bapa Kandung

Jika anda menerima kanak-kanak terbabit dari ibu bapa kandungnya, anda perlu melakukan proses ini bagi mengesahkan pengambilan:

  • A) Permohonan Notis Pengangkatan

Permohonan Notis Pengangkatan boleh dibuat di mahkamah seksyen atau mahkamah tinggi.

Namun jika anda memilih untuk memohon permohonan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, sila ikut proses di bawah:

  • B) Surat Akuan Berkanun

Permohonan melalui JPN hanya boleh dibuat selepas kanak-kanak terbabit dipelihara selama dua tahun oleh ibu bapa angkat.

Oleh itu, mula-mula dapatkan Surat Akuan Berkanun (Surat Keizinan Pengangkatan) yang dikeluarkan oleh JPN. Ia perlu diisi oleh ibu bapa kandung kanak-kanak. Dalam surat akuan ini, ibu bapa kandung telah bersetuju untuk menyerahkan kanak-kanak terbabit (dengan nama dan nombor sijil lahir) kepada ibu bapa angkat.

Surat keiizinan ini melindungi hak penjagaan ibu bapa angkat. Ibu bapa kandung tidak akan menuntut balik. Ibu bapa kandung perlu menandatangani surat akuan berkanun di hadapan Tuan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah. Ia kemudian disetem dengan setem hasil.

Simpan surat ini. Selepas dua tahun, anda perlu membuat permohonan Sijil Pengangkatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

  • C) Permohonan Sijil Pengangkatan

Fail permohonan ibu bapa angkat akan dibuka. Anda akan diminta hadir ke temuduga bersama anak angkat terbabit. Kehadiran kanak kanak adalah wajib kerana pegawai JPN akan bertanya soalan tentang tempoh dua tahun kanak kanak tinggal bersama ibu bapa angkat.

JPN juga akan menghantar surat makluman permohonan kepada JKM. JKM akan memanggil ibu bapa angkat untuk ditemuduga. Selepas semua urusan temuduga dan permohonan sijil pengangkatan selesai, JPN akan mengeluarkan Mykid yang baru buat kanak-kanak terbabit.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Ada Anak Atau Tiada Anak Adalah Ujian Daripada Allah, Tetaplah Bersyukur Seadanya!

Baca juga: Tak Lupa Jasa Keluarga Angkat, Anak Yatim Ini Hadiahkan Mereka Sebuah Banglo MEWAH

Baca juga: Anak Angkat Dapat Harta Melalui Hibah, Waris Lain Berputih Mata Tidak Dibenar Masuk Ke Rumah

Penulis

Ayu Idris