Sedar tak sedar, kita kini berada di pertengahan bulan Syaaban. Inilah peluang terakhir kita untuk bersiap sedia sebelum bertemu bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan sunat antaranya puasa nisfu syaaban.
Berpuasa sunat pada bulan ini adalah cara terbaik untuk melatih diri berpuasa penuh selama sebulan. Seperti yang kita sedia maklum, malam Nifsu Syaaban 2024 jatuh pada malam 24 Februari 2024 (Sabtu) selepas masuk waktu Maghrib.
Kita dianjurkan untuk berpuasa 1 hari pada keesokan harinya, iaitu pada 25 Februari 2024 (Ahad). Ia termasuk dalam hari-hari putih iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Islam.
Isi Kandungan
Hukum Puasa Nisfu Syaaban & Hari Selepasnya
Ramai dalam kalangan kita yang keliru dan tidak tahu apakah hukum puasa nisfu Syaaban dan hari selepasnya.
Berikut merupakan hukum puasa atas sebab-sebab tertentu:
- Sunat: puasa dalam bulan Syaaban
- Dibolehkan: Kita digalakkan untuk puasa sunat pada hari Nisfu Syaaban (15 Syaaban)
- Dibolehkan: Jika puasa wajib seperti qadha, nazar dan seumpamanya pada 16 – 30 Syaaban.
- Dibolehkan: Jika puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang biasa puasa sunat sebelum itu.
- Haram: Orang yang tidak biasa puasa sunat sebelum 15hb, hukumnya haram untuk puasa sunat pada 16 – 30 Syaaban.
Niat Puasa Syaaban
Nawaitu Shauma Ghadin ‘An Adaa’I Sunnati Sya’bana Lillahi Taala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat Syaaban esok hari kerana Allah Taala
Kelebihan Puasa Nisfu Syaaban
Terdapat banyak lafaz hadis dan berpandukan nas sahih yang menceritakan kelebihan apabila melakukan puasa sunat Syaaban.
Antara kelebihan puasa nisfu Syaaban ialah:
1. Puasa nisfu syaaban sebagai persiapan diri dari segi mental dan fizikal.
Dengan berpuasa kurang dari sebulan dapat melatih diri untuk lebih bersedia dan mudah untuk menjalani ibadah puasa di dalam bulan Ramadan.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A, beliau menceritakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW ada masa berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak mahu berbuka. Ada masa Rasulullah SAW tidak berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak mahu berpuasa.
Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak daripada Ramadhan melainkan pada bulan Syaaban (Hadis Riwayat al-Bukhari)
2. Merebut kesempatan yang ada di bulan Syaaban.
Anggaplah ia sebagai pecutan terakhir untuk meraih keberkatan dan memohon keampunan dari Allah SWT atas segala dosa yang kita telah lakukan sama ada sedar ataupun tidak.
3. Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT.
Segala amalan harian kita akan diangkat kepada Allah SWT dalam bulan Syaaban. Jadi, adalah lebih baik sekiranya ia diangkat ketika kita sedang berpuasa.
Ini berdasarkan sebuah hadis:
عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban.
Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam.
Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa”. (Hadis Riwayat an-Nasai No: 2317)
Justeru, ambillah kesempatan ini untuk kita mempertingkatkan amal ibadat dan memperbanyakkan puasa sunat nisfu Syaaban seperti yang ditekankan oleh Rasulullah SAW.
Semoga kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan tak lama lagi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Nisfu Syaaban Malam Mustajab Doa, Berdoalah Bersungguh-Sungguh Kepada Allah
Baca juga: Niat Puasa Ganti/ Qada Puasa Ramadhan Bahasa Arab Dan Rumi Mengikut Mufti WP
Baca juga: Ramadan Hampir Tiba, Cuba Tips Ini Untuk Galakkan Anak Puasa!