Tidak lama lagi kita akan berjumpa dengan bulan paling mulia di dalam kalendar Islam, iaitu bulan Ramadan di mana semua pintu taubat dibuka dan pintu-pintu neraka akan ditutup. Tiada bulan yang lebih indah dan berkat dari bulan Ramadan dan inilah peluang untuk anda mula menggalakkan anak untuk puasa.
Dengan peningkatan umur si manja, lama-kelamaan mereka harus juga belajar menunaikan rukun Islam yang ketiga ini. Jadi, eloklah untuk mereka diperkenalkan dan digalakkan untuk bermula, alang-alang bulan Ramadan juga sudah semakin menghampiri.
Tetapi, bagaimana anda boleh mengajar dan menggalak anak yang tidak biasa berpuasa untuk berhenti makan dan minum sehingga senja?
Amalkan Cara-cara Ini Untuk Galakkan Anak Puasa!
Foto: Enorvon.Co
#1. Jangan terlalu memaksa mereka
Pertama sekali, anda perlu ingat bahawa mereka masih kanak-kanak kecil dan toleransi mereka terhadap kelaparan mungkin tidak setinggi kita. Jadi, janganlah anda terlalu memaksa si manja untuk menahan lapar dan dahaga. Mulakan perkenalan dengan perlahan-lahan seperti membenarkan mereka berbuka pada jam 12 tengahari, dan tambahlah masa sedikit demi sedikit [ada setiap hari seterusnya.
#2. Berkongsi kebaikan berpuasa
Sama juga seperti kita, kanak-kanak akan lebih sukar melakukan sesuatu jika mereka tidak mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu perkara tersebut. Bezanya, kita boleh berfikir sendiri, manakala kanak-kanak memerlukan kita untuk menjelaskan untuk mereka. Jadi, ibu dan ayah perlulah bercerita kepada anak tentang kebaikan berpuasa dan terutamanya tentang keindahan bulan Ramadan supaya mereka akan lebih teruja untuk mula berpuasa.
#3. Memasak makanan kegemaran anak
Foto: iStock
Setelah si manja menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, anda boleh menghadiahkan anak anda dengan makanan kegemaran mereka ketika waktu berbuka puasa supaya mereka akan lebih terpukul untuk berpuasa lagi. Mana tahu kalau ibu akan masak makanan kegemaran mereka lagi!
#4. Mengajar anak tidur awal
Ini paling penting! Ajarlah anak anda untuk tidur awal supaya mereka akan lebih senang bangun untuk bersahur apabila dikejutkan. Pada malam sebelum bersahur, anda perlulah menjelaskan kepada mereka mengapa mereka perlu tidur dan bangun awal. “Kalau abang tidak sahur, nanti abang cepat lapar bila tengahari. Nanti susah nak puasa.” Anda juga boleh menokok tambah bahawa jika mereka berbuka awal, maka mereka tidak akan mendapat makanan kegemaran mereka pada petang itu.
#5. Memperkenalkan sistem ganjaran
Foto: iStock
Anak anda masih tidak biasa menahan lapar dan dahaga untuk berjam-jam lamanya dalam satu hari. Jadi, berikan mereka ruang dan peluang untuk menetapkan syarat logikal tentang berapa lama mereka hendak berpuasa dalam sehari dan berapa kali seminggu mereka hendak berpuasa. Jika mereka berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan oleh diri sendiri atau anda, berikanlah mereka ganjaran yang sepatutnya. Ini bukan cara memanjakan anak ya, tetap cara untuk melatih mereka untuk rasa teruja dan hendak berpuasa!
#6. Biar mereka tolong juga
Kanak-kanak lebih suka untuk terlibat dalam pelbagai perkara yang kita lakukan. Ketika menyiapkan juadah berbuka, anda boleh mengajak si manja untuk membantu anda bersama-sama menyiapkan persiapan untuk berbuka walaupun ia perkara semudah ABC, seperti menyusun sudu garpu, atau menggaul adunan untuk lauk-lauk. Anak anda pasti akan lebih teruja untuk berbuka bersama keluarga apabila mereka tahu bahawa mereka telah menyumbang kepada persiapan tersebut.
Walau apa pun janganlah terlalu memaksa anak untuk berpuasa penuh, jika ini kali pertama mereka berikan sedikit kelonggaran seperti berpuasa separuh hari atau selang sehari. Ikut mana yang anda dan anak selesa dan mampu. Ingat, mereka tidaklah wajib untuk berpuasa sehinggalah mereka akil baligh. Jadi anggaplah ini hanya proses melatih mereka untuk menjadi muslim yang terbaik ya. Jangan stres ya ibu ayah!
Kami berharap dengan tips-tips ini, anda dapat mengalakkan anak untuk mula berpuasa walaupun sekadar separuh hari sahaja! Moga-moga puasa dan Ramadan kita tahun ini penuh barakah dan pembaikan pada diri sendiri. Amin!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia.
Baca juga: Cara Menyesuaikan Anak Di Bulan Puasa Nanti
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!