Ouch! Fikirkan saja sudah mengilu, apatah lagi merasai puting payudara luka digigit si comel. Ini antara pengorbanan ibu menyusu yang terpaksa dihadapi bila bayi sudah tumbuh gigi.
Ada yang terpaksa menahan kesakitan hingga puting berdarah. Walaupun pedih, ibu-ibu ini masih bertahan demi memberikan susu badan kepada anak mereka.
Malah ada yang puting payudara luka hingga bernanah tetapi tidak pernah berputus asa untuk menyusukan bayi. Hanya yang merasainya saja tahu peritnya perasaan itu, tetapi kerana kasih kepada anak tetap diteruskan juga penyusuan badan.
Puting payudara luka digigit bayi, ini cara elakkannya
Perbuatan bayi menggigit puting payudara ini kadang kala dilakukan mereka secara tidak sengaja. Terutama bagi bayi yang baru tumbuh gigi.
Ibu-ibu di luar sana pasti ada mengalami masalah puting luka disebabkan bayi gigit puting ketika menyusu.
Bayi yang sedang alami gatal gusi atau gigi baru hendak tumbuh memang sangat suka menggigit puting payudara secara sengaja ataupun tidak sengaja.
Bagaimanapun, ada beberapa cara yang ibu boleh lakukan untuk mengelak daripada puting luka digigit bayi.
#1. Alihkan bayi
Kita digalakkan untuk mengalihkan bayi secara perlahan-lahan dan berkata pada bayi tentang perasaan ibu seperti “sayang ibu, jangan gigit ibu tau, sakit ibu”.
#2. Tekap muka
Tekap muka bayi dengan merapatkan payudara pada mukanya ini akan membuatkan bayi rasa lemas dan susah bernafas yang membuatkan bayi membuka gigitan tadi.
Lakukan setiap kali bayi hendak menggigit. Jadi nanti bayi akan tahu setiap kali dia menggigit, dia akan mengalami masalah susah bernafas.
Selain itu, anda juga boleh cuba picit hidung mereka.
#3. Tahu punca
Untuk mengelakkan gigitan bayi, ibu harus mengenal pasti punca bayi sering menggigit. Mungkin bayi menggigit sebab susu tidak cukup!
Bila sudah tahu punca baru boleh cuba selesaikan masalah ini, antaranya tekapkan payudara dengan tuala suam sebelum menyusu untuk melancarkan pengeluaran.
Ada kalanya bayi ini tertidur, jadi gusi mereka akan terkatup rapat.
#4. Tahu bila masa untuk berhenti
Mesti lebih peka untuk berhentikan penyusuan setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda akan menggigit. Anda mesti lebih peka dan tahu waktu jika bayi anda mahu berhenti menyusu.
#5. Guna jari
Segera masukkan jari kelingking di bahagian tepi mulutnya bagi meleraikan dia dari payudara, jika dia mula memggigit. Jangan sesekali ibu leraikan tanpa masukkan jari sebab boleh mengakibatkan kecederaan pada puting payudara.
Jangan menarik terlalu cepat, ia juga boleh menyebabkan luka pada puting payudara anda.
#6. Gigit alat lain
Cara hilangkan gatal gusi bayi dengan memberi alat untuk menggigit seperti teether atau tuala kecil yang dibekukan dalam peti sejuk beku. Ini adalah salah satu alternatif untuk elak bayi gatal gusi dan dari terus menggigit.
#7. Elak menjerit
Cuba elakkan dari menjerit ketika bayi menggigit. Malah jangan sesekali ibu-ibu memukul atau menampar pipinya. Ini akan membuat bayi takut dan tidak mahu menyusu lagi.
Memang kadang-kadang tu rasa hendak marah, jerit dan ada ibu sampai menangis setiap kali bayi menggigit ketika menyusu. Namun apa sahaja yang kita buat ni akan mengganggu proses penyusuan eksklusif.
Ada kemungkinan bayi fobia untuk menyusu lagi jika anda menjerit atau berlaku kasar pada mereka. Memang tidak dinafikan kadang-kala ia tindakan refleks kerana terkejut. Puting payudara adalah antara kawasan paling sensitif pada tubuh badan wanita, jadi tidak hairan jika tiba-tiba berlaku kesakitan padanya tindakan refleks akan berlaku.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Berapa kerap bayi baru lahir perlu menyusu dan apa cara menyusu yang betul?