Setiap anak pastinya amat menyukai donut. Lebih-lebih lagi jika ibu cuba resepi donut susu ini, kerana ia jarang dijual di kedai-kedai.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Resepi donut susu lembut dan sedap, jadi kesukaan anak-anak di rumah
- Resepi donut susu mudah: bahan-bahan yang diperlukan dan cara penyediaan
Jika berbanding dahulu, donut hanya disaluti gula halus. Namun dengan kehadiran pelbagai makanan viral, kini ia hadir dengan pelbagai variasi topping yang enak dan menyelerakan seperti coklat, biscoff, vanilla atau strawberi.
Resepi donut susu lembut dan sedap, jadi kesukaan anak-anak di rumah
Bagi ibu yang terfikir menu minum petang atau bekal anak sekolah, apa kata anda cuba resepi donut susu yang mudah ini. Pertama kali buat insyaAllah menjadi!
Seorang pengguna Facebook, Azlina Ina Fans telah berkongsikan resepi donut susu bambam yang boleh dibuat di rumah sebagai minum petang santai-santai bersama keluarga. Bunyi macam sukar, tapi sebenarnya mudah sahaja.
"Bismillah dan selamat pagi...donut adalah salah satu kuih jualan pagi dan petang yang sangat mudah didapati. Kebanyakan peniaga menggunakan resepi yg lebih kurang sama untuk kekalkan kelembutan doh.
Cuma kadang-kadang segan pula nak tanya makcik jual sarapan pagi-pagi sebab resepi donut je kot eh, walau hanya donut tidak ramai yang boleh dapatkan tekstur yang gebu sampai berhari-hari.
Harga jualan besar macam ini 1 biji rm0.50 sahaja, jom cuba buat donut susu bambam kita," tulisnya.
Resepi donut susu mudah: bahan-bahan yang diperlukan dan cara penyediaan
Permulaan buat starter dahulu iaitu pelembut doh homemade
- 1 cawan air
- 2sb tepung gandum
- Satukan dan masak atas api perlahan sampai pekat
- Biarkan sejuk dulu

Seterusnya, masukkan bahan-bahan di bawah:
- 1 cawan air suam
- 1 peket mauripan 11g
- 1sb susu pekat
- 2sb gula
- 2sb butter atau majerin
- Satukan semua kacau dan biar berbuih tutup permukaan cawan

Bila sudah berbuih, boleh mula mengadun. Dan seterusnya, bahan-bahan yang diperlukan adalah:
- Tepung gandum 4 cawan
- Susu tepung 1/2 cawan ni pilihan kalau nak sedap letak
- Sedikit garam
- Gaulkan semua
Tambahkan dalam adunan tadi bersama bahan-bahan di bawah sambil menguli:
- 2sb bahan A atau starter tadi
- 2sb yogurt (kalau tak ada, ganti dengan shortening)
- 1 biji telur

Selepas itu boleh tambah 1/4 air sejuk dari peti ais sambil menguli. Kalau keras lagi, tambah sikit air, kalau rasa lembik tambah tepung sikit dan uli sehingga doh tak melekat di jari.

Inilah hasilnya. Ia akan kembang dua kali ganda dan anda harus tutup bekas adunan tersebut. Boleh tumbuk untuk buang angin dan membentukkan aduan donut ini.

Cara untuk membentukkan donut ini adalah tekan supaya leper sikit. Tengah-tengah tu boleh letak penutup botol dan tekan penutup botol untuk mendapat bentuk yang sekata. Lepas itu biarkan donut kembang dahulu.
Masa ini anda boleh panaskan minyak. Bila nak masukkan donut, perlahankan api untuk mengelakkan donut cepat hangus dan menyerap terlalu banyak minyak. Kalau nak ambil donut dari kuali, pakai sudip.

Kalau nak terbalikkan donut, pastikan bila nampak bahagian bawah donut dah kuning sebab tak nak bagi serap minyak yang banyak.
Lepas itu, angkat donut dari kuala dan bila dah suam-suam, boleh mula menyalut menggunakan ising campur susu tepung sikit.

Dah siap, mudah je bukan?

Azlina menulis donut yang baik tidak menyerap minyak dan nampak licin seperti gambar di atas. Apabila diletakkan di dalam pinggan, terus licin dimakan oleh anak-anak. Kalau sampai empat hari tak habis juga, ia bermakna donut anda termasuk dalam kategori 'donut nakal'.

Ini pula donut yang dah siap 'make-up' nipis-nipis. Satu adunan akan dapat menghasilkan 15 biji donut dan kalau dijual dapatlah raih RM8 untuk satu adunan. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Cucur Durian Yang Sedap & Menjadi, Buat Minum Petang Mesti Anak-Anak Suka!
Baca juga: Resepi Cempedak Goreng Rangup & Sedap, Ini Tips Bancuh Tepung Agar Tidak Makan Minyak
Baca juga: Resepi Rotiboy Homemade Yang Sedap & Lembut, Buat Minum Petang Anak Mesti Suka!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!