Menu Raya Wajib Anda Cuba! Ini 5 Resepi Lemang Kukus Yang Sedap & Berlemak

Resepi lemang bakar mungkin agak sukar untuk disediakan kerana memerlukan bahan dan proses yang lama. Apa kata anda cuba lemang kukus ini pula!

Siapa sahaja pasti akan menyukai lemang, lebih-lebih ia dipotong cantik dan sedia terhidang pada hari raya. Namun tidak semua berkebolehan membuatnya kerana resepi lemang semakin diubah-ubah mengikut kesesuaian semasa.

Rasanya yang penuh lemak, masin dan lembut sangat menambat selera anda sekeluarga. Ditambah pula apabila menikmatinya bersama dengan rendang. Sangat sedap!

Resepi lemang yang mudah dan sedap

Kebiasaannya, proses pembakaran lemang buluh akan menyebabkan kesukaran dan memerlukan masa yang lama, terutamanya anda tinggal di bandar. Justeru, kami telah mengumpulkan beberapa resepi lemang dengan pelbagai variasi untuk memudahkan anda mencubanya di rumah!

#1. Resepi lemang dalam cawan kertas

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Beras pulut
  • Santan
  • Air 
  • Garam
  • Daun pisang
  • Cawan pakai buang

Cara penyediaan

  1. Basuh dan toskan beras pulut dan toskan seketika
  2. Kemudian, bancuhkan santan, air dan garam secukup rasa (pastikan campuran sedikit pekat).
  3. Selepas itu, lapikkan daun pisang dalam cawan kertas.
  4. Masukkan beras pulut yang telah dibasuh tadi.
  5. Tuangkan santan ke dalam cawan melebihi sedikit sahaja dari paras pulut.
  6. Anda dilarang mengetuk cawan berisi pulut untuk memampatkannya.
  7. Kemudian, kukus sehingga 2 jam. Dah masak biarkan ia sejuk seketika.
  8. Guntingkan cawan kertas yang membaluti lemang dan potong mengikut ketebalan anda inginkan. Selamat mencuba!

#2. Resepi lemang goreng celup telur

Bahan-bahan

  • 1kg beras pulut (direndam 8 jam)
  • 1 kotak kecil santan
  • 1 cawan gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 biji telur
  • 1 cawan air panas

Cara penyediaan

  1. Satukan santan, gula dan garam dalam satu bekas. Campurkan air panas ke dalamnya dan kacau sehingga sebati.
  2. Toskan beras pulut dan kukus separuh masak. Angkat dan gaulkannya dengan bancuhan santan tadi.
  3. Kukus kembali pulut sehingga betul-betul masak. Angkat dan sejukkan lebih kurang 20 minit.
  4. Masukkan pulut ke dalam loyang dan ratakan hingga padat.
  5. Potong kecil pulut dan celupkannya ke dalam telur
  6. Goreng dalam minyak panas sehingga garing dan kekuningan.
  7. Angkat dan sedia dinikmati bersama gulai, sambal atau dimakan begitu sahaja.

#3. Resepi lemang kukus daun pisang

Bahan-bahan

  • 1kg beras pulut (dibasuh dan ditoskan)
  • 1/2kg santan pekat
  • Daun pandan
  • Sedikit garam
  • Daun pisang (dilayur)
  • Tali rafia

Cara penyediaan

  1. Panaskan periuk. Masukkan santan pekat dengan sedikit air. Biarkannya sehingga mendidih.
  2. Masukkan beras pulut, daun pandan dan garam.
  3. Tambah air sedikit sahaja, hanya tenggelam paras beras pulut dan gaul rata.
  4. Tanak pulut sehingga separuh masak.
  5. Sediakan daun pisang yang telah dikoyakkan.
  6. Letakkan lebih kurang satu senduk pulut ke atasnya dan gulung dengan ketat.
  7. Ikat mati hujung bungkusan dengan tali rafia.
  8. Bawa hujung tali panjang, simpul di tengah dan ikat mati hujung satu lagi.
  9. Kukus pulut lebih kurang 20 minit. Siap!

#4. Lemang tepung tradisi negeri Perak

Bahan-bahan

  • Tepung beras
  • Tepung pulut
  • Tepung gandum
  • Gula
  • Garam
  • Kapur
  • Air pandan
  • Santan

Cara penyediaan

  1. Satukan kesemua tepung dan masukkan air pandan sediki demi sedikit.
  2. Tambahkan gula dan garam.
  3. Gaul sebati menggunakan tangan atau senduk.
  4. Masukkan santan ke dalam adunan. Gaul lagi. Sekiranya warna masih pucat, tambah sedikit pewarna hijau.
  5. Seterusnya tuangkan adunan ke dalam buluh dan bakar sehingga masak

#5. Lemang periuk kera

Bahan-bahan

  • Periuk kera
  • Beras pulut
  • Santan sederhana pekat
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula (ikut kemanisan yang anda mahukan)

Cara penyediaan:

  1. Gunting tebing di bahagian mulut periuk kera.
  2. Cuci periuk kera dengan air di bahagian luar dan dalam sehingga bersih. Anda boleh menggunakan berus gigi untuk mudah mencucinya.
  3. Basuh beras pulut dan toskan mengikut jumlah periuk kera yang ada.
  4. Santan dicampur dengan garam dan gula sebagai penambah rasa. Kacau sehingga ia larut.
  5. Masukkan beras pulut ke dalam periuk kera hingga memenuhi 2/3.
  6. Tuangkan santan ke dalamnya
  7. Kukus selamat 30-40 minit hingga masak
  8. Angkat dan sejukkan seketika. Sedia untuk dinikmati bersama rendang atau serunding!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Resepi Sea Salt Cookies Viral Guna Sukatan Cawan, Confirm Menjadi! Boleh Jadi Kuih Raya!