Si manja yang sedang membesar memang lebih cenderung untuk menghidapi ruam dan/atau penyakit kulit. Ruam ekzema bayi antara salah satu mimpi ngeri ibu bapa kerana ini bermakna bayi anda memerlukan penjagaan kulit yang lebih teliti.
Ini kerana kulit bayi mempunyai sel-sel yang lebih kecil, dan fiber kolagen mereka adalah lebih nipis. Epidermis kulit bayi juga 20% lebih nipis dari orang dewasa. Ini menyebabkan kulit bayi cenderung untuk kering dengan lebih mudah, seraya memberi bayi beberapa isu kesihatan.
Oleh itu, anda mungkin berada di artikel ini kerana anda telah perasan bahawa si manja anda mempunyai ruam kemerah-merahan yang menyebabkan kegatalan pada bayi anda. Sebelum itu, apakah tanda-tanda gejala ekzema?
Bayi Anda Mempunyai Ruam Merah dan Gatal? Ia Mungkin Petanda Ruam Ekzema Bayi!
Jika anak anda menghidapi gejala ekzema, ia mungkin berasa gatal walaupun tiada ruam yang kelihatan.
Tetapi, jika anak anda mempunyai ruam yang gatal, ia mungkin kelihatan merah-merah ketika meradang. Ia juga boleh menjadi berair atau bernanah jika terdedah kepada jangkitan kuman.
Manakala, jika kulit si manja terlampau kering, ekzema tersebut boleh menebal dan kulit akan nampak seakan-akan berkerak.
Selain itu, ini antara simptom-simptom yang mungkin boleh menjadi tanda ekzema pada si manja anda:
- Kulit gelap di bahagian kelopak mata dan di sekeliling mata
- Perubahan pada kulit berdekatan mulut, telinga dan mata
- Kulit kepala yang kekuningan, berminyak dan mensaluti seluruh bahagian atas kepala
- Ketinggian risiko untuk menghidapi asma, demam alergi dan alergi kepada makanan
Kami juga anda berkongsi tips harian yang anda boleh lakukan jika anak anda disyaki menghidapi gejala ekzema.
Baca juga: 7 Tips Harian Yang Patut Anda Buat Jika Anak Hidap Ekzema!
Rawatan Ekzema
Malangnya, gejala ekzema ini masih tidak mempunyai sebarang rawatan lagi. Tetapi, ibu bapa boleh mengamalkan beberapa tips dan petua untuk mengurangkan ekzema pada si manja sehingga mereka menginjak dewasa.
Antara perkara yang ibu bapa boleh amalkan untuk mengurangkan ekzema pada si manja ialah:
1# Menggunakan sabun yang bersesuaian
Disebabkan kulit bayi yang sensitif, sabun yang terlalu kasar (mengandungi banyak bahan kimia) boleh meningkatkan risiko sakit kulit si manja. Oleh sebab itu, anda sebagai ibu bapa harus memastikan anda memilih sabun yang tidak memberi ketidakselesaan kepada bayi.
2# Sentiasa sediakan pelembap kulit/losyen
Ekzema akan lebih mudah dicetus apabila kulit si manja kering. Oleh itu, sentiasalah sediakan pelembap kulit atau losyen organik untuk memastikan kulit bayi anda sentiasa lembap dan kurang risiko untuk ketidakselesaan.
3# Kurangkan mandi
Kurangkan mandi? Bukan ke kulit bayi kena lembap? Ya, lembap dan basah adalah dua perkara yang berbeza! Mandi kerap-kerap akan lebih mengeringkan kulit bayi, terutamanya bila bayi sedang menggunakan sabun yang tidak sesuai untuk kulit mereka. Durasi mandi si manja juga seeloknya kurang dari 10 minit untuk mengekalkan kelembapan.
4# Menjauhkan haiwan peliharaan dari si manja
Walaupun haiwan peliharaan anda hanya berada di dalam rumah, ia tetap membawa risiko untuk mencetuskan ruam dan radang ekzema pada si manja. Habuk yang melekat pada bulu haiwan peliharaan, termasuk sel kulit mati boleh menjadi asbab penyakit kulit bayi anda semakin teruk. Nah, tapi janganlah pula anda buang haiwan tersebut! Cuba jauhkan sahaja, kalau boleh.
5# Menstabilkan suhu persekitaran
Si manja yang menghidap ekzema seeloknya berada di persekitaran yang tidak terlalu panas atau sejuk, dan digalakkan memakai pakaian yang diperbuat dari bahan kapas atau fiber pakaian asli sahaja (kecuali bulu). Ini untuk mengelakkan apa-apa reaksi dari kulit bayi.
Antara pencetus keradangan ekzema yang lain ialah:
- Asap rokok (Secara umumnya, janganlah merokok berdekatan kanak-kanak!)
- Produk-produk yang mempunyai wangian seperti sabun basuh baju, minyak wangi, penyegar udara (terutamanya yang mengandungi alkohol)
- Peluh
- Stres
- Air liur bayi itu sendiri
Rawatan lain bagi ekzema:
- Elakkan penggunaan produk yang mempunyai pewangi
- Memakaikan mittens pada anak untuk mengelak si manja menggaru ruang kulit yang gatal
- Menggunakan bahan penyejuk untuk mengurangkan radang, terutamanya di bahagian yang mempunyai ruam yang teruk
- Membuang punca-punca alergi secepat mungkin (kecuali haiwan peliharaan anda!)
Adakah ruam ekzema bayi akan kekal?
Di Malaysia, ia diramalkan bahawa lebih 20% populasi Malaysia akan menghidap gejala ekzema ini pada tahun 2022. Statistik ini juga mengandungi populasi dewasa.
Ya, ekzema dari usia kecil boleh membawa sehingga ke umur dewasa.
Seperti yang telah dikongsikan, gejala ekzema ini tidak dapat dihapuskan terus oleh ubat mahupun petua-petua tradisional. Setiap individu yang menghidap ekzema perlulah mengamalkan tips-tips untuk mengurangkan dan mengelakkan gejala ekzema dari menjadi lebih teruk.
Tetapi, janganlah risau! Kebanyakan bayi yang menghidap ekzema; gejala tersebut akan berkurang dan hilang ketika bayi mencecah umur 4-5 tahun.
Tetapi, jika masalah ini masih berterusan, eloklah segera bawa si manja berjumpa doktor untuk mendapat nasihat yang lebih pakar.
Selamat mencuba dan semoga si manja terus sihat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Community Practitioner, Hafiz Sulaiman, Everyday Health, The Star
Baca juga: Wet Wrap Adalah Salah Satu Cara Merawat Ekzema, Ini Caranya Menurut Pakar