Kasihan bila melihat anak kecil seperti bayi diserang ekzema. Ekzema bayi ini menyebabkan kulit menjadi kemerahan malah ada juga yang hingga berdarah. Jadi apakah rawatan ekzema yang sesuai?
Yang melihat pun sudah rasa pedih, apatah lagi bayi yang menghidap ekzema ini. Apakah caranya untuk rawatan ekzema bayi ini?
Anda sebagai ibu bapa perlulah ikhtiar supaya bayi tidak terus tersiksa dengan ekzema yang menyerang mereka. Pasti sangat tidak selesa lebih-lebih untuk anak-anak yang masih belum pandai bercakap.
Baca juga: “Ekzema boleh jangkit ke? Kawan anak ada ekzema, adakah anak saya selamat?”
Rawatan ekzema bayi perlu kena caranya
Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Dr Kartini Farah Rahim, ekzema adalah simptom keradangan dan kegatalan kulit.
Ekzema yang paling biasa dihidapi oleh anak kecil atau orang dewasa dikategorikan dermatitis atopik (atopic dermatitis), atau ekzema atopik (atopic eczema).
Katanya, biasanya bagi bayi ia bermula dengan mendapat bintik-bintik merah di pipi dan kadang kala berair. Bayi juga akan kelihatan tidak selesa dan menggeselkan mukanya. Ada juga bintik-bintik merah pada bahagian kulit yang lain.
Ciri-ciri ekzema atopik ini adalah gatal dan bintik merah kecil. Jika digaru, ruam boleh menjadi kasar, berair dan tebal. Kebiasaannya ruam terdapat pada muka, kulit kepala, leher dan kawasan pelipat siku dan lutut bayi.
Risiko lebih tinggi jika ada sejarah alahan pada bayi atau keluarganya sama ada asma, resdung dan ekzema atopik. Antara masalah yang dihadapi oleh bayi ekzema atopik kulit pedih apabila luka digaru dan susah tidur lena kerana gatal.
Bayi juga akan kerap menangis dan murung kerana tidak selesa.
Kenapa ekzema atopik terjadi?
- Masalah gen yang diwarisi contohnya mutase gen filaggrin. Ini menyebabkan kurangnya daya tahan kulit untuk menghalang bahan luaran masuk ke dalam kulit dan kelembapan mudah meruap keluar menyebabkan kulit kering.
- Sistem imun bayi yang tidak matang.
- Masalah persekitaran
Bagaimana boleh mengelak ekzema berlaku semula?
Cari pencetusnya. Setiap bayi mempunyai pencetusnya yang unik yang boleh berbeza dengan bayi yang lain. Contoh pencetus adalah jangkitan bakteria, hama rumah, debunga, haiwan peliharaan, pemakanan, perubahan cuaca, stres dan asap rokok.
Sebagai contoh:
- Faktor hama habuk dalam rumah adalah salah satu sebab yang paling kerap mencetuskan ekzema. Gunakan penyedut habuk yang mempunyai penapis HEPA, menukar cadar katil dengan kerap dan tidak menggunakan karpet dan alat mainan berbulu.
- Hindarkan bayi dari terlalu panas dan berpeluh atau terlalu sejuk dan kering udaranya. Ikhtiarkan cara untuk mengurangkan stress bayi.
- Dapatkan nasihat doktor dan pakar nutrisi jika ingin berpantang makan.
- Makanan yang kebiasaannya menyebabkan tercetusnya ekzema adalah susu lembu, telur, soya, gandum, kekacang dan makanan laut.
- Berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika bayi memerlukan ujian alahan.
Tip mengurangkan gatal ekzema bayi
- Pakai pelembap yang sesuai dengan kerap dan guna pembersih yang bebas sabun.
- Sibukkan bayi dengan aktiviti yang boleh mengalihkan perhatian
- Pakai pembalut atau sarung fabrik yang lembut dan elastik untuk melindungi kawasan kulit ekzema daripada tergaru dan mengekalkan kelembapan kulit, contohnya Tubifast
- Potong kuku jari pendek supaya tidak melukakan kulit jika tergaru
- Sapu ubat yang mengandungi mentol untuk mengurangkan kegatalan
- Memakai pakaian yang diperbuat daraipada kain kapas yang lembut, ringan dan menyerap peluh
- Lapkan peluh terutama di kawasan pelipat kerana peluh boleh menyebabkan kegatalan
Apakah rawatan ekzema yang sesuai untuk bayi?
Ada pelbagai cara untuk rawatan ekzema dengan baik, walaubagaimanapun ianya tiada ubat penyembuh. Masalah ekzema ini boleh berulang-ulang apabila ada pencetusnya. Berita baiknya adalah lebih 60% kanak-kanak akan pulih dengan sendiri ekzemanya apabila dia meningkat remaja.
#1. Penyapuan pelembap
Penyapuan pelembap adalah rawatan yang paling penting dalam mengawal masalah ekzema
#2. Krim atau minyak steroid
Krim atau minyak steroid dan calcineurin inhibitor adalah cara rawatan penting untuk mengawal keradangan dengan cepat dan berkesan
#3. Pembalut fabrik elastik/teknik pembalut basah (wet wrap)
Lumur pelembap, sapu ointment, wet wrap dan ia boleh bertahan 4 jam. Kebaikan Wet Wrap adalah kerana ia menyejukkan kulit, meninggikan kelembapan kulit, mengurangkan gatal dan menghalang dari tergaru.
Penggunaan wet wrap ini adalah anda boleh gunakan pembalut yang ada di pasaran atau mana-mana stokin lembut dan selesa di pakai.
Langkahnya adalah sapu pelembap dahulu, sapu steroid lembut (jika perlu) dan tunggu beberapa minit, balut lapisan basah dan balut lapisan kering.
Jika ekzema menjadi teruk seperti berair, bergelembung air, bengkak, bernanah dan berbau, sila bawa anak ke klinik pakar kulit untuk diperiksa kemungkinan memerlukan ubat antibiotik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Kartini Farah Rahim
Baca juga: 7 Tips Harian Yang Patut Anda Buat Jika Anak Hidap Ekzema!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!