Bagi ibu menyusu, perkara yang menjadi igauan utama adalah saluran susu tersumbat. Perit rasanya apabila buah dada sakit terjadi, hanya ibu yang menyusu badan sahaja tahu!
Untuk pengetahuan anda, susu ibu dihasilkan dan disimpan di dalam kantung kecil (alveoli) dan disalurkan ke puting melalui tiub kecil (milk ducts). Apabila bayi mula menyusu, hormon oxytocin dibebaskan dan mencetuskan reflex pembebasan yang membuatkan sel-sel berdekatan alveoli mengecut seterusnya memaksa susu ibu memasuki saluran susu dan menuju ke arah puting.
Susu pula akan dibebaskan melalui saluran lubang di puting. Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa saluran susu tersumbat ini boleh terjadi dan bagaimana untuk elak saluran susu tersumbat terjadi lagi di masa hadapan? Baca penerangan kami di bawah.
Isi Kandungan
Punca Saluran Susu Tersumbat
Lazimnya saluran susu tersumbat kerana susu tidak dapat bergerak/mengalir keluar disebabkan oleh penyumbatan atau halangan yang berlaku dalam tiub kecil. Masalah ini selalunya disebabkan oleh tisu yang meradang dan bengkak yang menutup tiub atau kepekatan susu didalam tiub yang tidak jelas.
Walau apa pun puncanya, payudara yang meradang atau penyumbatan di dalam tiub susu boleh menyebabkan kepekatan atau ketulan yang menyebabkan tekanan dan pengecilan tiub lain yang berada di sekitarnya.
Apabila susu tidak dapat mengalir di satu kawasan payudara ia menyebabkan ibu merasa tidak selesa, payudara membengkak/membesar dan turut menjejaskan kawasan sekitar. Jika ia tidak ditangani, ia mungkin akan mengundang masalah yang lebih serius seperti mastitis atau jangkitan payudara.
Oleh sebab itu, apabila buah dada sakit jangan pandang ringan lagi-lagi jika anda memang menyusu badan tanpa putus.
Faktor atau Risiko Jika Saluran Susu Tersumbat
1. Melangkau atau jarang menyusukan bayi
Walaupun melangkau sesi penyusuan sekali sekala tidak akan membawa impak yang negatif terhadap pengeluaran susu, tetapi sekiranya anda kerap melangkau sesi penyusuan dan tidak mengosongkan payudara untuk jangka masa yang lama, dikhuatiri akan menyebabkan risiko untuk saluran payudara tersumbat terjadi.
Apabila saluran susu tersumbat terjadi, ia akan menyebabkan proses penyusuan menjadi agak menyakitkan dan seterusnya akan menyebabkan bekalan susu anda berkurangan. Oleh itu, jangan sesekali berhenti daripada menyusukan bayi anda tanpa perancangan lebih awal.
Pastikan susu anda mengalir sama ada dengan menyusukan bayi atau pengepam susu untuk mengelakkan daripada berlakunya bengkak susu berketul. Mengosongkan payudara mengikut waktu penyusuan merupakan kunci utama untuk mengelakkan berlakunya masalah ini dan mengurangkan risiko anda untuk mendapat mastitis.
2. Kesalahan dalam lekapan
Sama ada bayi anda mempunyai masalah melekap dengan betul semasa proses penyusuan atau sedutan pam susu yang lemah, ia akan menyebabkan payudara ibu tidak dapat dikosongkan sepenuhnya. Salah lekapan juga akan menyebabkan puting melecet atau trauma pada payudara jika tidak diselesaikan dengan segera.
Jika puting anda melecet, sakit semasa menyusukan bayi atau jika anda perasan puting anda seakan rata ia mungkin petanda bayi anda tidak melekap dengan betul semasa proses penyusuan.
Manakala jika anda mendengar bunyi yang aneh semasa mengepam susu atau jumlah susu yang dipam berkurangan, mungkin sudah tiba masanya anda menukar pam susu anda atau menganti bahagian pam susu yang rosak.
3. Penggunaan pelindung puting (nipple shield) untuk jangka panjang
Pengunaan pelindung puting adalah baik untuk sesetengah keadaan seperti untuk mengatasi masalah puting tenggelam. Walau bagaimanapun, ia adalah usaha akhir dan tidak disarankan digunakan untuk jangka masa panjang.
Pelindung puting diletakkan di antara puting ibu dengan mulut bayi. Kesan daripada pengunaan pelindung puting ini ia akan menyebabkan keupayaan bayi untuk mengosongkan payudara dengan baik terjejas seterusnya menyebabkan berlakunya saluran susu tersumbat.
4. Tekanan pada saluran susu
Ia boleh terjadi sekiranya anda tertidur meniarap, memakai pakaian dalam atau baju yang terlalu ketat, atau memakai aksesori seperti beg silang. Semua perkara ini menyebabkan berlakunya tekanan pada saluran susu anda dan menyekat pengaliran susu seterusnya meningkatkan risiko berlakunya saluran susu tersumbat.
Ibu juga harus elakkan memakai pakaian dalam atau baju yang terlalu ketat. Laburkan sedikit wang untuk membeli pakaian dalam yang selesa yang mana ia akan memberikan sokongan yang baik pada payudara disamping mengelakkan payudara anda daripada tertekan.
5. Elak memberhentikan penyusuan secara mengejut
Memberhentikan penyusuan secara mengejut akan menyebabkan payudara membengkak dan meningkatkan risiko saluran susu tersumbat. Ini kerana badan anda tidak dapat peluang untuk mengurangkan penghasilan susu secara berperingkat.
Perah susu secukupnya dari payudara anda akan mengurangkan tekanan disamping membuatkan anda barasa selesa semula. Adalah penting untuk anda tidak melakukannya secara berlebihan, jadi tubuh anda fikir ia hanya perlu menghasilkan susu pada kadar yang sama atau berkurangan.
Berikan tubuh anda masa yang secukupnya untuk perlahan-lahan menghentikan proses penyusuan ini. Kurangkan sesi mengepam atau penyusuan secara beransur-ansur. Tubuh badan anda secara automatik akan tahu ia tidak perlu menghasilkan susu lagi dan mula mengurangkan pengeluaran susu.
10 Tips Yang Boleh Merawat Saluran Susu Ibu Tersumbat & Elak Terjadi Sekali Lagi Di Masa Hadapan
1. Tuam panas
Guna tuam panas pada kawasan yang sakit atau bengkak selama 15 minit. Terdapat tip untuk melakukannya dengan cepat adalah dengan memanaskan kain lembap dalam microwave sebelum anda menggunakannya. Ataupun ibu-ibu juga boleh beli “hand warmer packs” yang selalu digunakan untuk memanaskan tangan ketika melancong semasa musim sejuk.
2. Urut
Urut bahagian yang bengkak ketika anak sedang menyusu. Mudah-mudahan bengkak itu akan reda dan melancarkan kembali proses anak menyusu. Urutan payudara dengan minyak urut ini harus dilakukan dengan kerap bagi membantu mengurangkan bengkak susu.
3. Mandi air panas
Apabila mandi, naikkan suhu air sampai ke tahap yang ibu dapat tahan. Halakan air ke kawasan di mana saluran susu tersumbat itu. Ia lebih berkesan jika dilakukan sambil mengurut bahagian yang bengkak. Kemudian, cepat-cepat pam atau menyusu dengan segera.
4. Perah pakai tangan/marmet
Anda juga boleh perah susu dengan menggunakan tangan apabila selesai menggunakan air panas untuk melancarkan saluran susu yang tersumbat dalam bilik mandi tadi.
5. Periksa jika ada lepuh susu/bendalir yang sekat saluran
Bendalir yang menyebabkan saluran susu ibu tersumbat adalah susu yang telah beku atau jadi keras seperti gam kering. Cuba tengok kalau puting anda ada titik putih kecil. Ia mungkin nampak macam jerawat yang sudah masak. Ibu-ibu boleh cuba gesel dan pecahkan lepuh susu itu dengan menggunakan kain bersih semasa mandi.
6. Tukar bra anda
Payudara anda telah mengalami banyak perubahan semasa hamil dan apabila menyusu. Apabila anda memakai bra yang terlalu ketat, berdawai, atau dengan cara yang salah, ini boleh menyebabkan saluran susu ibu tersumbat.
7. Semak cara anak melekap pada puting payudara
Semak cara anak (atau pam payudara) melekap pada puting payudara anda. Adakah latching itu baik? Ada ibu-ibu beri petua untuk menyusukan anak dari atas supaya graviti boleh melancarkan susu.
Tapi jika ini akan menghalang anak dari melekap dengan baik pada payudara ibu, maka usaha ini sia-sia sahaja. Yang paling penting, anak mesti melekap dengan baik pada payudara ibu.
8. Menyusu dengan lebih kerap
Jika ibu kerap menyusu, peluang anak untuk melancarkan susu adalah lebih tinggi. Jadi ajak anak menyusu sekerap mungkin. Anak yang menyusu lebih berkesan dari semua pam di pasaran.
9. Vitamin sampingan
Jika ibu selalu mengalami lepuh susu dan saluran susu ibu sering tersumbat, ada artikel menyarankan ibu mengambil vitamin sampingan bernama Lecithin yang boleh dibeli di farmasi. Sebelum mengambilnya, tanya pendapat doktor anda dulu.
Lecithin boleh membantu susu ibu supaya ia tidak membeku atau mengeras seperti gam kering dan menyekat saluran susu. Doktor dan pakar laktasi bersetuju Lecithin selamat dimakan oleh ibu menyusu dan ibu-ibu boleh mula dengan 3-4 kapsul sehari (3,600-4,800 mg). Ibu-ibu boleh kurangkan dosnya apabila kekerapan saluran susu tersumbat berkurang.
10. Rileks
Ibu-ibu jangan terlalu stress, kerana ini juga boleh menyumbang kepada saluran susu ibu tersumbat. Cuba cari jalan untuk rileks, minta me time dari suami, biarpun 5 minit dalam tandas pun sudah cukup bagus. Tenangkan diri sebelum menyusukan anak, semoga keadaan ibu akan bertambah baik.
Urutan Saluran Susu Tersumbat
Terdapat beberapa cara urutan untuk mengatasi masalah saluran susu tersumbat atau bengkak susu berketul. Mencari teknik urutan yang bagus dengan mengunakan tangan atau menyusukan bayi secara terus dapat mengelakkan penyumbatan tiub susu ini.
Penting mengurut dengan lembut agar payudara tidak lebam atau mencederakan tisu payudara sekiranya urutan yang keras dan kuat dilakukan. Berikut adalah contoh urutan yang boleh dilakukan:
1. Urutan lembut
Disarankan juga mulakan dengan mengurut di kawasan puting payudara terlebih dahulu dan secara beransur-ansur mengurut kearah saluran yang tersumbat dan akhirnya urut dihadapan kawasan yang berketul (kawasan di mana bengkak terjadi).
2. Terapi saluran limfa payudara
Saluran limfa adalah sistem pembuangan sisa untuk badan. Urut secara pelahan saluran limfa payudara ini dikatakan mampu mengagihkan semula cecair yang berlebihan yang tidak berkaitan dengan susu, bergerak kearah sistem saliran limfa melalui lubang lengan.
Ia dapat membantu melegakan pembengkak payudara atau saluran yang tersumbat dan akhirnya membolehkan susu mengalir dengan lancar. Urutan ini juga dilakukan secara lembut dengan gerakan membulat dan ringan keatas payudara, ia seakan-akan gerakan yang digunakan untuk mengusap kucing.
3. Gunakan sikat bergigi lebar/jarang
Mengunakan sikat yang bergigi lebar/jarang untuk mengurut atau mengusap pada kawasan payudara bengkak kadang kala membantu para ibu untuk mengatasi masalah ini. Ia membnatu meningkatkan peredaran dan mengurangkan kesesakkan aliran susu di saluran susu yang tersumbat.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Kemerahan dan rasa lebam yang yang terdapat pada payudara anda mengkin mengambil masa seminggu atau lebih untuk pulih selepas anda melakukan rawatan membersihkan saluran yang tersumbat atau rawatan untuk mastitis.
Tetapi sekiranya anda merasakan penyumbatan atau jangkitan pada payudara tidak pulih sepenuhnya, buat temujanji untuk berjumpa dengan doktor. Dalam sesetengah kes, anda mungkin memerlukan antibiotik atau bantuan tambahan, seperti pertolongan pengaliran abses.
Sekiranya simptom masih berlanjutan, doktor mungkin menyarankan anda untuk melakukan mammogram, ultrasound atau biopsy untuk melihat sekiranya anda menghidapi keradangan kanser payudara.
Ia adalah sejenis bentuk kanser yang agak jarang berlaku dan kadang kala gejala dan simptomnya agak serupa dengan mastitis seperti bengkak dan kemerahan.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Risaunya Bayi Enggan Menyusu, Ini Sebab & Cara Mengatasi Perubahan Rasa Susu Ibu
Baca juga: Cara Penyimpanan Susu Ibu Dengan Betul Agar Kekal Lama & Bersih Untuk Bayi
Baca juga: Tips Ibu Menyusu Travel Bersama Bayi Atau Tanpa Bayi Agar Perjalanan Anda Lancar