Dalam kita bersama-sama gembira dan teruja sambut hari raya Aidilfitri, selalulah ingatkan dan muhasabah diri agar sentiasa menjaga adab dan bahasa.
Maklumlah, apabila sudah berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara, ada ketikanya kita tidak sedar melakukan perbuatan mengguris dan menyakitkan hati orang lain.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- 15 pantang larang kena elak waktu sambut hari raya Aidilfitri
15 pantang larang kena elak waktu sambut hari raya Aidilfitri
Seharusnya hari kemenangan untuk umat Islam ini dijadikan sebagai medan untuk mengeratkan silaturrahim dan bukannya bermasam muka atau mewujudkan perselisihan. Jadi jangan kita sia-siakan amalan bermaaf-maafan di hari raya ini.
Menerusi artikel di laman IIUMC, terdapat 15 pantang larang yang perlu kita elakkan sewaktu menyambut Aidilfitri.
1- Pakai baju tidak sopan
Kita digalakkan memakai pakaian yang terbaik namun, pastikan juga ia sopan dan tidak menjolok mata. Sebagai orang Malaysia, kita juga kaya dengan adab ketimuran jadi, pilihlah pakaian sopan dan sesuai.
2- Tidak bertanya soalan sensitif
Elakkan bertanya perihal perkahwinan, kerjaya, gaji, anak dan jodoh. Ia sangat sensitif bagi kebanyakan orang dan carilah perkara lain untuk bersembang. Banyak lagi topik lain yang menarik.
3- Jangan terlalu mementingkan diri
Goyang kaki duduk saja tak buat kerja, ini juga perlu elakkan. Misalnya nampak adik beradik bertungkus lumus di dapur menyediakan juadah untuk tetamu, jadi berilah kerjasama.
4- Komen makanan tuan rumah
Makan tuan rumah kurang rasa, gula atau garam, diamkan mulut anda daripada memberi komen secara terus. Jaga hati tuan rumah, bayangkan dia bersusah payah menyediakan juadah untuk tetamu tetapi anda sesuka hati memberi komen tidak sepatutnya.
5- Datang mengejut, tiba-tiba muncul depan pintu
Maklumkan tuan rumah jika mahu menziarahi mereka. Lebih baik beritahu awal sehari bagi memudahkan tuan rumah membuat persiapan.
Jangan main ‘terjah’, dibuatnya tuan rumah ketika itu sedang berehat kerana kepenatan, kasihan mereka.
6- Mungkir janji
Kalau sudah berjanji dengan tuan rumah mahu menziarahi mereka, pastikan datang pada hari tersebut. Bersusah payah tuan rumah korban masa dan tenaga menyediakan makanan tetapi seorang pun tidak datang sedangkan sudah berjanji. Sakitnya hati!
7- Lalai lupa perkara wajib
Dalam keterujaan dan gembira menyambut hari raya, kena ingat solat lima waktu juga jangan dilupakan kerana ia wajib ditunaikan.
8- Aurat dan ipar
Bergurau senda dengan ipar berlainan jantina, jangan sampai bersentuh sana sini. Belajar tentang hukum aurat dan faham batas antara lelaki dan perempuan.
9- Gurau kasar
Bergurau kasar ada batasnya dan jangan melampau-lampau atau berlebihan, lebih-lebih lagi berkaitan fizikal tubuh badan atau keturunan.
10- Bermegah-megah
Tayang harta bermegah-megah di hadapan adik beradik lain. Balik kampung kerana mahu mengeratkan silaturrahim dan bukannya mahu berlumba harta dan kekayaan, siapa paling kaya dan berharta.
11- Sembang hal politik
Elakkan bersembang hal politik kerana jika berlainan dan cenderung kepada parti tertentu, daripada bersembang bertukar kepada bermasam muka.
12- Minta password wifi tuan rumah
Perbuatan ini juga perlu dielakkan. Datang rumah orang nak berziarah atau nak main internet?
13- Mengumpat
Bukan setakat hari raya, selama-lamanya perbuatan mengumpat perlu dijauhkan.
14- Membazir
Elakkan membazir di hari raya, ambil makanan banyak penuh sepinggan. Kemudian tidak dihabiskan kerana terlampau kenyang.
15- Buka sampul duit depan tuan rumah
Didik anak menghargai pemberian hadiah duit raya dengan ucapan terima kasih. Ajar anak untuk tidak membuka sampul di hadapan tuan rumah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ini Kongsi Petua Demam Campak Bayi & Pantang Larang Ikut Cara Orang Dulu-Dulu
Baca juga: Doktor Kongsi Pantang Larang Melawat Bayi Baru Lahir, Boleh Jadi Punca Jangkitan Penyakit!
Baca juga: 6 Adab & Pantang Larang Suami Ketika Isteri Hamil, Anda Mesti Faham Emosi Mereka!