Tempoh kehamilan yang memakan masa 9 bulan memungkinkan ramai wanita Muslim yang mengandung juga ingin menjalani ibadah bulan Ramadhan biarpun berbadan dua. Jadi, pasti anda tertanya-tanya adakah boleh puasa saat hamil trimester 1?
Mengikut mazhab Imam Syafie, sekiranya dikhuatiri dengan berpuasa itu akan memudaratkan ibu mengandung atau bayi atau kedua-duanya, ibu tersebut diwajibkan berbuka. Puasa itu boleh diganti di kemudian hari.
Isi Kandungan
Puasa saat hamil trimester 1
Walau telah diberi kelonggaran oleh agama, 70% daripada ibu memilih untuk puasa saat hamil trimester 1 atau 3 kerana inginkan ganjaran pahala Ramadan.
Namun ibu hamil lapar apakah janin juga lapar? Walaupun seseorang ibu hamil itu berpuasa, bayi di dalam kandungannya masih boleh mendapatkan zat makanan untuk keperluannya dengan menyerap zat yang disimpan di dalam tubuh si ibu melalui tali pusat walaupun si ibu itu berpuasa.
Tanda bayi lapar
- Tanda bayi lapar dalam kandungan yang pertama adalah tendangan atau pergerakannya semakin berkurang. Jika pergerakan terasa lemah dan tidak aktif seperti biasa, ibu hendaklah berhati-hati kerana ia boleh menjadi petanda janin stres dan memerlukan lebih banyak nutrisi.
- Degupan jantung bayi lemah. Ibu-ibu boleh mengetahui dengan alat khas untuk mengukur kadar denyutan jantung bayi yang dijual bebas di pasaran.
- Perut kejang. Semasa mengandung, kekejangan sebenarnya adalah perkara biasa. Namun, jika anda merasakan kekejangan di bahagian perut, apatah lagi sering merasai, ibu hendaklah berwaspada
Nasihat doktor untuk ibu yang puasa saat hamil trimester 1
Apabila bakal ibu berjumpa doktor di bulan Ramadan ini, mereka sering bertanya ibu mengandung boleh puasa tak?
Untuk pengetahuan anda, wanita hamil yang berpuasa mungkin mengalami kesan sampingan seperti hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang lebih rendah daripada normal), ketosis dan dehidrasi.
Risiko ini dikatakan meningkat jika berpuasa di awal kehamilan (trimester pertama) kerana biasanya pada fasa ini banyak berlaku komplikasi kehamilan yang kurang menyenangkan. Oleh itu, doktor-doktor tidak menggalakkan ibu-ibu yang berada pada fasa pertama kehamilan untuk puasa ketika hamil.
Walau bagaimanapun, tiada satu nasihat yang seragam atau ‘one size fits all’ yang boleh digunakan oleh semua wanita hamil yang ingin berpuasa.
Oleh itu, walalupun si ibu merasakan badan mereka ‘ok’, ibu-ibu hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan berjumpa doktor agar doktor dapat memeriksa keadaan sebenar anda dan keupayaan anda untuk berpuasa.
Namun, dalam keadaan-keadaan tertentu, doktor akan melarang anda berpuasa sekiranya anda mengalami:
- Kencing manis
- Penyakit hati yang tidak berfungsi
- Penyakit bronchial asthma yang teruk
- Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
- Kehamilan kembar
- Risiko kelahiran pramatang
- Masalah-masalah lain berkaitan kehamilan yang serius
Tanda bahaya pada ibu mengandung puasa
Tidak dinafikan ada ibu-ibu hamil yang berjaya berpuasa penuh di bulan Ramadhan. Bahagia rasanya dapat menjalani ibadah puasa tanpa ‘gangguan’ daripada ‘kawan baik’ kita yang selalu datang setiap bulan itu.
Namun, ibu mengandung puasa harus diperhatikan tanda-tanda seperti di bawah ini agar anda dan kandungan anda tidak terjejas disebabkan puasa anda itu:
- Sakit kepala ketika hamil, pengsan, lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan, segera hubungi doktor anda.
- Loya atau muntah.
- Sekiranya usia kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda (tidak bergerak/kurang menendang).
- Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap dan berbau kuat. Ini adalah tanda-tanda dehidrasi.
- Berat badan tidak bertambah atau berkurangan berat badan.
- Rasa sakit seakan-akan sakit bersalin.
- Sakit kepala ketika hamil yang disertai dengan demam.
Ibu mengandung berpuasa harus sentiasa ingat bahawa sebagai wanita hamil, anda memang telah diberi lampu hijau dari awal lagi untuk tidak berpuasa. Jadi usah terlalu memaksa diri, fikirkan tentang kandungan anda terlebih dahulu.
Tips pemakanan bagi ibu mengandung puasa
Ini antara tips pemakanan untuk ibu hamil yang puasa:
- Jika anda puasa ketika hamil, perlu utamakan memakan makanan yang berprotein tinggi seperti daging dan telur kerana protein boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar yang lebih lama berbanding kumpulan vitamin yang lain.
- Banyakkan juga mengambil makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu menahan lapar.
- Jangan lupa mengambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang hari.
- Lewatkan waktu bersahur. Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat-saat akhir imsak supaya anda tidak cepat berasa lapar pada siang hari.
- Usahakan untuk minum 2 liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke waktu imsak. Minum sedikit-sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi di siang hari.
Sekali lagi kami ingatkan, tak salah untuk puasa Ramadhan namun penjagaan awal kehamilan juga perlu ditekankan. Jangan lupa juga untuk lakukan amalan ibu hamil trimester pertama sepanjang bulan mulia ini.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Waspada Berat Naik Mendadak Ketika Hamil, Ibu BERISIKO Sukar Bersalin & Kena Czer
Baca juga: 55 Nama Bayi Perempuan Islam Dalam Al-Quran Dengan Makna Baik & Berpuitis
Baca juga: Dah Tak Larat Solat Berdiri Ketika Hamil? Ini Panduan Solat Ketika Hamil Untuk Memudahkan