Anak anda kurang minat dalam Matematik dan sukar untuk menghafal sifir darab? Ibu ayah jangan risau kerana ada teknik ‘ajaib’ yang boleh anda praktikkan dalam membantu mereka.
Pada permulaannya, anda mesti berasa sedikit ragu-ragu kerana menghafal sifir bukanlah sesuatu yang mudah dan terkadang memakan masa sehingga tempoh berbulan-bulan.
Namun, sebenarnya cara alternatif yang berkesan ini boleh anda cuba untuk membantu anak mengingati sifir.
Perkara yang penting adalah anda perlu memantau dan memberikan tunjuk ajar kepada mereka.
Perkongsian seorang cikgu yang bernama Nurul Shazalina Zainudin melalui akaun Facebooknya, dia mengjanjikan bahawa anak-anak boleh mengingati sifir darab dalam masa sehari jika menggunakan teknik yang betul.
Cara menghafal sifir darab dengan mudah
Langkah pertama bagi memudahkan anak mengingati sifir darab adalah mereka perlu terbiasa dengan angka dan mahir dalam operasi tambah.
Sekiranya anak tidak terbiasa dengan penggunaan nombor, ia menjadi sedikit halangan untuk menghafal sifir darab kerana nombor menjadi sesuatu yang asing dalam fikiran mereka.
”Umum yang kita ketahui, terdapat sifir 1 sehingga 12. Sifir 1 tidak perlu dihafal kerana akan mendapat nombor itu semula,” ujar cikgu Shazalina.
#1. Mula ajarkan dengan sifir 2, 5, 10 dan 11
Dalam 11 sifir ini, ibu ayah boleh memilih 4 sifir yang mudah terlebih dahulu iaitu sifir 2,5,10 dan 11. Mulakan dengan menunjukkan senarai sifir 2 kepada anak-anak.
Gunakan printer untuk anda cetak bagi memudahkan lagi untuk menerima ilmu yang dihafal. Barulah mereka berasa seronok dan teruja untuk belajar.
Anda boleh menggunakan semula senarai sifir yang sudah cikgu ini sediakan di bawah ni.
#2. Bahagikan sifir kepada dua bahagian
Untuk tidak membebankan anak untuk menghafal, anda boleh membahagikan 12 baris sifir berkenaan kepada dua bahagian.
Dalam hal ini, anak-anak juga tidak akan nampak bahawa senarai sifir terlalu banyak dan padat untuk mereka ingati.
#3. Hafal jawapan pada 3 baris pertama dahulu
Sebagai permulaan, anda boleh memberi pilihan kepada anak-anak untuk menghafal jawapan pada 3 baris sifir dahulu.
Sekiranya anak anda seorang yang memiliki daya ingatan yang kuat, berikan saja mereka untuk menghafal 6 baris sekaligus.
#4. Gunakan jari
Semasa proses menghafal, anda hendaklah meminta anak untuk menggunakan jari-jemari mereka.
Sebagai contoh, untuk 1×2, keluarkan jari pertama menandakan itu untuk sifir 1×2. Bagi 2×2, keluarkan pula jari yang kedua dan 3×3 keluarkan jari ketiga.
Penggunaan jari adalah untuk membolehkan anak mengira semula jawapan untuk sifir-sifir tertentu ketika anda memintanya untuk mengulang kembali sifir yang dihafal
Untuk lebih jelas, ikuti contoh ini:
1×2=2
2×2=4
3×2=6
4×2=8
5×2=10
6×2=12
Jadi minta anak anak sebut 2,4, 6 (sambil keluarkan jari pertama kedua ketiga).
#5. Minta ulang kembali jawapan sifir
Setelah anak selesai menghafal, anda perlu mengambil kertas sifir dan menutup jawapannya.
Seterusnya, minta anak untuk ulang semula jawapan sifir yang dia merasakan telah mengingati semuanya.
Sekiranya berjaya, buka kembali senarai sifir dan minta anak menghafal baris yang seterusnya iaitu 4×2=8 mengikut kemampuan mereka.
Kemudian, minta anak tutup semula sifir dan lafazkannya bermula dari atas atas iaitu 2,4,6,8.
Jika bacaan jawapannya tepat, suruh anak buka semula kertas sifir, baca baris seterusnya iaitu 2×5=10. Tutup semula kertas sifir dan baca dari awal 2,4,6,8,10.
Ulang langkah ni sampai habis sifir 2×12=24.
#6. Menanyakan sifir secara rawak
Setelah anda mendapati bahawa anak sudah lulus menghafal sifir 2 mengikut turutan, kemudian tugas anda yang seterusnya adalah menanyakan kembali sifir 2 tersebut secara rawak.
Ini adalah sebuah bentuk ujian hafalan anak dalam melatih otak mereka untuk memproses ilmu yang dipelajari.
Barulah ilmu sifir ini tidak akan hilang biarpun mereka keluar bermain bersama kawan-kawan.
#7. Meneruskan hafalan sifir
Setelah anak ‘khatam’ sifir 2, seterusnya anda boleh meneruskan pembelajaran dengan sifir 5, 10, 11. Sebenarnya, jika anda melakukannya secara berterusan sekejap sahaja anak boleh mengingati setiap senarai sifir.
Sekiranya anak sudah berjaya menghafal 4 sifir permulaan ini, jangan lupa berikan mereka pujian mengatakan mereka sangat hebat ataupun bintang.
Kebiasaannya, masa yang diluangkan bersama untuk mempelajari sifir ini menjadi waktu yang berharga buat anak kerana mereka merasakan berada lebih dekat dengan anak dan sekaligus lebih teruja untuk meneruskan aktiviti menghafal sifir.
#8. Sediakan latihan
Ibu ayah, setelah anda mendapati anak sudah mahir dalam mengingati setiap jawapan dalam senarai sifir, jangan lupa untuk memberikan mereka sedikit latihan Matematik.
Sekiranya pada hari ini anak menghafal dan kemudiannya anak telah lupa secara tidak sengaja, jangan terus memarahi mereka.
Ia adalah normal. Sebab itulah anda berperanan dalam memastikan sifir yang dihafal melekat terus dalam pemikiran mereka.
Berikan sedikit masa kepada mereka dalam 5 hingga 10 minit untuk melihat senarai sifir ini dan pastikan anak menghafalnya dalam keadaan yang tenang.
Sebenarnya, jawapan setiap sifir sudah ada dalam kepala mereka, anda hanya perlu refresh pemikiran anak supaya mereka ingat kembali.
Aktiviti menghafal sifir menjadi aktiviti yang menyeronokkan sekiranya anda bersama-sama menemani anak untuk memberikan mereka sokongan.
Sifir adalah jantung matematik. Ibu ayah perlu membantu anak-anak agar ingatan sifir yang dipelajari mereka tidak mudah hilang.
Sumber: SirapLimau
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.