Tergamaknya datuk dan nenek ini bila adanya sikap pilih kasih terhadap cucu mereka dan hanya melayan dan menyayangi yang menjadi kegemaran sahaja. Cucu yang tidak disukai pula tidak diberikan kasih sayang, tidak dipeduli malah dimarahi tanpa sebab walaupun tidak melakukan kesalahan.
Itu yang dialami seorang kanak-kanak lelaki bernama Fikri menerusi kisah sedih yang diceritakan oleh ibunya.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini.
- Akibat sikap pilih kasih, cucu dimarahi tanpa sebab
- Layanan berat sebelah
- Fikri tetap sayang datuk, nenek
Akibat sikap pilih kasih, cucu dimarahi tanpa sebab
Seperti yang dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi Twitter pada akaunnya, Januar Haikal memuat naik kisah seorang ibu yang mempunyai anak lelaki tidak disayangi oleh mentua wanita tersebut.
Ikuti kisah sedih Fikri, yang diceritakan oleh ibu tersebut.
“Waktu balik kampunglah anak saya selalu disisihkan oleh mentua. Boleh nampak beza layanan dengan cucu dia yang lain.
“Kadang-kadang anak saya dimarahi tak tentu pasal walaupun tengah main mainan dia seorang diri. Boleh nampak dia sedih daripada riak muka dia.
“Bila kena marah, dia akan tanya ‘ibu kenapa Fikri kena marah ibu?’ Puas saya nak pujuk. Ada hari tu, dia main betul-betul kat bucu ruang tamu.
“Tolak dan tarik balik kereta mainan dia tu. Mentua datang dan terus jerit, ‘kang orang terlanggar macam mana?’ Sangat tak logik.
“Dia tarik tolak tu betul-betul kat tepi. Saya tengok saya terus ajak anak masuk bilik dan saya pujuk. Nampak dia cuba menahan air mata dia.
“Fikri memang susah menangis, sebab dia selalu cakap, ‘Fikri lelaki, kena kuat’,” demikian kisah daripada wanita tersebut.Layanan berat sebelah
Dalam hantaran itu, wanita itu memberitahu layanan yang diterima oleh cucu-cucu lain tidak sama seperti dialami oleh Fikri.
“Bagi yang tertanya-tanya tu, jawapannya tidak. Layanan untuk cucu lain tidak sama, saya sendiri saksi dengan mata saya.
“Anak buah suami saya pernah minta mentua buah dalam peti ais. Mentua siap tanya nak buah apa dan dia ambilkan, ‘nak buah apa ya sayang’.
“Tak lama lepas tu, Fikri minta. Agaknya sebab dia nampak anak buah lain makan buah. Mentua pun cakap kat dia, ‘kau ni asyik nak buah je. Orang lain pun nak makan juga’. Padahal satu pun dia tak makan hari tu,” katanya.
Fikri tetap sayang datuk, nenek
Ibu itu menceritakan, peristiwa tersebut sudah dilaluinya selama lima tahun dan wanita itu masih lagi bersabar sekali gus mendoakan perubahan kedua-dua mentuanya.
“Perkara ini saya dah lalui lima tahun. Ya, saya masih bersabar dan harapkan perubahan daripada mentua. Banyak lagi kisah yang terjadi dekat Fikri di rumah itu.
“Tapi setiap kali nak pulang dari rumah mentua, Fikri akan salam dan cakap, ‘terima kasih atuk, nenek. Fikri sayang atuk dan nenek’.
“Janganlah cakap saya bagi alasan tak nak pulang ke rumah mentua, saya masih tak putus asa dan cuba menjaga hubungan kami. Cuma impaknya dekat anak saya Fikri.
“Dulu bila saya ajak dia ke rumah mentua, Fikri sangat excited. Sekarang dia hanya mengangguk sambil pandang ke bawah,” katanya.
Sedih membaca kisah dan pengalaman dilalui oleh Fikri. Tidak sepatutnya seorang kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa diperlakukan sedemikian. Semoga datuk dan neneknya sedar perlakuan mereka boleh memberi kesan besar kepada Fikri sehingga dia dewasa.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Nenek Pilih Kasih, Cucu Kesayangan Dipuji Melambung, Cucu Lain Rasa Tersisih
Baca juga: 6 Cara Untuk Ibu Ayah Tunjukkan Kasih Sayang Kepada Anak, No.3 Paling Penting!
Baca juga: Kalau Sayangkan Anak Tutup Telefon Bimbit Itu, Jangan Biarkan Mereka Terabai Kasih Sayang Anda