Ibu Ayah, Ketahui Suhu Normal Bayi & Cara Tepat Sukat Suhu Bila Si Manja Demam

Semua ibu bapa perlu tahu cara betul untuk menyukat suhu badan si kecil dengan tepat supaya boleh membezakan suhu demam dan suhu normal bayi.

Semua ibu bapa perlu tahu suhu normal bayi serta cara betul untuk menyukat suhu badan si kecil dengan tepat apabila mereka demam. Sebenarnya, demam bukanlah penyakit, tetapi kesan penyakit. Demam berlaku apabila sistem imun badan si kecil sedang melawan penyakit, jangkitan virus dan bakteria.

Adakah Suhu Normal Bayi dan Dewasa Berbeza Mengikut Usia?

Suhu Normal Dewasa

Suhu badan normal bagi orang dewasa, apabila diukur secara oral, biasanya berada dalam julat 36.4°C hingga 37.5°C. Walau bagaimanapun, bacaan suhu ini boleh berbeza sedikit bergantung kepada kaedah pengukuran yang digunakan, kerana setiap kaedah memberikan variasi kecil dalam bacaan.

Suhu Normal Kanak-Kanak

Bagi kanak-kanak berusia antara 3 hingga 10 tahun, suhu badan normal secara oral adalah sekitar 35.5°C hingga 37.5°C. Secara umumnya, suhu badan kanak-kanak hampir sama seperti individu dewasa, tetapi mereka lebih sensitif terhadap perubahan suhu persekitaran.

Suhu Normal Bayi

Berbeza dengan orang dewasa dan kanak-kanak, bayi cenderung memiliki suhu badan yang lebih tinggi. Bacaan suhu yang diambil di ketiak atau telinga bayi sering menunjukkan nilai lebih tinggi.

Untuk bayi berusia antara 0 hingga 2 tahun, suhu badan normal apabila diukur secara rektum adalah sekitar 36.6°C hingga 38°C. Menariknya, suhu badan bayi boleh meningkat sedikit semasa mereka melalui proses tumbuh gigi. Secara purata, suhu bayi baru lahir adalah sekitar 37.5°C.

Apa itu Suhu Bayi?

Sebelum ibu bapa panik, apakah punca suhu badan bayi anda naik? Adakah demam anak disebabkan oleh radang paru-paru, kencing kotor, jangkitan telinga, ataupun jangkitan yang lebih serius seperti meningitis?

Suhu normal bayi boleh meningkat jika mereka berpakaian terlalu tebal, ataupun memakai terlalu banyak lapisan pakaian apabila cuaca sangat panas. Selain itu suhu normal bayi juga boleh naik akibat reaksi terhadap pemvaksinan.

Cara untuk tahu bayi anda demam, ialah rasa panas di bahagian dahi, leher, belakang, dan perut apabila disentuh. Pipi bayi mungkin akan kelihatan merah dan kadang-kadang si kecil akan mula berpeluh.

Julat suhu normal bayi apabila disukat melalui rektum, adalah di antara 36.6 – 37 °C. Suhu demam pula adalah suhu yang melebihi 38 °C.

Oleh itu, adalah penting untuk memeriksa suhu bayi menggunakan termometer bagi mendapatkan bacaan yang lebih tepat sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Bagaimana Untuk Mengambil Suhu Bayi Di Ketiak?

Mengukur suhu bayi dengan betul sangat penting untuk memastikan bacaan yang tepat. Cara yang disyorkan adalah:

  1. Gunakan termometer digital kerana ia lebih cepat dan memberikan bacaan yang tepat.
  2. Letakkan bayi dalam posisi selesa, sama ada di atas riba anda atau di tempat tidur.
  3. Letakkan hujung termometer di bahagian ketiak bayi. Pastikan lengan bayi dirapatkan ke badan untuk memastikan termometer berada dalam kedudukan yang betul.
  4. Tunggu sehingga termometer berbunyi, yang biasanya mengambil masa sekitar 15 saat. Sesetengah termometer moden bahkan boleh memberikan bacaan dalam masa kurang dari itu.
  5. Periksa bacaan suhu yang tertera pada termometer.

Bagaimana Memastikan Bacaan Suhu Normal Bayi Adalah Tepat?

Ibu bapa boleh menentukan suhu normal hanya dengan menyentuh dahi si kecil. Walau bagaimanapun, kenaikan suhu badan tidak semestinya bermakna si kecil anda demam.

Oleh itu cara yang lebih tepat untuk mengukur suhu badan bayi ialah dengan menggunakan termometer.

Termometer yang paling selamat dan disyorkan untuk bayi dan kanak-kanak adalah termometer digital, kerana termometer merkuri sangat toksik jika pecah. Kini terdapat banyak jenis termometer di pasaran yang boleh digunakan termasuk termometer yang diletakkan di ketiak, telinga, mulut, ataupun yang dilekatkan pada dahi. 

Tetapi termometer yang dimasukkan ke dalam rektum dianggap paling tepat dan mudah digunakan pada bayi.

Termometer yang boleh dimasukkan ke dalam rektum berbentuk fleksibel dan mempunyai tempat memegang yang luas supaya ia lebih senang untuk dikendalikan. Sebelum menggunakan termometer rektum, ibu bapa perlu pastikan ianya dibasuh dalam air sabun ataupun dibasmikan dengan alkohol. 

Untuk menggunakan termometer rektum, pastikan termometer bersih. Basuh dalam air sabun atau lap dengan alkohol. Pastikan bayi anda dalam posisi meniarap.

Kemudian gunakan sedikit jeli petroleum di hujung termometer dan masukkan termometer kira-kira 2 cm ke dalam rektum. Tunggu hingga termometer berbunyi sebelum menarik keluar termometer untuk membaca hasilnya.

Bilakah Ibu Bapa Patut Risau?

Ibu bapa perlu berhati-hati jika suhu badan bayi mencecah:

  1. 38 °C untuk bayi di bawah 3 bulan
  2. 39 °C dan ke atas, untuk bayi berumur 3 – 6 bulan

Jika ini berlaku, ibu bapa perlu menghubungi pakar kanak-kanak atau doktor dengan segera.

Selain suhu normal bayi yang meningkat, ibu bapa juga perlu menghubungi doktor jika demam bayi disertai tanda-tanda lain seperti ruam, sawan, masalah pernafasan, atau kesukaran untuk minum susu. 

Ibu bapa juga perlu peka tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, menangis tanpa air mata, ubun-ubun yang cengkung ke dalam, serta kekerapan si kecil membuang air kecil apabila demam.

Jika ibu bapa mendapati suhu anak telah meningkat dengan tinggi jangan berlengah dan hubungi doktor dengan segera. 

Semoga membantu.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 4 Cara Kendali Anak Demam Selepas Suntikan Imunisasi

Baca juga: Anak Mudah Sakit Dan Selesema, Patutkah Saya Risau? Ini Sebab Kenapa Anak Anda Mudah Sakit

Baca juga: Kenali 7 Ciri-Ciri Batuk Yang Berbahaya Pada Bayi, Ibu Sila Pantau Elak Gejala Bertambah Teruk!

Penulis

Rosanna Chio