Ramai remaja perempuan dan juga wanita dewasa kini sedang berlumba-lumba mengikut beauty trend atau trend kecantikan semasa, termasuklah melakukan sulam kening.
Jika sebelum ini, kita sudah biasa mendengar mengenai sambung bulu mata, sambung rambut atau bahkan sambung kening, kini sulam kuning atau microblading mula menjadi ikutan tanpa mengetahui baik dan buruknya.
Mungkin pada pandangan sesetengah wanita di luar sana sulam kening akan membuatkan wajah tampak lebih cantik, namun, apakah risiko, serta hukum apabila ia dilakukan? Teruskan membaca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai sulam bulu kening ini!
Apa Itu Sulam Kening
Sulam kening merupakan rawatan kecantikan seakan tatu kening separa kekal bagi mengekalkan bentuk kening yang sempurna.
Teknik sulam bulu kening ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencantikkan bulu kening seseorang, selain berupaya menstrukturkan semula bulu kening atau bahkan menambah bulu kening agar nampak lebih sempurna dan penuh.
Mudah kata, ia boleh diibaratkan sebagai tatu kening di mana seseorang itu tidak perlu lagi melukis atau menggunakan lagi pensil kening bagi merapikan kening mereka setiap hari dalam beberapa tempoh tertentu.
Kebiasaannya, prosedur kosmetik yang dilakukan bagi sulaman kening ini termasuklah mengisi bahagian kening dengan menanam pigmen berwarna mengikut tekstur yang menyerupai rambut/ bulu sebenar.
Dengan menggunakan teknik bulu ini, anda boleh berunding dengan pakar untuk mendapatkan pigmen warna yang sepadan dengan warna kening asal anda bagi membentuk kening baru yang kelihatan lebih natural.
Penting juga untuk anda tahu, dengan sulaman bulu kening, pigmen hanya digunakan secara cetek atau sedikit sahaja pada kulit anda dan bukannya diletakkan terus ke dalam lapisan kulit anda yang lebih dalam di mana ia boleh menjadi kekal.
Oleh kerana pigmen yang digunakan serta cara ia digunakan pada kulit, microblading atau sulam kening menghasilkan “tatu” separa kekal yang kelihatan lembut dan halus, bukannya jelas dan cerah seperti tatu tradisional. Lama kelamaan, pigmen pada kening juga akan mulai pudar, mungkin dalam tempoh satu hingga tiga tahun.
Kekurangan serta risiko sulam kening
Antara risiko atau kekurangan melakukan sulaman kening adalah ia boleh merosakkan bulu kening asal anda jika pakar menggunakan teknik yang salah, seperti melakukan pigmen terlalu dalam pada kulit anda sehingga menghasilkan tisu parut pada kening anda. Bahkan, ada juga kes (namun jarang berlaku) di mana ia juga boleh menghalang pertumbuhan bulu baru pada kening.
Selain itu, terdapat juga individu yang mengalami reaksi alahan terhadap pewarna yang digunakan. Ia seterusnya boleh menyebabkan ruam atau jangkitan yang mana jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh menjejaskan pertumbuhan bulu kening seseorang pada masa akan datang.
Apakah Hukum Sulam Kening atau Tatu Kening
Sulam kening merupakan satu trend yang sangat popular di negara-negara barat. Namun untuk orang Islam, anda perlu terlebih dahulu tahu dan faham hukum sulam kening sebelum melakukannya pada wajah anda.
Sulam kening halal atau tidak? Penting untuk anda tahu, hukum sulam kening adalah haram dan dilarang dalam agama Islam. Jadi, wanita Muslim tidak boleh melakukan tatu kosmetik ini walau dengan apa alasan sekalipun kerana ia seolah-olah mengubah ciptaan Allah SWT.
Berdasarkan dalil hadis;
“Daripada Abdullah Ibu Mas’ud’ telah bersabda Rasulullah SAW, Allah melaknat tukang tatu dan orang yang meminta dibuat tatu dan orang yang mencukur bulu kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan kerana mengubah ciptaan Allah SWT.”
Antara beberapa sebab ia dilarang dalam Islam adalah kerana:
- Sulam kening termasuk dalam kategori mengubah kejadian Tuhan
- Tidak sempurna ketika mengambil wudhuk dan juga mandi hadas yang mana air akan terhalang
- Menyakiti tubuh badan
- Kawasan tatu akan menjadi najis akibat darah yang beku padanya
Apakah Hukum Cukur Kening?
Selain melakukan sulam kening, ramai dalam kalangan wanita diluar sana turut mencukur bulu kening mereka kononnya untuk kelihatan lebih cantik dan menawan. Namun, perlu anda tahu bahawa hukum cukur bulu kening adalah sama seperti sulam kening, iaitu haram.
Ia turut dinyatakan di dalam hadis Rasulullah. Daripada Ibnu Abbas R.A, katanya Rasulullah bersabda:
“Telah melaknat oleh Rasulullah saw akan perempuan yang mencukur bulu kening dan yang minta dicukurkan.” (Riwayat Abu Daud).
Hukum cukur bulu kening ini bukan sahaja haram pada wanita, bahkan kepada kaum lelaki juga kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah mengubah ciptaan Allah SWT.
Namun, jika seseorang itu mempunyai bulu kening yang terlalu panjang atau terlalu lebat sehingga mengaibkan, maka dia harus mencabut atau menggunting sekadar menghilangkan keaibannya sahaja.
Cara Lukis Kening
Setiap wanita pastinya ingin kelihatan cantik dan ia adalah naluri semula jadi manusia. Antara salah satu perkara yang dianggap boleh mencantikkan wajah termasuklah dengan membentuk bulu kening yang ada pada wajah.
Anda mungkin sudah tahu dan faham bahawa hukum menyulam serta mencukur bulu kening adalah haram. Namun, bagaimana pula dengan melukis kening tanpa mencukurnya? Sebenarnya hukumnya tetap sama, iaitu dilarang dalam Islam kerana dianggap mengubah ciptaan Allah SWT. Namun begitu, jika sekadar mengemaskan bulu kening secara sederhana tanpa mengubah kening asal, maka hukumnya adalah harus selagi mana tidak menimbulkan perasaan riak ya.
Tetapi anda juga perlu tahu dan faham, untuk mereka yang dilahirkan tanpa kening, maka harus baginya untuk melukis kening bagi menutup keaiban, asalkan tidak berlebih-lebihan.
Jadi, di sini kami kongsikan cara lukis kening yang anda boleh ikuti:
Langkah 1
Pastikan anda miliki peralatan yang lengkap seperti celak kening dan juga maskara kening. Anda boleh gunakan concealer cerah sekiranya anda tidak mahu untuk mencukur bulu kening anda. Kemudian, lukis pula bahagian bawah kening dengan satu garisan lurus dan pastikan di bahagian hujung kening dilukis dengan jelas supaya nampak cantik.
Langkah 2
Selepas itu, lukis pula bahagian atas kening dengan satu garisan lurus dan lukis juga lekuk di bahagian hujung kening bagi mendapatkan bentuk kening yang sempurna.
Langkah 3
Jangan lupa untuk ratakan bulu kening dengan menggunakan maskara kening anda. Pastikan anda gunakan warna maskara dengan tona yang sedikit cerah supaya kening anda nampak lebih natural dan tidak begitu berbeza dengan warna asal bulu kening anda. Kemudian, kemaskan sahaja bawah kening dan hujung kening dengan menggunakan concealer untuk menutup solekan anda.
Untuk lebih mudah, anda juga boleh lihat tutorial cara lukis kening dengan mudah menerusi perkongsian pada video di bawah ini:
Dalam pada itu, anda dibolehkan atau diharuskan untuk inai kening anda kerana ia adalah salah satu bentuk pigmen organik dan bukan bersifat kekal serta tidak memudaratkan tubuh anda.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda di luar sana! Ingat, jangan hanya kerana ingin dapatkan bentuk kening yang cantik atau bentuk kening Korea, anda melupakan hukumnya pula ya! Hargai sahaja setiap apa yang telah ada pada wajah kita. Segalanya pasti sudah cantik dan sempurna.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tak Ramai Yang Tahu, Ini 3 Kesan Sampingan Lukis Kening Yang Berbahaya Pada Anda!
Baca juga: 6 Kesalahan Merapikan Kening Yang Patut Dihentikan Oleh Anda
Baca juga: Bentuk Kening Sebenarnya Lambang Personaliti Peribadi? Anda Yang Mana Satu?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!