Daun kesum sememangnya menjadi salah satu daun herba yang banyak digunakan di dalam masakan di negara kita ini. Sebagai contoh, ia sering digunakan di dalam hidangan Asam Pedas dan Laksa Penang.
Aroma daun ini yang unik menjadikan masakan lebih sempurna dan sedap rasanya. Selain dari aromanya, sebenarnya banyak lagi manfaat daun kesum yang tidak ramai tahu. Malah anda juga boleh cuba tanam sendiri di rumah dengan cara ini kerana pasti ia akan merimbun hidup, walaupun dalam pasu sahaja.
Khasiat Daun Kesum
Berikut adalah khasiat daun herba terkenal di Malaysia yang bermanfaat dalam dunia perubatan:
- Dapat Bantu Mencegah Keradangan
- Daun Kesum Berpotensi Mencegah Kanser
- Daun Kesum Kaya Dengan Antioksidan
- Mencegah Keracunan Makanan
Penjelasan penuh di bawah
1. Dapat Bantu Mencegah Keradangan
Masalah keradangan adalah tindak balas semula jadi tubuh kita apabila adanya kecederaan atau sebarang jangkitan. Namun, jika masalah keradangan ini berlaku berpanjangan, ia boleh membawa kepada penyakit kronik.
Sewaktu berlakunya keradangan, sel imun tubuh akan diaktifkan untuk melepaskan pengantara keradangan seperti nitrik oksida yang mana ia boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan tisu.
Dengan merencatkan penghasilan nitrik oksida ini, ia boleh mengurangkan tahap keradangan yang berlaku di dalam kebanyakan proses penyakit kronik. Dengan adanya ekstrak daun kesum, ia menunjukkan yang mana kesannya yang kuat dapat merencatkan penghasilan nitrik oksida dan mempunyai kesan antiradang yang lebih kuat berbanding ekstrak batang kesum.
2. Daun Kesum Berpotensi Mencegah Kanser
Daun kesum dikatakan berpotensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser. Menurut sebuah kajian, ekstrak daun ini menunjukkan ciri-ciri anti kanser terhadap sel kanser mulut dengan mencegah pembiakan, penyebaran dan penularan sel kanser itu.
Selain itu, daun beraroma wangi untuk masakan ini juga berguna untuk agen kimoterapi. Ia bagus dalam mencegah sel kanser limfoma, leukimia, payudara, hati, mulut dan usus besar. Walaubagaimanapun, kajian lebih perlu dijalankan untuk mengesahkan akan yang daun kesum benar antikanser.
3. Daun Kesum Kaya Dengan Antioksidan
Daun kesum kaya dengan antioksidan yang mana ia adalah sebatian yang boleh melindungi sel sihat dalam tubuh daripada tekanan oksidatif yang berpunca daripada radikal bebas. Ia selalunya dikaitkan dengan penyakit kronik seperti jantung, keradangan kronik, diabetes, kanser dan Alzheimer.
Dengan adanya daun herba yang tinggi kandungan sebatian fenolik dan flavanoid ini, ia dapat membantu menyumbang kepada aktiviti antioksidan.
4. Mencegah Keracunan Makanan
Masalah keracunan makanan berlaku apabila seseorang itu memakan makanan yang tercemar dengan bakteria, virus, parasit atau kuman. Daun kesum dikatakan mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria Salmonella. Bakteria ini biasa didapati pada ayam, daging atau telur.
Daun dan batang herba popular di kalangan masyarakat kita terbukti mempunyai kebaikan antibakteria terhadap bakteria Staphylococcus aureus iaitu bakteria yang boleh mengakibatkan keracunan makanan.
Cara Tanam Daun Kesum Hidup Subur
Kalau suka masak masakan asam pedas atau masakan berasaskan tempoyak, bolehlah cuba cara ini untuk menanam keratan batang daun kesum yang mudah. Selepas ini dah senang, tak perlu nak beli diluar kerana selalunya mahal dijual dalam seikat.
Dengan cara ini, anda boleh menghasilkan daun kesum yang merimbun daunnya. Seperti yang kita tahu, daun kesum suka hidup di kawasan yang lembap dan sedikit berair.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Sediakan bekas yang tiada lubang dibawahnya. Boleh guna tong cat kecil atau besar. Atau boleh cari bekas di kedai eco atau ninso ada banyak jual bekas seperti ini.
- Beli tanah 6 in 1. Boleh beli di Mr DIY atau gunakan tanah yang senang dapat. Yang penting teksturnya medium yang lembut dan bukan jenis keras.
- Plastik jernih mengikut saiz pasu.
- Pucuk kesum. Sila gunakan bahagian pucuk ya.
- Baja yang digunakan adalah Baja XY atau boleh guna baja SB atau baja biji pun boleh.
Cara-cara untuk menanam:
- Untuk bekas, tebuk bekas menggunakan drill atau paku yang dipanaskan pun boleh. Tujuannya untuk bagi air bertakung sama dengan tanah. Tebuk dua lubang. Depan dan belakang.
- Setelah itu, taburkan tanah sehingga betul-betul mampat. Basahkan dengan sedikit air.
- Bila dah lembap, cucuk keratan pucuk kesum sehingga penuh satu bekas.
- Dah siap, bungkus dengan plastik jernih ketat-ketat. Tak perlu tebuk lubang. Teknik ini akan membuatkan akar banyak keluar sampai ke dahan
- Dalam tempoh 5 -7 hari, dah boleh nampak kesum naik elok.
- Buka plastik.
Untuk hasil yang memuaskan, guna baja XY dan letak bawah hujung bumbung supaya kalau hujan lebat, airnya boleh membasahi pokok kesum sekali supaya lagi merimbun.
Sekiranya anda bercadang untuk meletakkan daun herba ini dalam masakan, berikut adalah beberapa cadangan resepi yang menggunakan daun kesum sebagai penyedap rasa dan lebih beraroma.
Antara cadangannya adalah seperti di bawah:
- Masak asam pedas ikan pari
- Masak tempoyak ikan patin
- Tambahkan daun kesum dalam hidangan laksa
- Ikan cencaru sumbat sambal
Semoga artikel ini bermanfaat buat anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Khasiat Pucuk Manis Yang Ramai Tak Tahu, Boleh Tingkatkan Pengeluaran Susu Ibu!
Baca juga: Kacang Bendi Kaya Dengan Asid Folik Bagus Untuk Kandungan – Ibu-ibu WAJIB Cuba!
Baca juga: 9 Sebab Kenapa Anda Perlu Kerap Beri Bayi Sayur Brokoli Berbanding Sayur Lain
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!