Pucuk manis ialah herba yang tumbuh meliar dan boleh didapati secara meluas di Asia Tenggara dan Asia Selatan. Tumbuhan herba ini dikenali dengan pelbagai versi nama seperti cekur manis, asin-asin, sayur manis dan juga mani chai.
Herba ini kaya dengan khasiat beta karotene, vitamin E, vitamin C, thiamine, riboflavin, kalsium, zat besi, zink dan protein.
Selain dimasak dijadikan sayur, pucuk manis juga sebenarnya banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Orang-orang dahulu menggunakan pucuk manis untuk merawat penyakit kencing manis, penyakit mata, mengurangkan berat badan, batuk, cirit-birit dan ulser.
Kebaikan daun pucuk manis
1. Kaya dengan antioksidan
Cekur manis kaya dengan antioksidan iaitu sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas. Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
2. Membantu mengurangkan berat badan
Pucuk manis mempunyai sebatian yang boleh bertindak sebagai agen antiobesiti.
3. Membantu meningkatkan pengeluaran susu badan
Daun cekur manis sangat bagus diamalkan oleh ibu yang menyusukan bayi. Hal Ini demikian kerana teumbuhan ini boleh membantu meningkatkan pengeluaran susu badan. Penggunaan daun ini dalam meningkatkan susu badan banyak diamalkan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Satu kajian yang dijalankan terhadap ibu menyusu mendapati ekstrak daun cekur manis boleh meningkatkan penghasilan susu ibu sebanyak 50% berbanding plasebo.
4. Melawan jangkitan bakteria dan kulat
Ekstrak cekur manis juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah dan melawan jangkitan bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan keracunan makanan, radang paru-paru, jangkitan darah, jangkitan salur kencing dan jangkitan saluran pernafasan.
5. Membantu merendahkan paras gula dalam darah
Masyarakat di India menggunakan daun pucuk manis untuk mencegah dan merawat penyakit kencing manis atau diabetes.
6. Merawat keguguran rambut dan botak
Pucuk manis turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat keguguran rambut atau botak. Daun yang dicampur dengan susu, kemudiannya ditumbuk untuk dijadikan poultis yang seterusnya disapu pada kulit kepala.
Masak sebelum makan
Cekur manis perlu dimasak sebelum dimakan kerana mempunyai alkaloid. Alkoid boleh menyebabkan masalah pernafasan jika diambil secara mentah dan dalam kuantiti yang banyak dan kerap namun, kajian menunjukkan kandungan alkoid lebih tinggi didalam daun yang matang dan bukannya daun muda atau pucuk.
Lazimnya, pucuk sayur manis menjadi pilihan orang Melayu dalam membuat makanan berasaskan kuah seperti sayur lemak, ditumis pedas atau ditambah dalam telur dadar, orang Cina pula gemar menjadikan herba ini sebagai hidangan sampingan untuk pan mee dan bubur.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Air Rebusan Daun Durian Belanda Mujarab Membantu Merawat Pelbagai Masalah Kesihatan
Baca juga : Teh Daun Raspberi Mujarab Untuk Cepatkan Proses Bersalin? Ini Jawapannya
Baca juga : Bukan Sekadar Penyeri Masakan, Ini Antara 7 Kebaikan Daun Bawang Untuk Kesihatan Yang Buat Anda Nak Makan!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!