Istilah perubatan jaundis atau penyakit kuning adalah keadaan yang berlaku pada bahagian kulit dan mata bayi berubah warna kekuningan. Masyarakat Melayu khususnya ramai menyarankan ibu-ibu beri susu kambing untuk bayi kuning.
Proses merawat masalah bayi ini mungkin sedikit mencabar buat anda, memandangkan baru sahaja keluar hospital, dalam pantang dan perlu ulang-alik ke klinik.
Baca juga: Berapa Bacaan Kuning Bayi Yang Normal? Dan Berapa Pula Yang BERBAHAYA?
Amalan beri susu kambing untuk bayi kuning
Demam kuning biasanya mudah menyerang pada bayi yang lahir pramatang iaitu sebanyak 80 peratus. Manakala kebarangkalian bayi lahir matang berdepan masalah ini adalah 60 peratus.
Menurut Penyasarah dan Pakar Genetik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Surini Yusoff, antara faktor penyebab bayi kuning ialah masalah kekurangan enzim G6PD, masalah darah merah yang mudah pecah, kurang menyusu dan jenis darah berlainan antara ibu dan anak.
Sekiranya anda tidak sanggup tengok anak ditahan di wad dan bermalam dalam inkubator dengan cahaya fototerapi, usahlah terlalu mengikuti sahaja petua yang mengatakan beri susu kambing untuk bayi kuning sehingga mengabaikan penyusuan susu ibu.
Khasiat susu ibu melebihi segala susu di dunia
Hanya susu ibu sahaja boleh diberikan kepada baru lahir sehingga usianya memasuki 6 bulan. Bagi si manja yang minum susu formula, dia hanya boleh minum susu bersama air suam sahaja.
Jadi sebarang jenis susu kambing tidak boleh diberikan secara terus kepada bayi. Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, tiada kajian klinikal mengesahkan susu kambing berkesan untuk bayi kuning.
”Sistem penghadaman dan hati bayi baru lahir masih belum matang. Dia tidak dapat memproses susu kambing atau lembu iaitu kandungan nutriennya tidak memenuhi keperluan bayi baru lahir berbanding susu ibu,” jelasnya.
Yang terbaik adalah ibu sendiri yang mengamalkan susu kambing, perbanyakkan makan buah kurma dan madu. Ini membantu penghasilan susu badan yang lebih banyak dan mencukupi keperluan si manja setiap hari.
Bayi mengalami jaundis lebih lama adalah perkara normal
Jelas Dr Zulkifli, perkara lain yang sering dilakukan oleh ibu ialah memberikan air putih dengan harapan dapat menyingkirkan jaundis.
Dalam sesetengah kes, bayi baru lahir yang telah diberikan susu ibu secara eksklusif berpotensi mengalami jaundis lebih lama. Tetapi ia bukan alasan untuk anda berhenti memberikan susu ibu.
”Asalkan ibu yang menjalani tempoh berpantang tidak mengambil ubat-ubatan, bayi akan kembali sihat dan mengalami pertambahan berat badan.”
”Justeru, pemberian susu ibu eksklusif mestilah diteruskan. Ia amat digalakkan sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali sehari.” jelas Dr. Zulkifli.
Petua menjemur bayi di bawah cahaya matahari pagi
Bagi ibu ayah muda yang tiada pengalaman, bayi baru lahir menghidap penyakit kuning mungkin membuatkan anda sedikit panik. Lantas banyak petua orang dulu-dulu dicuba seperti menjemur bayi di bawah cahaya matahari pagi.
Dr Zulkifli menjelaskan, pendedahan bayi baru lahir terhadap cahaya matahari tidak berkesan dan mendatangkan bahaya.
”Bayi berisiko mengalami dehidrasi apabila diletakkan di bawah matahari, menjadikan keadaannya lebih teruk. Sinaran matahari dan sinar ultra violet (UV) boleh menyebabkan kulit terbakar dan menjejaskan kesihatan kulit bayi,” katanya.
Dalam pada itu, ibu ayah juga hendaklah sentiasa memantau keadaan bayi serta mengawasi tahap bilirubin bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.
Ini kerana ini boleh menjejaskan pendengaran dan mengakibatkan kerosakan otak si manja.
Selain itu, ibu juga hendaklah mengamalkan pemakanan sihat. Anda boleh mengambil buah oren sebanyak 2 biji sehari, elakkan sebarang jenis herba seperti akar kayu, halia dan lada hitam ketika bayi mengalami kuning.
Perbanyakkan mengambil sayur-sayuran hijau seperti brokoli, sawi atau ulam pegaga dalam hidangan menu berpantang. Jus pegaga juga sangat baik untuk ibu menyusu dan membantu mengurangkan masalah kuning pada bayi.
Apa-apa pun, pastikan bayi anda sentiasa berada dalam pemerhatian doktor. Sekiranya kadar bilirubin semakin meningkat, maka rawatan susulan hendaklah diberikan secepat mungkin.
Sumber: Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia