Tali Pusat Bayi Bernanah & Berdarah Lepas Sapu Minyak Gamat, Ibu Waspada 8 Tanda Jangkitan Kuman Ini!

Tali pusat bayi bernanah dan keluar darah boleh terjadi sekiranya ibu menyapu minyak gamat. Ketahui cara penjagaan tali pusat bayi yang betul

Penjagaan bayi baru lahir perlulah dikendalikan dengan teliti kerana mereka masih kecil dan sensitif terhadap persekitaran. Salah satu bahagian yang perlu diberi perhatian ialah tali pusat. Jika tersalah cara, tali pusat bayi bernanah dan sukar untuk tanggal.

Beberapa hari pertama melahirkan bayi, ramai ibu baharu mengakui agak takut untuk menguruskannya. Lebih-lebih lagi bila perlu membersihkan tali pusat. Namun apa yang perlu anda tahu adalah jika lebih cepat pangkalnya kering, lebih cepatlah tali pusat itu tertanggal

Tali Pusat Bayi Bernanah 

Tidak semua ibu ayah akan mengikuti nasihat daripada doktor atau hospital. Sehingga ada yang berani meletakkan ubat lain pada bahagian tali pusat bayi baru lahir.

Apabila anda tidak tahu cara betul, ia boleh menyebabkan tali pusat bayi bernanah, luka berdarah dan berbau busuk.

Pihak hospital biasanya akan membekalkan ubat pusat bayi sebelum anda pulang ke rumah dan jangan sesekali guna produk lain untuk membersihkan bahagian tersebut. 

Seorang ibu berkongsi pengalaman yang dilaluinya sendiri apabila tali pusat bayi bernanah dan berdarah selepas dia menyapukan minyak gamat.

“Selepas bersalin anak keempat, saya sapu minyak gamat pada tali pusat bayi tapi tak sangka ia keluar nanah dan berdarah.”

”Kemudian saya terus ke Hospital Pusrawi dan disebabkan itu, saya dimarahi doktor kerana tidak tahu tahap kebersihan minyak gamat itu.

”Proses pembersihan dilakukan oleh doktor berkenaan dengan mencucuk jarum pada semua nanah dan ia dilakukan selama enam minggu berturut-turut,” katanya. 

Penyebab Pusat Bayi Berdarah

Pusat bayi berdarah boleh membuatkan ibu berasa panik. Hal ini kerana ia bukanlah sesuatu yang normal buat bayi baru lahir.

Terdapat beberapa punca mengapa pusat bayi berdarah. Antaranya:

  • Titik di mana tali pusat akan mula terpisah dari badan bayi
  • Berlaku geseran pada bahagian tali pusat bayi dengan lampin atau ketika mandi menyebabkannya berdarah
  • Jangkitan kuman

Tanda-Tanda Tali Pusat Bayi Berdarah Akibat Jangkitan Kuman

  1. Pusat bayi terasa lebih panas jika dibandingkan dengan suhu kulit di sekeliling
  2. Keliling pusat bayi kemerah-merahan 
  3. Bau yang kurang menyenangkan
  4. Mengeluarkan nanah dan berdarah 
  5. Terdapat lepuh, jerawat atau ruam di sekitar bahagian tali pusat
  6. Bayi mengalami demam melebihi 38 darjah celsius
  7. Apabila ibu sentuh bahagian pusat, bayi menunjukkan rasa tidak selesa atau sakit
  8. Tiada tanda tali pusat bayi tanggal atau mengering

Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti di atas, segera bawa si kecil berjumpa doktor. 

Penjagaan Tali Pusat Selepas 24 Jam Dilahirkan 

  1. Pastikan tali pusat dan kawasan di sekelilingnya berada dalam keadaan bersih dan kering.
  2. Biasanya ibu ayah akan dibekalkan dengan ‘alkohol’ atau bancuhan ‘antiseptik’ untuk mencuci pusat bayi.
  3. Namun, terdapat juga data yang menunjukkan bahawa mencuci tali pusat dengan air yang bersih diikuti dengan mengelap untuk mengeringkannya sudah memadai.
  4. Dalam kes-kes tertentu memerlukan alkohol atau antiseptik digunakan, jadi berbincanglah dengan doktor sekiranya terdapat sebarang persoalan.
  5. Sewaktu memakai lampin, pastikan tali pusat bayi tidak tertutup. Letakkan tali pusat di luar lampin supaya ia tidak terkena air kencing atau najis bayi. Ini akan membantu proses tali pusat untuk mengering.
  6. Jangan sesekali meletakkan bedak atau ubat-ubatan tradisional pada pusat bayi yang mungkin menganggu proses semulajadi penanggalan tali pusat tersebut. Air bersih sudah memadai.
  7. Jika tali pusat belum tanggal, mandikan bayi dengan cara mengelap menggunakan kain yang basah atau dengan menjirus lebih digalakkan daripada kaedah mandian yang menyebabkan tali pusat itu terendam lama dalam air. Tali pusat bolehlah dilap setelah bayi dimandikan.
  8. Jangan tarik tali pusat walaupun ia kelihatan akan tertanggal pada bila-bila masa sahaja lagi. Biarkanlah proses tali pusat bayi tanggal berlaku secara semulajadi.

Anda diingatkan untuk tidak menyentuh pusat bayi dengan tangan yang kotor terutama jika bahagian tersebut masih belum kering. 

Bilakah Tali Pusat Bayi Tanggal?

Menurut pakar kanak-kanak Gina Posner, M.D. dari Orange Coast Medical Center di Fountain Valley, California, biasanya baki tali pusat bayi tanggal dengan sendiri selepas hari kelima atau ketujuh kelahiran.

Tapi, jangan bimbang kalau baki tali pusat bayi tanggal lambat. Selagi dalam masa 3 minggu selepas kelahiran, ia dianggap normal.

Namun, jika baki tali pusat itu tidak tanggal selepas 3 minggu, ini adalah tidak normal dan ibu bapa haruslah membawa anak berjumpa doktor.

Pusat Baby Terkeluar

Tidak semestinya pusat bayi timbul sejak awal kelahiran, adakalanya selepas beberapa minggu baru semakin jelas kelihatan seperti terkeluar.

Ada yang selepas tali pusat bayi tanggal pada hari keempat hingga ke tujuh, ia kelihatan cantik elok. Namun, pusat baby terkeluar boleh saja terjadi dari hari ke hari.

Sehinggakan ada yang betul-betul tersembul dan sangat jelas terlihat pusat baby terkeluar. Lagi-lagi kalau bayi yang kerap menangis atau batuk-batuk. Ini menyebabkan pusat bayi makin mudah tertolak keluar.

Pasti kita sebagai ibu sangat-sangat risau akan hal ini walaupun ianya tidak sakit apabila ditekan.

Sebenarnya pusat bayi timbul atau pusat baby terkeluar ini secara saintifiknya dikenali sebagai HERNIA UMBILICAL. Ia adalah masalah biasa pada bayi di bawah usia 6 bulan.

Cara Merawat Pusat Bayi Timbul Dan Terkeluar

1. Perlu berjumpa doktor terlebih dahulu untuk mengenal pasti adakah pusat baby terkeluar  disebabkan angin pasang, kembung atau ada masalah lain.

2. Biasanya, doktor akan bagi ubat untuk keluarkan angin daripada perut bayi jika dipastikan bayi kembung. Ubat itu lebih kurang seperti Gaviscon. (Ibu boleh memilih untuk bagi pada bayi atau tidak kerana pada waktu ini bayi masih kecil).

3. Kerap lakukan urutan perut bayi dengan minyak telon dan tekan ke dalam secara lembut pusat bayi.

4. Bila sudah dipastikan pusat bayi bayi timbul keluar, ambil 2-3 sudu habbatussauda’, lalu sangai tanpa minyak dan buat bunjut serta ditungkukan ke pusat bayi dalam keadaan suam-suam. (Boleh juga menggunakan lada hitam kalau habbatussauda’ sukar didapati).

Tuam perut bayi hingga bunjut habbatussauda’ itu sejuk. Buat setiap hari selepas bayi mandi.

5. Tips yang kelima ini diberitahu sendiri oleh doktor, boleh juga ibu lekatkan duit syiling 20sen atau 50sen ke pusat bayi sepanjang masa. Buka cuma masa mandi sahaja, lepas itu lekatkan balik. Guna salotape putih untuk lekatkannya.

6. Kemudian, pastikan perut bayi dipakaikan barut yang sesuai. Pemilihan barut juga penting untuk memastikan pusat bayi turut sama ditekan ke dalam dan mengelakkan pusat bayi timbul.

Jenis Ubat Pusat Bayi

Menurut Doktor Zubaidi, beliau menyarankan ibu ayah membeli alcohol swab dari farmasi dan menggunakannya untuk mengelakkan jangkitan kuman serta percepatkan proses pengeringan.

Meskipun namanya alkohol, namun kandungan alkohol di dalamnya amat sedikit dan tidak memabukkan. 

Caranya adalah sapukan alcohol swab di pangkal baki tali pusat selepas anda menukarkan lampin bayi.

Walau bagaimanapun jika tiada tanda jangkitan kuman, anda tidak perlu menggunakan antiseptik atau minyak gamat kerana proses penyembuhannya akan mengambil masa yang lebih lama.

Jika ibu mengesan ada tanda jangkitan kuman, perlu membersihkannya menggunakan air suam dan sapukan antiseptik pada tali pusat bayi.

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Berapa Lama Sebelum Baki Tali Pusat Bayi Akan Tertanggal? Ini Ibu Baru Perlu Tahu!

Baca juga: Tali Pusat Bayi Masih Belum Jatuh – Bolehkah Ibu Cabut Sendiri?

Baca juga: Nampak Seperti Seekor Ular, Tapi Sebenarnya Ia Tali Pusat Yang Membelit Leher Bayi