Menghitung pergerakan atau tendangan janin yang normal adalah sangat penting sepanjang tempoh kehamilan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan ibu tidak sedar ia mengalami tanda bayi meninggal dalam kandungan.
Stillbirth atau kematian janin adalah perkara yang menakutkan kerana boleh berlaku pada mana-mana tempoh masa kehamilan termasuklah proses bersalin dan ketika melahirkan bayi.
Berbeza dengan keguguran, kematian janin boleh berlaku selepas minggu ke-20 kehamilan, manakala keguguran pula berlaku sebelum minggu ke- 20.
Sekarang baru tahu kan, ada sebabnya doktor dan jururawat “marah” sekali jika ibu culas tanda kotak kecil carta gerak anak yang seringkali dianggap remeh.
Tanda bayi meninggal dalam kandungan
Alangkah sedih dan kecewanya hati sekiranya bayi meninggal dalam kandungan sebelum selamat dilahirkan. Sekiranya ibu tidak sedap hati apabila bayi kurang gerak dalam tempoh yang lama, segera dapatkan pemeriksaan doktor.
Sebelum itu, kenali tanda bayi meninggal dalam kandungan paling kerap berlaku dan perlu diberi perhatian.
Antara tanda-tandanya ialah:
- Spotting atau berlakunya pendarahan dari faraj semasa mengandung.
- Sakit dan kekejangan.
- Tendangan dan pergerakan janin tiba-tiba terhenti.
- Degupan jantung janin tidak dapat dikesan dengan Doppler atau stetoskop.
- Degupan jantung dan pergerakan janin tidak dapat dikesan dengan ultrasound.
Walau bagaimanapun, tanda kematian janin boleh jadi menggelirukan, jadi adalah penting untuk berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Anda juga perlu segera mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika:
- Tidak merasakan sebarang pergerakan bayi dalam kandungan pada minggu ke-24 kehamilan.
- Bayi kurang bergerak dari kebiasaannya.
- Bayi bergerak kurang daripada 10 kali dalam 1-2 jam pada trimester ke-3.
Seorang wanita yang bergelar ibu mempunyai naluri yang sentiasa betul dan cukup kuat. Percayakan naluri anda dan hubungi doktor dengan segera jika ada sesuatu yang tidak kena.
Punca kematian janin dalam kandungan
Berikut adalah antara punca yang menyebabkan bayi meninggal dalam kandungan berlaku:
- Kehamilan melepasi tempoh 42 minggu kehamilan.
- Jangkitan penyakit ibu yang serius seperti Malaria, Sitomegalovirus, Listeriosis, toksoplasmosis, Sifilis, atau HIV.
- Penyakit ibu yang kronik. Contohnya, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, atau obesiti.
- Sekatan pertumbuhan bayi yang menyebabkan janin tidak boleh membesar mengikut kadar standard semasa kehamilan.
- Komplikasi ketika bersalin.
- Keabnormalan kongenital atau kecacatan kelahiran
- Penyakit Rh iaitu ketidakserasian darah antara ibu dan anak.
- Masalah plasenta, termasuklah peredaran yang lemah atau pemindahan kembar-ke-kembar.
- Masalah kord.
Sekiranya perkara ini terjadi pada anda atau pasangan, kebiasaannya doktor tidak akan memaksa anda bersalin dan memberikan tempoh masa dari tarikh jangkaan bersalin.
Pun begitu, ada sesetengah wanita perlu bersalin segera atas faktor kesihatan. Apa-apa pun, semoga anda tabah menghadapi ujian ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tanda Kepala Bayi Sudah Masuk Laluan, Kedudukan Janin Penting Tentukan Cara Bersalin Nanti
Baca juga: Jantung Bayi Lemah & Tiada Pergerakan, Ibu Jangan Paksa Diri Berpuasa Jika Mengandung
Baca juga: Bayi Sorokkan Jantina Bila Scan? Ini 22 Cara Nak Tahu Anda Hamil Anak Lelaki Atau Perempuan