Kehadiran bulan Ramadhan pada setiap tahun membawa seribu rahmat dan kebaikan buat seluruh umat Islam. Bukan itu sahaja, 1o malam terakhir adalah paling istimewa kerana ia dikatakan tanda malam lailatul qadar.
Lailatul qadar merupakan kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmatNya yang menyeluruh.
Tanda malam lailatul qadar, bulan yang baik daripada seribu bulan
Bulan Ramadhan, al-quran dan malam lailatul qadar memiliki hubungan rapat antara satu sama lain seperti yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah S.A.W. Antara firman Allah S.W.T ialah:
”Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr).
Dalam ayat di atas, Allah telah menyebut Lailatul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun. Ini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan ibadah pada malam tersebut, mereka memperoleh pahala beribadah selama seribu bulan atau 83 tahun. Malah lebih baik lagi daripada seribu bulan.
Ada beberapa pendapat mengatakan tanda malam lailatul qadar iaitu:
#1. Tanda malam lailatul qadar- Tidak panas dan dingin
Ibnu Abbas meriwayatkan sabda Baginda S.A.W:
”Lailatul qadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan. Tidak begitu panas dan tidak begitu dingin. Pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan yang begitu menghangatkan dan menenangkan.” (HR al Baihaqi)
#2. Suasana malam yang sejuk, terang dan berangin lembut
”Lailatul Qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan)” HR Thabrani
#3. Berlaku pada malam ganjil 10 Ramadhan terakhir
Tanda malam lailatul qadar adalah terjadi pada malam-malam ganjil. Ini seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W:
”Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan.” HR Bukhari
#4. Kemunculan bulan
Selain itu, tanda malam lailatul qadar juga akan munculnya bulan dengan penampakan separuh. Abu Hurairah r.a berkata,
”Kami pernah berbincang tentang Lailatul Qadar di sisi Rasulullah S.A.W. Beliau berkata, ”Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul yang berukuran separuh nampan.” HR Muslim
#5. Cahaya matahari pagi tidak terik
Cahaya matahari cerah dan lebih lembut. Sinarnya tidak menyengat sehingga siang hari. Dari Ubay bin Kaab r.a bahawa Rasulullah bersabda,
”Keesokan hari malam Lailatul Qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar terang.” HR Muslim
Tarikh malam Lailatul Qadar 2021M/ 1442H
Memandangkan Rasulullah telah memberikan ‘hint’ bahawa malam lailatul qadar berlaku pada 10 malam terakhir pada malam yang ganjil, berikut tarikh yang mungkin membantu anda:
- Ahad (Malam ke-21 Ramadhan)- 2 Mei
- Selasa (Malam ke-22 Ramadhan)- 4 Mei
- Khamis (Malam ke-25 Ramadhan)-6 Mei
- Sabtu (Malam ke-27 Ramadhan)- 8 Mei
- Isnin (Malam ke-29 Ramadhan)- 10 Mei
Antara doa pendek yang boleh anda amalkan ialah:
Allahumma innaka afuwwun tuhibbul a’fqa fa’fu ‘anni
Maksudnya: ”Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, maka maafkanlah aku.”
Amalan untuk bertemu dengan malam lailatul qadar
Ada beberapa amalan yang boleh dilakukan sekiranya anda terpilih dipertemukan dengan malam penuh kebaikan ini, antaranya:
#1. Iktikaf
Diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah S.A.W beriktikaf ketika 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah Baginda wafat.
#2. Mendirikan solat malam (qiamulail)
Kita digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk sama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah.
Daripada Aisyah adalah Rasulullah jika masuk pada 10 malam terakhir, maka ia menghidupkan malam-malam itu, membangunkan ahli keluarganya dan menjauhi daripada hubungan suami isteri.
#3. Membaca al-quran, berzikir, istighfar dan doa
Sangat dianjurkan pada bulan mulia ini untuk sebanyak-banyaknya khatam atau tartil. Selain itu amalan berzikir membolehkan kita mengingati Allah S.W.T. Manakala doa-doa yang dipanjatkan pada bulan Ramadhan akan dimakbulkan oleh Allah.
Sumber: Mysumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Senarai Amalan Bulan Puasa Yang Penuh Ganjaran Pahala Mengikut Sunnah Rasulullah